诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Wednesday, July 7, 2010

柔佛州行政议会(七月份)文打烟区州议员魏宗贤献词
Ucapan ADUN Kawasan Bentayan, YB Gwee Tong Hiang Di Dewan Negeri Johor Pada 06 & 07 Julai 2010

Ucapan ADUN Kawasan Bentayan, YB Gwee Tong Hiang

Ribuan terima kasih kepada YB Dato’ Speaker kerana sudi memberi peluang kepada Bentayan untuk membahaskan usul menjunjung KASIH titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang dicadangkan oleh YB Bukit Naning.

Yang Berhormat Dato’ Speaker

1. Kes Kemalangan MAUT Mendiang Cikgu Wee Seng Hock

Pada tarikh 17-Jun-2010 seluruh negara gempar dan sedih dengan kejadian 5 orang warga Muar yang MAUT akibat kemalangan jalanraya di Lebuh Raya Segamat-Kuantan! Bentayan mengucapkan takziah kepada keluarga Mendiang Cikgu Wee Seng Hock, iaitu Penolong Kanan SMK St. Andrew, Muar yang mana 5 ahli sekeluarga telah terkorban dalam kemalangan jalanraya tersebut!

Sebagai mengenang jasa dan budi Mendiang Cikgu Wee Seng Hock, Pemuda DAP Bahagian Bakri telah menjalankan kutipan derma dari penyokong-penyokong DAP untuk menolong meringankan beban keluarga tersebut! Kutipan berjumlah RM1,660.00 telah berjaya dikutip dan telah diserahkan kepada keluarga Mendiang Cikgu Wee Seng Hock!

Bentayan berharap pihak kerajaan dapat memberikan segala pertolongan dari segi mental, fizikal dan kewangan kepada anak-anak keluarga Mendiang Cikgu Wee Seng Hock untuk meneruskan kehidupan dan pelajaran mereka.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

2. Kes Pejabat Imigresen Muar

Tidak lama dahulu, Bentayan menerima aduan daripada Encik Ku Ban Guan mengenai ketidakpuas hati prosedur pengambilan passport siap di Pejabat Imigresen Muar. Beliau telah memohon untuk membuat Passport Malaysia di Pejabat Imigresen Muar dan Pegawai Pejabat berkenaan memberitahunya bahawa passport beliau hanya akan siap dan boleh dikutip selepas 2 jam!

Yang anehnya, apabila selepas 1 jam menunggu, beliau telah ke Kaunter Pertanyaan untuk menanya sama ada pasportnya sudah siap? Beliau telah diberitahu oleh Pegawai Pejabat Imigresen Muar bahawa pasportnya sudah siap tetapi beliau perlu menunggu sehingga 2 jam, baru boleh mengutip pasport tersebut!

Prosedur sedemikian telah menyebabkan orang awam berpendapat bahawa Pejabat Imigresen Muar sengaja menyusahkan rakyat jelata dan bukannya untuk menunjukkan kecekapan pejabat berkenaan!

Bentayan berpendapat dan mengesyorkan kepada Pejabat Imigresen Muar bahawa sekiranya pasport yang telah siap dibuat sungguhpun dalam tempoh 30 minit ia haruslah dengan segera memanggil orang berkenaan untuk mengutipnya. Dengan cara inilah, ia akan meningkatkan kecekapan Pejabat berkenaan, memendekkan masa berurusan di kaunter dan juga ia akan dapat mengurangkan bilangan pelanggan yang menunggu pada satu-satu masa dipejabat berkenaan!
Yang Berhormat Dato’ Speaker

DYMM Tuanku, dalam TITAH UCAPAN PERASMIAN juga menyatakan bahawa mutu dan tahap kecekapan perkhidmatan kerajaan perlu terus dipertingkatkan dengan mempercepatkan proses kerja dan memendekkan masa berurusan di kaunter. Tuanku juga ingin mengingatkan kepada semua pegawai kerajaan supaya menerapkan budaya kerja cemerlang, berintegriti, membuang amalan menangguhkan kerja dan mengenepikan kerenah birokrasi.

