Perutusan Aidil Adha 1431 Hijrah
Salam Aidil Adha saya ucapkan dari hati kecil ini buat semua umat Islam terutamanya mereka yang menunaikan fardhu haji di Makkah pada tahun ini. Semoga Allah SWT merahmati ibadah mereka dengan haji mabrur yang diterima Ilahi.
Aidil Adha atau Hari Raya Korban adalah hari yang suci dan penting untuk umat Islam menginsafi betapa perlunya pengorbanan dalam hidup dan dalam perjuangan. Saya difahamkan bahawa pengorbanan bukan sahaja bererti korban nyawa dan harta benda tetapi ia juga membabitkan pengorbanan jiwa dan sanubari. Ini bererti kita perlu berkorban demi kebenaran untuk menolak kemungkaran, kepalsuan dan pembohongan.
Ramai di kalangan kita yang saling sayang-menyayangi antara satu sama lain. Tetapi masih ada segelintir manusia yang tidak mahu keluar dari tempurung perkauman. Golongan ini melihat segala-galanya dari sudut kaum, sehingga mereka sanggup memfitnah sesama jiran dan sahabat termasuk mennghasut hasad dengki dan benci-membenci antara kaum.
Betapa serius fitnah boleh dilihat bila ada gambar palsu diedarkan oleh pihak tertentu bahawa saya sebagai orang bukan Islam telah sembelih lembu pada Hari Qurban, sedangkan yang sebenarnya sembelih lembu adalah Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin. Adalah diharapkan perbuatan terkutuk ini tidak akan diulangi lagi.
Sifat-sifat buruk serta keji seperti rasuah, korupsi, pecah amanah, menindas, menyalahgunakan kuasa dan sebagaimana tidak mengenal kaum. Sama juga dengan perjuangan bersama tanpa mengenal kaum berlandaskan prinsip yang dikongsi bersama seperti Keadilan, Kebenaran, Kebebasan, Kebajikan untuk rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan.
Oleh itu, sempena hari yang mulia ini, kita sebagai rakyat Malaysia pelbagai kaum perlu berikrar untuk menolak fitnah dan bohong serta sentimen perkauman benci-membenci. Biar kita menerima keredhaan daripada Tuhan yang mencipta kita semua bukan dengan membeza-bezakan atas warna kulit tetapi mencari persamaan atas warna darah yang sama dengan masalah dan harapan serupa sebagai seorang ibu,bapa,abang, adik, kakak, anak dan cucu.
Selamat menyambut Aidil Adha 1431 Hijrah.
0 comments:
Post a Comment