YB Gwee Tong Hiang & Isteri, Gan Sheh Hui
Yang Berhormat Dato’ Speaker, izinkan Bentayan untuk mengambil bahagian dalam membahas Bajet Negeri Johor 2011 – Rang Undang-undang Enakmen Pembekalan 2011 yang telah dikemukakan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Johor.
YB Dato’ Speaker,
Bajet 2011 merupakan satu surplus (lebihan) bajet sebanyak RM2.77 juta. Sungguhpun Bajet 2011 merupakan satu Bajet Surplus tetapi Bentayan amat berharapkan Kerajaan Negeri Johor sentiasa meneruskan langkah-langkah berjimat cermat serta mengurangkan peruntukan bagi aktiviti yang tidak proaktif dan mengelakkan pembaziran.
YB Dato’ Speaker
Laporan Ketua Audit Negara – Kerajaan Negeri Johor Tahun 2009.
Menurut Laporan tersebut dari muka surat 137 sehingga muka surat 151 mengenai Pengurusan Kemudahan Awam Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang menyatakan bahawa Objektif MPM adalah untuk menguatkuasakan kawalan pembangunan dan perkhidmatan kebersihan serta mempertingkatkan dan menggalakkan pembangunan yang komprehensif bagi memastikan kemajuan dan keutuhan sistem fizikal, sosial dan ekonomi diseluruh kawasan pentadbirannya.
Bagi mencapai objektif tersebut, salah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh MPM adalah memberikan perkhidmatan kepada penduduk setempat termasuk membuat rancangan pembangunan, pengawalan dan penyenggaraan kemudahan awam serta memastikan semua kemudahan awam berada didalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Bagi tahun 2007 hingga 2009, MPM telah membelanjakan sejumlah RM1.57 juta atau 52.9% daripada RM2.97 juta peruntukan yang diluluskan bagi pembangunan dan pengurusan penyenggaraan kemudahan awam.
YB Dato’ Speaker
Penemuan Audit
Pengauditan yang dijalankan antara Ogos hingga November 2009 mendapati bahawa pada keseluruhannya pengurusan kemudahan awam MPM ini tidak memuaskan dan mempunyai ruang untuk penambahbaikan di mana terdapat beberapa kelemahan yang menyebabkan kemudahan yang disediakan tidak boleh dimanfaatkan oleh orang awam.
Contohnya, 38 jenis kemudahan awam tidak disenggara dengan sempurna, penyediaan kemudahan awam yang tidak digunakan atau tidak mencukupi, berlaku pencerobohan di 29 tapak kemudahan awam yang terdiri daripada lot permainan dan tanah lapang serta kemudahan awam yang dirancang tidak dilaksanakan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, pada keseluruhannya prestasi penyenggaraan kemudahan awam oleh MPM adalah tidak memuaskan seperti berikut.
a) Kemudahan Awam Tidak Disenggara Dengan Sempurna
Kemudahan awam dalam kawasan pentadbiran MPM tidak disenggara apabila rosak, usang dan tidak berfungsi. Pada September dan Oktober 2009 disekitar kawasan pentadbiran MPM mendapati bahawa 38 atau 71.1% daripada 53 kemudahan awam tidak disenggara dengan sempurna.
b) Kerja-kerja Penyenggaraan Projek Pembangunan dan Pemuliharaan Paya Bakau di Jeti Tanjung Ketapang Tidak Dilaksanakan
Skop kerja utama projek adalah untuk membina pelantar laluan dan wakaf, membekal dan menanam 1,500 pokok bakau dan menyenggaraan Projek Pembangunan dengan kos sejumlah RM197,400 di Jeti Tanjung Ketapang.
Semakan audit mendapati bahawa kontrak utama disahkan siap pada 28 November 2008 tetapi kerja penyenggaraan selama 12 bulan seperti dipersetujui tidak ditentukan oleh Pegawai Penguatkuasa dan tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa pihak kontraktor telah melaksanakan kerja penanaman sebanyak 1,500 batang pokok bakau dan 6 batang pokok kelapa gading.
Perkara ini berlaku disebabkan MPM tidak mengambil kira tempoh kerja penyenggaraan semasa mengesahkan projek siap. Oleh itu bayaran kontrak yang dijelaskan sepenuhnya adalah termasuk pembayaran bagi kerja membekal dan menanam 6 pokok kelapa gading, 800 pokok bakau minyak dan 700 pokok bakau kurap bernilai RM8,500 di tapak projek serta kerja penyenggaraan lain sebanyak RM40,000 yang tidak dilaksanakan.