Yang Berhormat Dato’ Speaker

3. Banglo Ketua Jabatan Kerajaan Kosong

Di Daerah Muar terdapat beberapa banglo-banglo Ketua Jabatan Kerajaan yang sepatutnya menjadi tempat tinggal oleh Ketua Jabatannya tetapi ia telah ditinggalkan sebegitu sahaja.

Sebagai contohnya, tempat tinggal Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, yang terletak di Jalan Salleh yang menghadap pemandangan Sungai Muar telah lama tidak didiami oleh pengarahnya. Bentayan diberitahu bahawa Pengarah Hospital berkenaan pada masa kini tinggal di Tanjung Agas, Ledang.
Contoh yang kedua ialah Banglo YDP MPM yang terletak di Tanjung Emas, Muar. Bentayan juga diberitahu bahawa YDP MPM berkenaan pada masa kini tinggal di Jalan Daud, Muar.

Kedua-dua Banglo diatas merupakan contoh Banglo-Banglo Ketua Jabatan Kerajaan yang tidak diduduki oleh ketua jabatannya dan Bentayan ingin menanyakan berapakah banyak lagi banglo sebegini yang didapati kosong di Daerah Muar.

Sekiranya sebegini, Bentayan berpendapat banglo-banglo tersebut haruslah disewakan kepada orang awam, para peniaga atau NGO-NGO yang berminat supaya suatu hasil dapat diperolehi daripadanya. Dengan hasil ini, kerajaan negeri boleh melaksanakan projek-projek pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada rakyat di negeri ini dan bukannya sekadar membiarkannya dan sekiranya memerlukan baikpulih ia perlu disegerakan kerana ia merupakan suatu pembaziran wang rakyat!

Yang Berhormat Dato’ Speaker

4. Majlis Perbandaran Muar (MPM)

i. Waktu Memunggah Barang

Majlis Perbandaran Muar pada Mesyuarat Penuhnya bertarikh 26-Mei-2010 telah memutuskan bahawa perubahan waktu yang baru untuk memunggah barang di kawasan Pusat Bandar Muar.

Waktu baru untuk memunggah barang adalah seperti berikut:

Sebelah Pagi: 6.00 pagi – 9.00 pagi

Sebelah Petang: 6.00 petang – 9.00 malam

Manakala waktu 2 petang – 4 petang tidak lagi dibenarkan untuk memunggah barang di Pusat Bandar Muar. Bentayan menerima banyak aduan dan runggutan daripada para peniaga di Bandar Muar mengenai perkara di atas!

Para peniaga-peniaga menyatakan bahawa adalah tidak realistik MPM tidak membenarkan waktu 2 petang – 4 petang untuk memunggah barang di Pusat Bandar Muar dan yang tidak mematuhi arahan di atas, kenderaan mereka akan disaman oleh pihak penguatkuasa MPM/Polis!

Mereka bertanyakan kepada pihak MPM, sekiranya lori-lori pengangkutan daripada Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru tiba di Pusat Bandar Muar di awal pagi tetapi melepasi 9.00 pagi, adakah mereka perlu menunggu 9 jam sehingga jam 6 petang ataupun lori-lori berkenaan terpaksa sentiasa mengelilingi Pusat Bandar Muar untuk mencari tempat letak kenderaan yang lebih luas untuk meletak kenderaan mereka, sekiranya sebegini, ia akan menyebabkan kesulitan kepada para peniaga dan juga kepada syarikat-syarikat pengangkutan.

Bentayan berpendapat bahawa MPM memperkenalkan waktu memunggah barang yang baru tanpa merujuk balik kepada pandangan para peniaga-peniaga terutama sekali di kawasan Jalan Maharani dan Jalan Abdullah, Muar.

Bentayan berpendapat bahawa matlamat utamanya MPM ialah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pusat Bandar Muar, akan tetapi MPM perlu faham bahawa tempat letak kereta di Pusat Bandar Muar adalah amat terhad, ia hanyalah tertumpu kepada 5 jalan utama sahaja, apa-apa strategi yang diimplimentasikan akan menjadi sia-sia sahaja!

MPM perlu mencari alternatif yang lain seperti membangunkan sebuah Bandar Baru Muar dan dengan wujudnya sebuah Bandar Baru, akan bertambahlah tempat letak kereta dan ia akan dapat menolong menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pusat Bandar Muar.

