SENAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bentayan, Gwee Tong Hiang menyangkal parti Pas adalah sekadar menjadi sebuah parti pak turut tetapi bergerak atas nama Pakatan Rakyat (PR).
Menurutnya, mereka mempunyai perjuangan yang sama mempertahankan hak dan keadilan rakyat untuk dinikmati secara bersama yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Kepimpinan ketiga-tiga parti ini sentiasa bergerak bersama melalui sebuah keputusan yang dicapai melalui meja rundingan dan perbincangan yang dilakukan dari semasa ke semasa demi mencapai keputusan yang mantap.
“Di samping itu, barisan PR juga sentiasa berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dan keadaan ini berbeza dalam UMNO yang mana ada parti yang sebenarnya menjadi pak turut sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Tong Hiang berkata, masing-masing mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat untuk memangkin serta memajukan parti sebagai usaha mengukuhkan dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Menurutnya, perkara ini jelas kelihatan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Unda�ngan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi meskipun Pas tewas atas faktor tertentu dan kemenangan Barisan Nasional (BN) juga atas sebab tertentu.