YB Dato’ Speaker
c) Kompleks Kolam Renang Muar Terbiar.
Kompleks Kolam Renang Muar telah dibina pada tahun 1977 dengan kos RM1.5 juta. Projek ini adalah bertujuan untuk menggalakkan penyertaan orang awam dalam aktiviti renang dan mempelbagaikan kemudahan rekreasi di kawasan MPM. Bangunan utama kolam renang perlu disenggara jika terdapat kerosakan manakala penyenggaraan di bahagian kolam dan mesin pam air perlu dilakukan secara berterusan untuk menjaga kualiti air kolam renang.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009 tersebut, menyatakan bahawa Kompleks Kolam Renang Muar telah terbiar dan ditinggalkan semenjak penutupan pada tahun 1998 dan struktur bangunan utama didapati telah rosak!
Sebuah kolam renang bersaiz olimpik tidak boleh digunakan lagi kerana air tercemar dan mengalami kemerosotan kualiti air, mesin pam air juga tidak dapat digunakan kerana rekodnya tidak diselenggara.
Akibatnya, Kompleks Kolam Renang Muar tidak ekonomik untuk dibaiki kerana kos membaipulih dianggarkan berjumlah RM3 juta. Apabila Kompleks Kolam Renang Muar ditutup kepada orang awam, pengguna dan peminat sukan renang yang ingin menggunakan kemudahan kolam renang tidak dapat melakukan aktiviti riadah tersebut!
Alangkah terperangatnya Bentayan membaca Laporan Ketua Audit Negara 2009, yang menyatakan bahawa MPM telah membuat permohonan kepada Pejabat Tanah Daerah, Muar supaya tapak kolam tersebut dijadikan sebagai hak milik MPM dan dijadikan tapak bangunan baru MPM.
Bentayan ingin menanya kepada pihak Kerajaan berapa banyakkah bangunan baru MPM yang akan didirikan di daerah Muar?
Difahamkan bahawa pihak MPM telah mencadangkan bangunan barunya yang bakal didirikan di Jalan Sulaiman (WARUNG AQUA) iaitu bersebelahan dengan Pejabat Telekom Muar. Bentayan berpendapat satu perancangan teliti haruslah dibuat dan pendapat daripada orang ramai adalah penting sebelum sesuatu projek dilakukan oleh MPM. Ini adalah untuk mengurangkan pembaziran wang rakyat!
Sehubungan itu menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, telah mengesyorkan perkara-perkara berikut supaya ia dapat dipertimbangkan oleh pihak MPM:
a) Menyediakan rancangan penyenggaraan kemudahan awam untuk tujuan kerja penyenggaraan secara berkala, pencegahan dan pembaikkan melalui penyediaan satu daftar kemudahan awam.
b) Membuat kajian menyeluruh terhadap keperluan kemudahan awam di seluruh kawasan pentadbiran MPM berdasarkan permintaan orang awam.
c) Meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan terhadap aktiviti-aktiviti yang bertentangan Undang-Undang Kecil Taman (MDMS 1987) diatas tanah lapang dan kawasan permainan kanak-kanak diseluruh kawasan pentadbiran MPM.
d) Menggalakkan skim perumahan berskala besar untuk menggelakkan konflik penggunaan tanah dan masalah kekurangan kemudahan awam di kawasan yang mempunyai ramai penduduk.
YB Dato’ Speaker
Laporan Ketua Audit Negara telah membuktikan kepada pihak MPM bahawa mereka telah membelanjakan RM1.57 juta atau 52.9% peruntukan tetapi kerja-kerja pengurusan penyenggaraan, tidak dikendalikan dengan baik.
Sekiranya MPM membuat perancangan yang teliti seperti menerima pandangan daripada penduduk Muar maka banyak perbelanjaan dapat dijimatkan dan dapat dimanfaatkan kepada setiap golongan yang disasarkan.
Dengan sifat berjimat cermat dan pengurusan cemerlang MPM, mereka tidak perlu “SAKIT KEPALA” untuk mencari strategi bagaimana untuk menambahkan cukai mereka kerana setiap wang yang dijimatkan itu merupakan pendapatan MPM!
Disini Bentayan ingin menanyakan kepada pihak Kerajaan Negeri, apakah mekanisma yang digunakan untuk menilai YDP-YDP Majlis Berkuasa Tempatan di Negeri Johor dan sila kemukakan Laporan Penilaian Prestasi mereka untuk tahun 2008, 2009 dan 2010?
Misalnya dalam kes MPM adakah YDP berkenaan harus dinaikkan pangkat kepada Penolong Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor ataupun dikenakan tindakan displin kerana kegagalan beliau yang tidak menjalankan tugas hariannya yang telah mengakibatkan kerugian besar kepada semua warga Muar.
YB Dato’ Speaker
Soalan-soalan:
1. Nyatakan sama ada Kerajaan Negeri Johor boleh bersetuju meluluskan untuk setiap Ahli Dewan Negeri Johor tanpa mengira parti satu elaun khas yang munasabah tetapi cukup untuk membiayai kos pengendalian pusat khidmat-pusat khidmat mereka dan juga gaji kakitangan untuk tugas kaji selidik dan kesetiausahaan?
2. Pada tarikh 20-Oktober-2010, jam 11 pagi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Daerah Muar telah mencecah tahap 432 iaitu dalam Kategori Bahaya sehinggakan pihak Kerajaan terpaksa menasihatkan supaya sekolah-sekolah di daerah ini ditutup sementara sehingga situasi bertambah baik, adakah IPU yang diumumkan itu betul dan apakah langkah-langkah yang bakal diambil supaya ia tidak menjadi malapetaka tahunan di negeri/negara ini?
3. Mengapakah kerajaan membenarkan pihak DIGI/TM mendirikan Menara Pemancar Selular di hadapan rumah kediaman No. 134-1, Taman Sri Treh, Muar dan adakah rangka besi yang dipasang selamat dan memenuhi spesifikasi pelan bangunan serta adakah pancaran tersebut boleh mengakibatkan kanser kerana terdapat 3 penduduk di kawasan tersebut telah menghidap penyakit tersebut?
4. Memandangkan kekurangan tempat letak kereta di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, adakah kerajaan bercadang untuk memperluaskan dan memperbaiki tempat tersebut dan apakah cadangan penyelesaian terhadap masalah kekurangan tempat letak kereta di Hospital tersebut?
YB Dato’ Speaker
Masalah-masalah Setempat Di DUN Bentayan
Bentayan menerima banyak aduan mengenai masalah setempat berharap pihak Kerajaan Negeri dapat menyelesaikan perkara-perkara berikut dengan kadar segera:
a) Sistem perparitan di Jalan Ismail, Muar. Bentayan berharap Pihak Kerajaan Negeri dapat membina satu perparitan baru di antara TL JI 41 sehingga TL JI 50 kerana kawasan tersebut sering dilanda banjir kilat apabila waktu hujan.
b) Aduan lain seperti Penurapan Jalan Tar yang baru haruslah disegerakan di Jalan Ismail, Muar dari TL JI 40/1 sehingga TL JI 40/9 kerana jalan tersebut tidak pernah diperbaiki sejak 30 tahun lalu.
c) Aduan juga diterima mengenai kekerapan kemalangan jalanraya yang berlaku dipersimpangan Jalan Bakri, Muar ke Pusat Perniagaan Arosa, Muar. Jalan tersebut merupakan jalan berlorong 3 dari arah Bakri dan apabila tibanya di persimpangan tersebut terdapat satu kotak kuning yang telah dilukiskan diatas permukaan jalan tetapi pihak JKR hanya melukis petak kuning itu di lorong 1 & 2 dan terlupa untuk melukis kotak kuning di lorong 3 iaitu lorong 3 juga merupakan lorong motosikal.
Maka kemalangan sering berlaku apabila kenderaan dari arah Muar ingin membelok kanan masuk ke Pusat Perniagaan Arosa, Muar. Sungguhpun kenderaan dari arah Bakri telah berhenti sebelum kotak kuning di lorong 1 dan lorong 2 untuk memberikan laluan kepada kenderaan dari arah Muar untuk masuk ke Pusat Perniagaan Arosa, tetapi apabila sampai ke lorong 3 sahaja, kemalangan sering berlaku di lorong 3 (lorong motosikal) kerana motosikal dari arah Bakri akan memandu kenderaan mereka disebabkan tiada arahan untuk berhenti!
Keadaan yang sama juga berlaku di persimpangan Jalan Bakri (iaitu di TL MYP 20), Muar iaitu dihadapan Bank Of China, Muar. Maka Bentayan berharap pihak JKR Muar dapat menyiasat dan meneliti kedua-dua persimpangan diatas supaya satu formula penyelesaian dapat diwujudkan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di kawasan tersebut.
YB Dato’ Speaker
Sikap Pemandu Mayang Sari Ekspres
Pada tanggal 10-10-10 satu kemalangan ngeri telah berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan yang telah mengakibatkan 13 nyawa terkorban dan lebih 40 orang cedera!
Bentayan menerima aduan mengenai kecuaian pemandu bas Mayang Sari Ekspres iaitu berlaku pada 4 September 2010. Sebuah bas ekspress milik Mayang Sari, No. Pendaftaran JHF 7500 telah berlepas dari Stesen Bas Bentayan, Muar untuk menuju ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan tersebut pemandu bas berkenaan sering menggunakan telefon bimbit untuk berinteraksi dengan pihak ketiga dan juga sering bermain “Games” dengan izin, semasa memandu serta memandu menggunakan satu tangan sahaja.
Difahamkan bahawa pada trip tersebut bas berkenaan telah membawa 17 orang penumpang. Penumpang-penumpang dalam bas berkenaan berasa amat gelisah dan khuatir dengan keselamatan nyawa mereka akan terancam dan telah membuat aduan terhadap pemandu berkenaan tetapi tiada tindakan lanjut diambil oleh pihak syarikat berkenaan.
Bentayan berpendapat kemalangan nyawa yang berlaku ke atas bas ekspres adalah besar berkemungkinan berpunca daripada sifat tidak bertanggungjawab dan kecuaian pihak pemandu bas ekspres. Bentayan berharap pihak Kerajaan Negeri dapat menyiasat perkara diatas dan mengambil tindakan yang tegas kepada Syarikat Bas Ekspres berkenaan.
YB Dato’ Speaker
Dalam Persidangan Dewan Negeri yang lalu, Bentayan telah menanyakan soalan mengenai tiang-tiang lampu TNB yang masih dibiarkan di tengah-tengah Jalan Daud, Muar dan jawapan yang diberikan oleh pihak Kerajaan adalah bahawa anggaran mengalihkan tiang-tiang tersebut adalah sebanyak RM60,000.
Ini bermakna kos pengalihan setiap tiang lampu TNB adalah sebanyak RM4,615.38. Mengapakah kos yang begitu tinggi diperlukan untuk mengalih 13 tiang lampu TNB tersebut?
Menurut tinjauan kebiasaannya, kos pengalihan setiap tiang lampu adalah dalam sekitar RM1,000 sahaja. Ini bermakna pengalihan 13 tiang lampu TNB tersebut, terdapat kos berlebihan sebanyak RM47,000!
YB Dato’ Speaker
Tapak Bangunan UMNO Bahagian Bakri
Tapak Bangunan UMNO Bahagian Bakri yang telah didirikan dengan sederet 11 buah kedai 3 tingkat dan bangunan UMNO Bahagian Bakri, Muar yang telah diluluskan pada 14 Mei 2010.
Siapakah pembeli/pemilik berdaftar untuk 11 buah kedai-kedai 3 tingkat yang baru dibina dan nyatakan berapakah jumlah nilai harga sesebuah kedai tersebut?
Mengapakah MPM meluluskan bangunan dan deretan kedai tersebut walaupun di bahagian belakang deretan dan bangunan kedai tersebut, rezab jalannya adalah amat sempit malahan bersebelahan dengan Sungai Bentayan?
Untuk pengetahuan Dewan yang Mulia ini, diseberang Sungai Bentayan sana pula terdapat Pusat Penjaja Bentayan dimana rangka bangunan tersebut juga dibina sehingga ke tebing Sungai Bentayan!
Apakah yang akan terjadi sekiranya pihak JPS ingin membersihkan sungai tersebut?
Dengan lorong belakang yang amat sempit, Bentayan berpendapat jentera-jentera JPS tidak dapat menjalankan keja-kerja pembersihan mereka dengan sempurna!
Maka sekiranya lorong tersebut tidak dapat dilalui oleh jentera JPS adakah bangunan sedia ada perlu dirobohkan untuk kerja-kerja pembersihan Sungai Bentayan?
Disini Bentayan ingin bertanya kepada Pihak Kerajaan apa mekanisma yang akan digunakan untuk membersihkan Sungai Bentayan, adakah pihak JPS akan mencipta jentera JPS berbentuk HELIKOPTER kerana tiada laluan masuk untuk jentera-jentera berat ke kawasan tersebut!
YB Dato’ Speaker
Hala Menuju Ke Jalan Bentayan, Muar
Bentayan menerima aduan daripada para peniaga dan penduduk di Jalan Bentayan, Muar mengenai penukaran sistem lalu lintas oleh pihak MPM ke atas jalan tersebut!
Para perniaga yang menjalankan perniagaan di sana telah merunggut bahawa perniagaan mereka telah merosot sehingga 50% kerana ramai pelanggan dari luar susah hendak mencari jalan masuk ke Jalan Bentayan.
Pada masa kini pihak MPM telah memasang 2 papan tanda untuk menunjukkan hala yang betul ke Jalan Bentayan iaitu satu di Jalan Abdullah dan satu lagi di Jalan Lama tetapi nampaknya ramai yang masih sesat untuk mencari jalan tersebut!
Bentayan berharap Pihak MPM dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan kadar segera agar para peniaga di kawasan tersebut dapat menjalankan aktiviti perniagaan mereka seperti sedia kala!
YB Dato’ Speaker
Hari Tanpa Beg Plastik Yang Diperkenalkan Oleh Kerajaan Pulau Pinang
Pakatan Rakyat yang memerintah Pulau Pinang akan memperkenalkan Hari Tanpa Beg Plastik di Negeri Pulau Pinang mulai 1 Januari 2011. Ini adalah untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dan seterusnya menyelamatkan bumi yang kita cintai! Bentayan mengharapkan Kerajaan Negeri Johor boleh mencontohi Kerajaan Pulau Pinang dalam kempen tersebut. Marilah kita sama-sama menyelamatkan bumi yang kita cintai ini.
Kerajaan juga harus menggalakkan penghasilan beg plastik yang boleh dibiodegradasi. Buat masa sekarang, beg-beg plastik yang mesra alam sekitar ini hanya diguna oleh pasaraya-pasaraya besar sahaja manakala peniaga-peniaga kecil masih menggunakan beg-beg plastik yang kurang mesra alam sekitar atau lebih teruk lagi, langsung tidak mesra alam sekitar.
Maka saya menggesa kerajaan untuk meninjau cara-cara yang boleh dilakukan untuk mempertingkatkan penggunaan beg-beg plastik yang mesra alam sekitar dan mengurangkan atau mengharamkan penggunaan beg-beg plastik yang langsung tidak mesra alam sekitar.
Kerajaan juga perlu lebih kreatif dan mencontohi kerajaan-kerajaan tempatan di luar negara. Apa yang boleh dicontohi ialah kerajaan tempatan mempelopori kempen ini dengan mengeluarkan beg-beg plastik mesra alam sekitar dan disyaratkan untuk digunakan oleh peniaga-peniaga di kawasan pentadbirannya. Beg-beg plastik ini juga boleh digunakan untuk membungkus sampah dan mana-mana beg sampah yang tidak dibungkus oleh beg plastik khas ini tidak akan dikutip. Saya percaya kos beg plastik mesra alam sekitar ini akan berkurang jikalau ianya dapat dihasilkan dan digunakan secara pukal di bawah kawalan PBT.
Kesimpulan
Bentayan menggesa Kerajaan Negeri haruslah berjimat cermat dan segala kemudahan awam yang dibina perlulah disenggara mengikut jadual bukannya disenggara apabila rosak, usang dan tidak dapat berfungsi lagi!
Sikap berjimat cermat haruslah dipraktis disemua Agensi Kerajaan Negeri kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah wang titik peluh Rakyat Negeri Johor. Rakyat tidak mahu melihat Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan senang dengan cara menaikkan cukai dengan tujuan untuk menambahkan pendapatan Kerajaan Negeri Johor dan kemudian membelanjakan secara boros.
Sekian.
YB Gwee Tong Hiang
ADUN Kawasan Bentayan
16 - Oktober - 2010
0 comments:
Post a Comment