Usaha-usaha yang dijalankan oleh MPM untuk menambahkan tempat letak kereta Berbentuk 30° hanya dapat menambah 50 tempat letak kenderaan dan kaedah ini tidak dapat menampung % pertambahan kenderaan di Bandar Muar!

Yang Berhormat Dato’ Speaker

ii. Penguatkuasa MPM

Pada tarikh 12-Mei-2010, Bentayan menerima aduan daripada para peniaga di Pusat Perniagaan Tun Dr. Ismail 1, Jalan Bakri, Muar mengenai perangai tidak sopan Penguatkuasa MPM.

Pada tarikh tersebut terdapat 6 orang Penguatkuasa MPM yang telah menjalankan operasi untuk menyaman para peniaga sama ada mempunyai tong sampah ataupun tiada! Petang tersebut, mereka memasuki setiap kedai untuk meminta lesen perniagaan tanpa memperkenalkan dahulu identiti mereka!

Mereka berlagak macam “GANGSTER”, terdapat sebuah kedai yang kesemua pekerjanya adalah kaum wanita, telah merasa amat takut seakan-akan kedai mereka telah dimasuki oleh perompak-perompak!

Bentayan berharap perangai sebegini tidak patut ditunjukkan oleh kakitangan kerajaan, mereka patut menjalankan tugas untuk kebaikan rakyat dan bukannya dengan sengaja untuk menakut-nakutkan para peniaga serta BERMAHARAJALELA kerana mereka perlu ingat bahawa gaji yang diterima oleh mereka adalah daripada wang rakyat!

Bentayan berpendapat MPM perlu memandang serius dalam hal ini dan mengambil tindakan disiplin ke atas Kumpulan 6 Orang ini dan mereka perlu meminta maaf kepada semua para peniaga dikawasan tersebut dengan SEGERA!

Yang Berhormat Dato’ Speaker

iii. Penyediaan Tong Sampah Yang Diiktiraf Oleh MPM Diwajibkan

Baru-baru ini, pihak MPM telah mengeluarkan NOTIS kepada pemilik-pemilik rumah dan kedai dengan mewajibkan mereka menyediakan tong-tong sampah yang diiktiraf oleh MPM! Pengumuman tersebut turut menyatakan bahawa denda sebanyak RM250 hingga RM500 akan dikenakan ke atas sesiapa yang tidak mematuhi arahan tersebut!

Tindakan MPM ini telah menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan warga Muar. Sebenarnya, kebanyakan tuan kedai dan tuan rumah sering menghadapi masalah kehilangan tong sampah selama ini. Ini disebabkan kes-kes kecurian tong-tong sampah yang sering berlaku terutamanya di sesetengah kawasan kedai-kedai di Bandar Muar.

Mereka terpaksa selalu membeli tong-tong sampah yang baru untuk menggantikan yang telah hilang, dan ini amat membebankan mereka kerana satu Tong Sampah atau BULK BIN yang diiktiraf oleh MPM akan memakan belanja dari puluhan sehingga ratusan Ringgit Malaysia!

Ada Tong Sampah tetapi TIADA Bag Plastik, pekerja SWM pun TIDAK akan punggut sampah kita! Bentayan pun TAK FAHAM apakah polisi kerajaan, disini anjurkan KEMPEN KITAR SEMULA, disana KALAU TIADA BAG PLASTIK, SWM tidak punggut sampah dihadapan halaman kita! TAKKAN mereka tak faham berapa lamakah masa yang diperlukan oleh satu-satu BEG PLASTIK untuk dilupuskan di atas permukaan bumi ini!

Bentayan juga menghadapi masalah yang serupa dan sehingga kini, sudah lebih 5 tong sampah telah hilang! Hilang bukan dicuri oleh siapa, hilang sebab pekerja-pekerja SWM buang Tong Sampah ke atas lori mereka. Tong Sampah terus lesap begitu sahaja!

Bentayan bercadang kepada pihak MPM supaya menyediakan alatan besi atau apa-apa yang membolehkan pemilik kedai untuk menguncikan tong-tong sampah mereka pada waktu malam supaya dapat mengelakkan kes kecurian tong sampah daripada berlaku, ataupun mengambil tindakan yang berkesan seperti meminta kerjasama daripada pihak polis untuk meronda di kawasan-kawasan yang berkenaan pada waktu tengah malam.

Tindakan MPM seperti mengenakan denda sehingga RM500 adalah tidak munasabah kerana masalah pokok seperti kecurian tong sampah dan punggutan sampah SWM tidak lagi mengikut jadual asal haruslah diselesaikan terlebih dahulu oleh pihak MPM.

Yang Berhormat Dato’ Speaker

iv. Papan Tanda Avenue 4

Di sini Bentayan ingin menanyakan apakah status mengenai Pusat Penjaja Haji Abu, Muar? Adakah ia telah mendapat pengiktirafan daripada pihak MPM? Sekiranya Ya, Bentayan berpendapat bahawa jalan tersebut haruslah dibangunkan sebagai sebuah pusat penjaja yang dinamakan Pusat Penjaja Haji Abu dan berharap pihak kerajaan dapat mendirikan bumbung di kawasan tersebut!

Memandangkan kehadiran tempat tersebut telah wujud sejak tahun 50-an lagi. Ia telah menjadi satu tempat pelancongan yang mesti dilawati oleh para pelancong apabila sampai ke Muar. Para pelancong ataupun orang luar yang datang ke Muar berpendapat sekiranya mereka tidak sampai ke Pusat Penjaja Haji Abu ataupun lebih dikenali “Thang Chi Jie” dengan izin, maka bermakna mereka masih belum pernah sampai ke Muar!

Maka dengan pengiktirafan tersebut sudah tentu ia akan dapat memajukan sektor pelancongan di Bandar Muar dan seterusnya ia akan mendatangkan hasil cukai kepada kerajaan. Hasil cukai ini akan dapat digunakan oleh kerajaan untuk perbelanjaan pembangunan di negeri ini!

Yang Berhormat Dato’ Speaker

v. Replika Tarian Singa

Sungguhpun YAB Menteri Besar telah meluluskan pembinaan Replika Tarian Singa “Guan Sheng Gong” di Muar tetapi sehingga kini pihak MPM dan Pejabat Daerah masih belum memutuskan dimanakah akan letaknya Replika tersebut!

Bentayan berpendapat bahawa isu tersebut haruslah dipandang serius dan diselesaikan dengan kadar segera dan janganlah membiarkan warga Muar menunggu sehingga PRU yang ke 13 nanti! YAB Menteri Besar telah menjanjikan dan meluluskannya dan perlulah dikotakannya dengan segera!

5. Laluan ke Taman Permai/Taman Sri Maharani/Taman Orkid

Bentayan menerima aduan daripada penduduk-penduduk Taman Permai, Muar mengenai laluan yang menghubungkan di antara Taman Sri Maharani/Taman Permai/Taman Orkid di Muar telah menjadi sempit! Jalan tersebut telah menjadi lorong kecil!

Bentayan ingin menanyakan kepada kerajaan, adakah kerajaan bercadang untuk memperlebarkan jalan tersebut yang merupakan jalan utama untuk menghubungkan ketiga-tiga taman berkenaan sejak 20 tahun yang lalu dengan mengambil alih sebahagian tanah tersebut (iaitu di Lot PTB 15735 dan PTB 15736) dan pampasan yang munasabah diberikan kepada tuan tanah tersebut?

Bentayan berharap satu perancangan dan penyelesaian yang teliti haruslah diberikan ke atas masalah tersebut.

Yang Berhormat Dato’ Speaker

6. JPMM Bentayan

Mengenai peruntukan perbelanjaan pengurusan dan perbelanjaan akitiviti yang telah dibelanjakan oleh Pejabat JPMM Bentayan serta rancangan kerja-kerja kecil yang sedang/telah dijalankan tahun 2008, 2009 dan 2010, Bentayan mendapati bahawa YAB Menteri Besar memberikan jawapan yang bercanggah dengan soalan yang ditanya.

Macam mana soalan yang sama tetapi jawapan yang diberikan adalah berbeza-beza! Haruslah ingat, semua data perbelanjaan pengurusan dan aktiviti serta rancangan kerja-kerja kecil JPMM Bentayan adalah dikawal oleh kerajaan negeri dan Bentayan berharap kerajaan negeri lebih telus dan jujur semasa memberikan jawapan kepada Dewan yang mulia ini!

Yang Berhormat Dato’ Speaker

7. Tahniah dan Syabas Kepada OCPD & Pengurus TNB Muar

Di sini Bentayan ingin mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada Tuan OCPD Muar kerana beliau begitu prihatin dan amat mesra dengan rakyat! Tuan OCPD Muar begitu mesra dan begitu rapat dengan rakyat sehinggakan beliau sedia menerima panggilan telefon daripada orang awam sehingga larut malam dan juga mengadakan Hari Terbuka Setiap Hari Minggu, dari jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat!

Ucapan Syabas dan Tahniah juga kepada Ketua Balai Polis Sungai Abong, Muar yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada warga di Kawasan Bentayan dan Sungai Abong.

Bentayan juga ingin mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada Pengurus TNB Kawasan Muar kerana begitu prihatin dan mesra apabila menghadapi aduan-aduan daripada warga Muar.

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Bentayan mempunyai bukti bahawa Pengurus TNB Kawasan Muar menjalankan tugasnya dengan cemerlang sehingga ke waktu larut malam!

Sebagai contohnya: satu masalah rakyat telah di SMSkan kepadanya pada jam 11 malam dan Bentayan menerima jawapan daripada Pengurus TNB Kawasan Muar pada hari keesokan iaitu pada jam 5 pagi.

Bentayan juga ingin mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada Setiausaha MPM yang telah berkhidmat dengan cemerlang! Setiap temu janji akan dikotakan dan setiap MISS CALL yang Bentayan panggil, beliau akan menelefon balik kepada Bentayan!

Ketua-ketua Jabatan Kerajaan/GLC yang bertugas dengan cemerlang haruslah DIPUJI dan kepada ketua-ketua jabatan kerajaan yang lain yang masih ketinggalan di belakang haruslah mencontohi ketiga-tiga PEGAWAI yang DIPUJI seperti diatas!

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Bentayan dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat memerlukan kerjasama daripada Ketua-Ketua Jabatan di Daerah Muar mahupun di Negeri Johor dengan tujuan supaya masalah rakyat dapat diselesaikan dengan kadar segera!

Terdapat banyak Ketua-Ketua Jabatan Pejabat Kerajaan di Daerah Muar yang Bentayan terpaksa menghubungi untuk tujuan di atas tetapi kebanyakannya tidak rela menjawab panggilan telefon Bentayan!

Apabila Bentayan berjumpa dengan mereka, dan bertanyakan kepada mereka, mengapakah mereka enggan menjawab panggilan telefon Bentayan, ada yang menyatakan bahawa kebetulan sedang bermesyuarat dan ada yang menyatakan bahawa selepas waktu pejabat mereka enggan menerima sebarang panggilan telefon!

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Alangkah terperanjatnya, Bentayan mendengar penjelasan sebegini daripada Ketua-ketua Jabatan, sepatutnya sebagai Ketua Jabatan mereka seharusnya lebih peka kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat tetapi mereka memilih untuk tidak prihatin kepada masalah rakyat, tetapi Bentayan amat hairan kenapa sesetengah Ketua Jabatan sebegini mempunyai ruang masa untuk minum kopi pada jam 4.20 petang waktu pejabat di sebuah Kedai Kopi di Bandar Muar. (Pada Tarikh 02-Jun-2010).

Bentayan berpendapat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan haruslah diamanahkan hanya kepada seorang yang betul-betul prihatin, bertanggungjawab, jauhi dari amalan rasuah dan sedia menyelesaikan masalah rakyat sahaja!

Penutupan Pusat Pelupusan Sampah Di Bukit Bakri

Bentayan berharapkan supaya Pusat Pelupusan Sampah di Bukit Bakri yang dijanjikan oleh YAB Menteri Besar bahawa akan ditutup secara berperingkat-peringkat perlulah DISEGERAKAN! Mangsa di sana ialah penduduk-penduduk persekitaran yang sudah tidak dapat menahan terhadap pencemaran bau dan udara yang amat teruk di kawasan tersebut!

Kesimpulan
Slogan 1 Malaysia yang diluang-luangkan oleh YAB Perdana Menteri “Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan” tidak akan dapat direalisasikan memandangkan parti-parti politik yang berasaskan perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC masih wujud di Negara ini.

0 comments: