诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Wednesday, July 15, 2009

Ucapan ADUN Bentayan Sempena Membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan D.Y.M.M. Tuanku

Y.B. Dato’ Speaker

Ribuan terima kasih kepada Y.B. Dato’ Speaker, kerana sudi memberi peluang kepada Bentayan untuk membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan D.Y.M.M. Tuanku yang dicadangkan oleh YB Bukit Serampang.

Y.B. Dato’ Speaker

Baru-baru ini, seluruh negara gempar dan sedih dengan kejadian 2 wanita mengandung yang maut akibat diragut. Kes Jamilah Selamat dan Saripah Mohd Noor serta banyak lagi kes-kes lain jelas sekali menunjukkan bahawa pihak polis perlu meningkatkan lagi usaha untuk membanteras kejadian-kejadian sebegini.

Sampai bila lagi rakyat perlu hidup dalam ketakutan terutamanya sekali apabila hendak keluar dari rumah? Bukan itu sahaja, walaupun kita mengambil tindakan untuk duduk di rumah sahaja, ini juga tidak dapat menjamin keselamatan kita memandangkan penjenayah-penjenayah sekarang semakin berleluasa.

Malah rumah Ketua Polis Daerah sendiri juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran penjenayah. Rumah Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yaacob telah dipecah masuk oleh tiga lelaki warga Indonesia di Taman Damansara Aliff pada pagi 30 April 2009.

Menurut laporan, mangsa pada masa kejadian hanya seorang diri di dalam rumah dan diikat dengan menggunakan wayar. Nasib baik tiada sesiapapun yang tercedera dalam kes tersebut.

Y.B. Dato’ Speaker


Kes seorang Ketua Polis Daerah diikat dan dirompak di dalam rumahnya sendiri bukan sahaja memalukan malah, ini menunjukan kegagalan Polis Diraja Malaysia dalam usaha menangani jenayah serta gagal menurunkan statistik kes jenayah terutamanya di beberapa kota-kota terkenal dengan penjenayahan yang melampau.

Dewasa ini, bukan sahaja kita sebagai rakyat biasa, pelancong-pelancong serta pelabur yang tidak berasa aman dan selamat malah anggota polis seperti Ketua Polis Daerah sendiri turut menjadi mangsa penjenayah.

Y.B. Dato’ Speaker


Di Daerah Muar pula, sering boleh mendengar khabar-khabar angin bahawa anak-anak taukeh yang diculik dan diugut dengan sejumlah wang ringgit. Walau pun khabar-khabar angin ini belum tentu kebenarannya, satu kes penculikan dan pembunuhan yang kejam telah berlaku di Muar baru-baru ini.

Kes mayat yang disimpan dalam tong simen ini telah mengerunkan seluruh penduduk di Daerah Muar. Anak seorang taukeh syarikat pengangkutan telah diculik ketika dalam perjalanan balik ke rumahnya. Ayah kepada mangsa tersebut telah menerima ugutan sejumlah wang ringgit bagi menyelamatkan anaknya.

Sedihnya, walaupun wang tebusan telah dibayar, remaja yang baru berumur 20-an itu tetap ditimpa kemalangan. Difahamkan, mayat lelaki itu diletakkan dalam keadaan membongkok dengan lututnya dirapatkan ke dada, manakala hidung dan mulutnya dibungkus dengan plastik sebelum disumbat ke dalam tong dan dicurahkan simen. Tong itu kemudiannya dicampakkan di suatu kawasan kebun dan ditemui oleh sekumpulan remaja di Kampung Parit Punggur Darat, Jalan Sri Tanjung, Muar.

Y.B. Dato’ Speaker

Di sini, Bentayan ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Daerah Muar yang telah berjaya melancarkan“Program Community Policing” dengan izin, di beberapa kawasan perumahan di Bandar Muar. Program Community Policing ini memang terbukti dapat membantu mengurangkan kes jenayah disekitar Daerah Muar.

Disamping itu, ia juga boleh merapatkan hubungan antara jiran setaman dalam bekerjasama membanteras jenayah. Inilah semangat kejiranan yang diinginkan. Melalui program ini, penghuni juga semakin peka kepada kemunculan wajah-wajah yang tidak dikenali yang muncul di sekitar kawasan perumahan.

Ini turut dapat mencegah kes jenayah daripada berlaku. Dengan ini, Bentayan ingin menyarankan kepada pihak polis supaya meneruskan lagi usaha baik ini dan harap program ini dapat berjaya disebarkan ke semua pelusuk bukan sahaja di Daerah Muar malah diseluruh daerah di Negeri Johor.

Y.B. Dato’ Speaker


Bentayan juga berharap supaya pihak polis boleh menambahkan lagi frekuensi rondaan mahupun di kawasan bandar atau di kawasan perumahan. Di kawasan bandar, Bentayan berharap kehadiran anggota-anggota polis di khalayak awam akan lebih ketara.
Usaha ini dipercayai akan merencatkan lagi aktiviti-aktiviti jenayah seperti kes meragut daripada berlaku. Rondaan anggota-anggota polis di sekitar perumahan pada waktu malam dan awal pagi adalah amat dialu-alukan.

Seperti yang sedia maklum, kes pecah masuk rumah selalunya berlaku ketika semua sedang lenak tidur.

Y.B. Dato’ Speaker

Untuk meningkatkan lagi kesedaran dan kepekaan penduduk terhadap pencegahan jenayah, Bentayan berharap polis boleh mengadakan lebih banyak dialog bersama-sama penduduk bagi membincangkan masalah yang mungkin dihadapi oleh rakyat. Di kawasan DUN Bentayan, dengan kerjasama daripada Ketua Polis Daerah Muar, Bentayan telah berjaya mengadakan satu dialog mesra bersama-sama penduduk tempatan pada 14-Jun-2009.

Y.B. Dato’ Speaker

Di Bandar Muar, terdapat sebuah hospital pakar kerajaan yang dinamakan Hospital Pakar Sultanah Fatimah yang terletak di kawasan DUN Bentayan.

Yang anehnya pihak JPJ Muar sering kali mengadakan operasi sekatan jalan atau “Road Block” dengan izin, di persimpangan Jalan Sungai Abong/Jalan Hospital iaitu dihadapan Klinik Kesihatan Maharani yang bersebelahan dengan pintu masuk ke hospital tersebut.

Operasi tersebut telah menyebabkan kesesakan lalulintas di kawasan tersebut, ini adalah kerana laluan tersebut merupakan laluan tunggal para penduduk yang tinggal di kawasan Sungai Abong, Bakariah dan berhampiran yang ingin ke Hospital tersebut.

Disamping itu, ia sudah tentu akan melambatkan pergerakan Kenderaan Yang Membawa Pesakit Dalam Kecemasan atau Ambulan untuk ke Hospital berkenaan. Masa itu emas, setiap saat dikira, nyawa rakyat akan dapat diselamatkan sekiranya mereka sampai ke Hospital dengan secepat mungkin yang boleh!

Maka itu, Bentayan berharap pihak JPJ Muar dapat mencari suatu tempat yang lebih sesuai untuk menjalankan operasi sedemikian rupa demi manfaat rakyat Muar!

Y.B. Dato’ Speaker

Pada kebelakangan ini, Jadual Pemunggutan Sisa Pepejal telah menimbulkan begitu banyak masalah! Penduduk-penduduk disekitar Bandar Muar telah menghadapi masalah ini terutamanya sekali dikawasan pinggir bandar. Setiap hari, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bentayan menerima aduan daripada rakyat mengenai masalah sisa pepejal di halaman rumah mereka tidak dipungut ada yang menjangkau sehingga selama sepuluh hari lamanya.

Sisa pepejal itu kebanyakan adalah sisa makanan dan ia akan mereput dan mengeluarkan bau busuk. Keadaan ini bertambah buruk sekiranya terdapat sekumpulan binatang seperti anjing-anjing atau kucing-kucing liar yang lapar mencari makanan akan mengheret bungkusan sampah ini.

Bayangkan sebuah taman perumahan yang patut selesa diduduki akhirnya dipenuhi dengan sampah-sarap busuk dimerata tempat.

Y.B. Dato’ Speaker

SWM yang bertanggungjawab sepatutnya meningkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka. Sampah-sarap sepatutnya dipungut setiap hari ataupun sekurang-kurangnya setiap dua hari sekali. Jika SWM kekurangan lori pengangkutan, perlulah ditambahkan dengan segera.

Disamping itu, Pihak Berkuasa Tempatan harus memainkan peranan yang proaktif bagi memastikan kontraktor yang diamanahkan itu menjalankan tugas mereka dengan baik.

Y.B. Dato’ Speaker

Satu lagi masalah yang sering dihadapi oleh penduduk di kawasan DUN Bentayan ialah sering kelihatan terdapat longgokkan sampah-sarap yang terdapat di tepi-tepi jalan. Setelah meneliti masalah ini, Bentayan mendapati punca masalah ini disebabkan oleh pembangunan yang tidak terancang terutamanya sekali di kawasan rumah setinggan.

Sebagai contoh, sekeping tanah dengan geran tunggal mungkin diduduki lebih daripada puluhan keluarga rumah didalamnya. Lorong-lorong yang sempit dikawasan tersebut telah menyukarkan kerja-kerja pungutan sisa pepejal dilakukan. Penduduk akhirnya terpaksa membuang sisa pepejal mereka di tepi jalan dan longgokan sampah-sarap ini telah memburukkan imej dan keindahan Bandar Muar.

Pihak Berkuasa Tempatan telah mengambil tindakan dengan mendirikan lebih banyak papan tanda amaran yang melarang orang awam daripada membuang sampah dikawasan tersebut.

Akan tetapi, tindakan ini bagai tuangkan air ke atas daun keladi, sia-sia sahaja kerana tidak menyelesaikan masalah dasarnya.

Y.B. Dato’ Speaker

Sistem perparitan diperkampungan Jalan Paip, Parit Beting, Muar seharusnya diberi perhatian yang serius oleh pihak MPM. Ini adalah kerana keadaan di Kg Jalan Paip ialah kawasan tersebut merupakan sekeping tanah geran tunggal yang diduduki oleh puluhan keluarga rumah didalamnya.

Apabila hujan, kawasan tersebut akan jadi banjir, ini kerana tiada sistem perparitan yang sempurna untuk mengeluarkan air yang berlebihan.

Bentayan bercadang supaya Pihak Berkuasa Tempatan dapat mengenai pasti kawasan-kawasan setinggan yang menghadapi masalah ini, kemudian kalau mampu, dirikan stesen-stesen pemungutan sampah yang sah di kawasan tersebut. Stesen-stesen ini akan sentiasa dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan supaya berkeadaan kemas selalu.

Konsep ini sudah lama dipakai di kondominum dan terbukti berkesan. Tong Kitar Semula yang mengasingkan jenis sampah juga boleh diperkenalkan melalui stesen pemungutan ini.

Y.B. Dato’ Speaker

Sesungguhnya kami amat bersyukur kepada Maljis Perbandaran Muar kerana telah menyediakan pelbagai kemudahan awam bagi kegunaaan penduduk Muar. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pihak MPM kerana telah berjaya memperbaiki trek larian di Stadium Muar.

Akan tetapi, sayangnya sebahagian daripada kemudahan-kemudahan ini seolah-olah sudah hilang kegunaannya akibat tiadanya penyelenggaraan yang tetap.

Sebagai contoh, Kolam Renang Muar yang sudah lama terbengkalai itu sudah menjadi tempat pembiakan nyamuk, ular malah menjadi tempat perjumpaan penagih-penagih dadah. Penduduk Muar yang pada suatu setika gemar dengan aktiviti renang ini telah kehilangan satu lagi kegiatan yang sihat bagi golongan remaja. Bentayan merayu kepada kerajaan negeri supaya dapat menyediakan peruntukan bagi memulihkan kolam renang awam tersebut.

Y.B. Dato’ Speaker

Kita memang memerlukan sepasukan pihak berkuasa tempatan yang lebih efektif bagi membina satu suasana yang lebih selesa didiami di kawasan Bandar Muar.

Antara kritikan-kritikan itu ialah pihak berkuasa tempatan tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya terutamanya sekali dalam merancang pembangunan dengan teratur dan mampan sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas, banjir kilat, pencemaran alam sekitar dan juga kadar cukai harta yang membebankan rakyat.

Y.B. Dato’ Speaker

Masalah tempat pembuangan sisa pepejal di Medan Ikan Bakar Sabak Awor masih tidak dapat diselesaikan dengan sempurna sehingga hari ini.

Slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan haruslah dipraktikkan oleh semua jabatan kerajaan dinegeri ini. Sekiranya tidak, Slogan hanya tinggal slogan sahaja.

Y.B. Dato’ Speaker

Penduduk-penduduk Taman Cahaya 2, Muar merasa amat tidak berpuas hati mengenai masalah tersebut kerana pencemaran bau busuk disana dan mereka telah mencadangkan supaya YDP Majlis Perbandaran Muar bersama-sama dengan EXCO Kerajaan Tempatan untuk tinggal di kawasan tersebut selama 1 hari.

Penduduk disana akan menyediakan tempat tinggal, makanan dan minuman yang sedap untuk dihidangkan kepada mereka dengan syarat, mereka makan makanan itu tanpa menutup pintu dan tingkap rumah.

Hidukanlah bau yang busuk bersama-sama dengan makanan yang dihidangkan.

Penduduk-penduduk Taman Cahaya 2, Muar ingin mengetahui sama ada YDP MPM, EXCO Kerajaan Tempatan dapat bertahan dengan bau busuk yang terdapat di tempat tersebut?

Sekiranya tidak, diharapkan tempat pembuangan sisa pepejal tersebut haruslah dipindahkan ke suatu tempat yang lebih sesuai lagi!

Y.B. Dato’ Speaker

Baru-baru ini, Menara Jam yang terletak di Laman Maharani, Padang Nyiru, Muar telahpun dicat dengan warna baru iaitu warna oren dan putih, dilaporkan bahawa ia telah menelan belanja sehingga RM100,000.

Kedai-kedai dikedua-dua belah Menara Jam juga dicat hingga ke paras bumbung.

Mengapakah menara tersebut memerlukan perbelanjaan yang begitu tinggi untuk mengecat semula, padahal ia baru siap dibina sejak 2 tahun yang lalu?

Rumput-rampai dikawasan tersebut sudah hampir mati disebabkan tidak disiram air dan baja pada suatu tempoh yang agak lama. Mereka hanya berharapkan kepada air hujan tetapi air hujan tidak sampai.

Bentayan menerima aduan daripada para perkerja asing seperti dari Bangladesh dan Nepal yang sering mengambil gambar di kawasan Laman Maharani yang menyatakan bahawa ahli keluarga mereka menanya kepada mereka kenapa warna rumput di Muar, telah bertukar dari warna hijau ke kuning?

Bentayan berharap pihak MPM haruslah mengambil tindakan segera untuk menyelenggara tempat tersebut dengan baiknya kerana wang rakyat berjuta-juta ringgit telahpun dibelanjakan!
Y.B. Dato’ Speaker

Pada akhir tahun 2008, Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Johor, En Lee Ching Yong menyatakan bahawa, beliau akan memohon daripada Kerajaan Negeri untuk menggantung 2 Pasang Reptika Naga dan Singa di Jambatan Sultan Ismail, Muar dan dikawasan-kawasan jalan utama di Bandar Muar sepertimana yang telah disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan pada 29-Dis-2008.

Beliau menyatakan bahawa ia akan dapat melambangkan keunikan Bandar Muar! Bilakah kerajaan negeri akan memberikan kelulusan kepada permohonan tersebut?

Y.B. Dato’ Speaker

En Lee Moon Keng yang tinggal di Taman Sakeh Baru, Muar telah menerima NOTIS PANGGILAN UNTUK SIASIATAN LANJUT DI UNIT PENGUATKUASA MPM pada 10-Jun-2009 jam 10.00 malam.

Pada malam tersebut sekeluarganya tiada dirumah dan hanya tinggal isterinya yang sakit angin ahmar atau “stroke” dengan izin, seorang diri. Notis itu kemudiannya dikirimkan kepada jiran sebelah rumahnya.

Pegawai MPM seramai 5 orang yang menghantar Notis berkenaan memesan kepada jiran En Lee supaya beliau hadir di pejabat MPM untuk menyelesaikan saman itu, sekiranya tidak, beliau akan diheret ke Mahkamah.

Pegawai MPM tidak seharusnya menakut-nakutkan perkara remeh-temeh seperti ini dan perbuatan mereka haruslah dikeji.
En Lee merasa aneh kerana beliau selama ini tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan MPM dan telah menelefon pejabat MPM mengenai kesalahan yang dilakukan itu.

Beliau terperanjat kerana diberitahu oleh Pegawai Penguatkuasa MPM bahawa kereta miliki beliau telah melakukan 3 kesalahan mengenai “Parking” dengan izin pada tahun 2007.

Kereta Proton Saga Buatan Tahun 1991, No. Pendaftaran JCL 479 yang dimiliki oleh beliau telah dijual dan status pemilik baru telah didaftarkan pada tarikh 28-Nov-2006. Ini telah membuktikan bahawa beliau bukan pemilik kereta berkenaan pada masa ketiga-tiga kompaun dikeluarkan.

Y.B. Dato’ Speaker

En Lee merasa amat tidak berpuas hati kerana setelah berjumpa dan telah menunjukkan bukti salinan pemilik baru dalam kad pendaftaran kereta tersebut kepada Ketua Jabatan Undang-Undang MPM, pada tarikh 12-Jun-2009, pihak MPM menyatakan mereka masih memerlukan masa untuk menyiasat perkara tersebut kerana pihak JPJ yang membekalkan MAKLUMNAT YANG TIDAK DIKEMASKINIKAN!

Ini telah menunjukkan keangkuhan pegawai MPM yang telah melakukan kesilapan tetapi masih tidak mahu mengakui kesilapan yang telah dibuatnya malah masih cuba menyusahkan rakyat yang tidak berupaya untuk mempertahankan diri mereka.

Rakyat dikemudiankan bukan didahulukan!

Disini, Bentayan merasakan bahawa pihak MPM seharusnya memohon maaf kepada EN Lee Moon Keng keatas kesilapan yang dibuat oleh mereka! Sekiranya tidak, pegawai berkenaan mestilah meletak jawatan dengan SEGERA!

Y.B. Dato’ Speaker

Kebelakangan ini, terdapat kes-kes disiplin pelajar yang teruk di beberapa buah sekolah di sekitar Bandar Muar. Pelajar-pelajar ini terlibat dalam pergaduhan dalam kawasan sekolah. Ini bukan sahaja menyusahkan pihak sekolah namun ia juga mengganggu pelajar-pelajar lain yang memang minat belajar.

Y.B. Dato’ Speaker

Pihak sekolah boleh menganjurkan program seperti‘Hari Keluarga Bersama Guru’ bagi mengeratkan lagi hubungan ibu-bapa dengan guru. Melalui program ini, masalah disiplin pelajar tersebut boleh dibincang lebih terperinci.

Ini mungkin kerana ada diantara pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin, mempunyai sebuah keluarga yang bermasalah. Dengan menghadiri program ini, ibu bapa juga boleh lebih memahami perangai anak mereka.

Pihak sekolah juga boleh bekerjasama dengan badan-badan NGO untuk menganjurkan seisi kaunseling bagi pelajar yang bermasalah ini.

Masalah displin pelajar dan tekanan guru di Sekolah Menengah haruslah diambil perhatian. Pada bulan April 2009 yang lepas telah berlaku satu kes dimana seramai 36 orang pelajar kena cubit oleh guru disebuah Sekolah Menengah di Bandar Muar.

Y.B. Dato’ Speaker

Guru sekolah tersebut telah menelefon saya supaya menolongnya untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan para ibu-bapa mereka. Setelah berbincang dengan para ibu-bapa mereka, permintaan ibu-bapa adalah mahulah guru tersebut meminta maaf secara terbuka dan ini telah dipersetujui oleh guru tersebut. Akhirnya satu sidang akhbar telah diadakan pada 07-April-2009 atas permintaan kedua-dua pihak.

Sepatutnya guru yang menghadapi tekanan semasa menjalankan tugas harian mereka, haruslah pergi ke hospital untuk berjumpa dengan para doktor dan doktor akan tahu bagaimana untuk mengubati dan menyelesaikan masalah mereka.

Y.B. Dato’ Speaker

Pertanian itu merupakan satu industri yang amat penting di Negara ini. Makanan merupakan keperluan asas dan bekalan makanan yang mencukupi adalah penting bagi menjaminkan kemajuan dan perkembangan ekonomi Negara kita. Bekalan ini mesti terus bertambah bagi menampung keperluan jumlah penduduk yang semakin meningkat.

Kita bersyukur kerana Malaysia dikurniakan persisiran laut yang panjang dimana lautannya kaya dengan pelbagai jenis sumber makanan laut. Kerajaan harus terus memberi galakkan dan insentif kepada para nelayan yang berani mengharungi arus ombak bagi memastikan kita mendapat bekalan laut yang mencukupi.

Bentayan ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana amat prihatin kepada keluhan rakyat dan telah memperuntukan sebanyak RM500,000 untuk memanjangkan Jeti Pengkalan Bentayan sehingga 100 kaki dan menyediakan kemudahan lampu di sana pada waktu malam.

Y.B. Dato’ Speaker

Masalah saliran parit yang merentasi Taman Ria, Muar dibawah jagaan Jabatan Pengairan Dan Saliran telah dipenuhi dengan semak-samun sehingga ianya boleh dipanjat.

Pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran menyatakan bahawa mereka baru sahaja membersihkan saliran parit tersebut pada bulan Nov’ 2008.

Pada pandangan saya, sekiranya sudah bersemak-samun, bersihkanlah sekali lagi. Ini adalah kerana kawasan tersebut telah menjadi tempat pembiakan nyamuk, tikus, biawak dan keadaan ini amat merbahayakan kepada para penduduk yang tinggal di kawasan taman tersebut!

Y.B. Dato’ Speaker

Soalan-soalan sama ada lisan atau bertulis yang ditolak oleh YB Dato’ Speaker sepatutnya boleh digantikan dengan soalan-soalan yang lain. Ini adalah kerana mulai Penggal Persidangan ini, soalan-soalan ADUN telah dihadkan kepada 6 Soalan Lisan dan 5 Soalan Bertulis. Bentayan berharap YB Dato’ Speaker dapat meluluskan cadangan tersebut.

Satu Soalan Lisan pada Penggal ini telah ditolak oleh YB Dato’ Speaker.

Y.B. Dato’ Speaker


“Allah peliharakan Sultan, Allah selamatkan Sultan” dengan izin, adalah permulaan dan pengakhiran Lagu Negeri Johor.

Adakah pelajar-pelajar dan rakyat di Negeri Johor yang beragama Katolik dibenarkan menyanyikan Lagu ini memandangkan bahawa kerajaan tidak membenarkan “Suratkhabar Katolik, The Herald” menggunakan perkataan “Allah” dalam terbitannya?

Y.B. Dato’ Speaker

Tanah Perkuburan Islam di Jalan Bakri/Jalan Hashim, Muar telahpun dipagari pada bulan Februari 2009. Bentayan ingin mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan negeri atas peruntukan tersebut! Ini bermakna Bentayan daripada Parti DAP juga berjuang untuk semua kaum dan bukan sekadar satu kaum sahaja. Memang pasti Parti DAP adalah parti berbilang kaum.

Terima kasih Y.B. Dato’ Speaker.

YB Gwee Tong Hiang
Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Kawasan Bentayan
26 - Jun - 2009

0 comments: