诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Wednesday, February 18, 2009

SOALAN-SOALAN BERTULIS DI PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR PADA 21-11-2008 YANG DISOAL OLEH Y.B. ENCIK GWEE TONG HIANG AHLI DEWAN NEGERI, KAWASAN B'YAN

SOALAN 17 (A156)

Kes Pecah Masuk Rumah Di Daerah Muar.

a. Berapakah jumlah kes pecah masuk rumah yang telah dilaporkan berlaku di seluruh Daerah Muar pada tahun 2008?

b. Berapakah jumlah kerugian yang dilaporkan oleh mangsa-mangsa tersebut?

c. Berapakah peratus kes yang dianggap telah diselesaikan oleh pihak Polis Daerah Muar setakat kini?

d. Apakah mekanisme yang akan diambil oleh pihak polis untuk mengurangkan kadar jenayah tersebut?


JAWAPAN Y.A.B. DATO' MENTERI BESAR

Kes-kes pecah masuk yang dilaporkan berlaku di seluruh Daerah Muar bagi tahun 2008 (Januari hingga Oktober) adaalh sebanyak 233 kes.

Jumlah kerugian yang dilaporkan dari Januari hingga Oktober adalah sebanyak RM2,043.472.
Peratus yang dianggap selesai adalah 36.90 peratus.

Mekanisme yang akan diambil oleh pihak polis untuk mengurangkan kadar jenayah :-

i) Melebihkankekerapan rondaan motosikal dan berkereta.

ii) Membuat ambush di tempat-tempat yang selalu berlaku jenayah tersebut.

iii) Meningkatkan kempen kesedaran di kalangan penduduk mengenai keseluruhan rumah / harta benda dan diri.

iv) Mengesyorkan supaya diadakan Community Policing di tempat-tempat yang berkaitan.



SOALAN 30 (A158)

Encik Chia Eng Hook (No. Rujukan MPM : (12)dlm.MPM/JPPH/PTD 5891/15)

En Chia Eng Hook memiliki sekeping tanah di Lot No. 5891, No. Hakmilik : GM728, Tanah Perniagaan Jalan Benteng, Tanjung Agas, Muar. Kegawatan ekonomi sekarang telah mengakibatkan beliau tidak berupaya untuk membangunkan tanah tersebut. Surat MPM bertarikh 8 Julai 2008 yang menyatakan bahawa Nilai Pasaran Sebenar Tanah tersebut adalah di antara RM980,000.00 hingga RM1.3 juta tetapi mengikut penilaian daripada Tetuan Henry Butcher, yang diupah oleh beliau sendiri, nilai pasaran tanah tersebut hanyalah setakat RM573,000.00 sahaja.

a. Apakah mekanisme yang digunakan untuk membuat penaksiran tanah tersebut memandangkan terdapat perbezaan yang amat jauh di antara kedua-dua penaksir?

b. Berapakah bayaran cukai harta yang sepatutnya dibayar oleh En. Chia Eng Hook?

c. Mengapakah En. Chia Eng Hook terpaksa membayar cukai harta tersebut sedangkan pihak MPM tidak memberikan sebarang perkhidmatan kepada beliau?


JAWAPAN Y.B. DATUK HAJI AHMAD ZAHRI BIN JAMIL
Mekanisme atau asas penilaian cukai harta di pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor adalah berdasarkan kepada nilai tambah.

Nilai tambah bermaksud nialai pasaran sesuatu hartanah berdasarkan kepada aras nilaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan.

Bagi Majlis Perbandaran Muar, senarai nilaian yang digunapakai adalah berdasarkan nilaian pasaran tahun 1990 dan berkuatkuasa mulai tahun 1996.

Antara faktor yang diambilkira semasa membuat penilaian adalah :

i) Syarat kegunaan tanah

ii) Saiz dan bentuk tanah

iii) Sekatan (jika ada)

iv) Bebas atau pajakan

v) Lokasi atau kedudukan harta

vi) Kemudahan asas yang ada

vii) Perbandingan nilai jualbeli harta yang serupa di Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Dalam menentukan nilai pasaran sesuatu hartanah, kaedah penilaian yang digunakan oleh jurunilai swasta dan pegawai penilai di Pihak Berkuasa Tempatan adalah sama. Perbezaan nilaian di mana pihak tetuan Henry Butcher menggunakan aras nilai tahun semasa, manakala Majlis Perbandaran Muar menggunakan aras nilai tahun 1990.

Lot 5891, hakmilik GM728 adalah tanah dengan pegangan bebas, syarat kegunaan tanah adalah perniagaan (untuk showroom) terletak di kawasan Perindustrian Tanjung Agas. Cukai baru yang dikenakan ialah RM3,765.00 setahun. Kadar yang dikenakan bagi pegangan perniagaan ialah 0.5% dari nilai tambahan. Jika pegangan perindustrian kadar yang dikenakan ialah 1%.

Cukai harta ini dikenakan berdasarkan peruntukan Seksyen 127 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (akta 171) yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri untuk mengenakan cukai harta bagi setiap pegangan bercukai di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Ini bermakna semua pegangan yang mempunyai hakmilik/geran di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan boleh dikenakan cukai harta termasuklah tanah kosong. Memandangkan tanah tersebut terletak di dalam kawasan yang diwartakan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Muar, maka tanah tersebut boleh dikenakan cukai walaupun Majlis Perbandaran Muar belum memberikan apa-apa perkhidmatan secara terus kepada harta tanah tersebut. Namun begitu, pihak Majlis Perbandaran Muar menggunakan hasil cukai tersebut untuk tujuan penyelenggaran terhadap jalan raya, perparitan dan saliran, lampu jalan, kawasan lapang, dewan orang ramai, taman rekreasi, keceriaan bandar, pengurusan sisa pepejal, pemotongan rumput dan lain-lain perkhidmatan yang diberikan oleh Majlis Perbandaran Muar di kawasan sekitarnya yang akhirnya akan memberi faedah kepada pemilik harta tanah tersebut.



SOALAN B 168

Air bertakung di atas Jambatan ke 2 di persimpangan ke Tangkak/Melaka, Muar setiap kali hujan tiba.

Pihak yang bertanggungjawab perlu menyegerakan atau memperbetulkan keadaan di kawasan tersebut. Ini adalah kerana sekiranya ia tidak disegerakan kemungkinan besar ia akan merbahayakan kepada pengguna jalan raya yang menggunakan jalan tersebut.


JAWAPAN

Kerja-kerja penyelenggaraan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar dengan membersihkan paip saluran keluar yang tersumbat setiap kali hujan lebat dan takungan air di atas jambatan telah tiada. Kerja-kerja penyelenggaraan akan dibuat dari semasa ke semasa.



SOALAN B 169

Projek Perparitan di Jalan Ali/Jalan Arab, Muar.

a. Berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan ke atas projek tersebut?

b. Dari manakah datangnya peruntukan tersebut?


JAWAPAN

a. Projek menaik taraf Jalan Ali/Jalan Arab ini dilaksanakan dengan kos keseluruhan berjumlah RM199,499.00.

b. Peruntukan diterima daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.



SOALAN B 170

Adakah kerajaan bercadang untuk menaikkan taraf sistem perparitan Jalan Hj. Hasan Andung, Off Jalan Salleh, Muar memandangkan kawasan tersebut sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan tiba?


JAWAPAN

Majlis Perbandaran Muar sedang melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di Jalan Haji Hsan Andung, Off Jalan Salleh, Muar. Kos pelaksanaan kerja-kerja tersebut berjumlah RM192,000.00. Kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan tersebut dijangka siap apda 15 Disember 2008.


SOALAN B 171

Terdapat kelab-kelab yang ditubuhkan di dalam jabatan-jabatan Kerajaan Negeri, sama ada ianya kelab sukan ataupun lain-lain kelab. Adakah setiap penyata kewangan mereka ini diaudit setiap tahun? Ini adalah kerana sebahagian besar daripada sumber kewangan itu adalah sumbangan dari pihak orang ramai dan penyata kewangan kelab-kelab kerajaan ini seharuslan lebih transparent.

JAWAPAN

Daripada 14,327 buah pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bagi Negeri Johor, terdapat sebanyak 149 buah terdiri daripada kelab-kelab yang didaftarkan dari kalangan jabatan-jabatan kerajaan, institusi-institusi latihan kerajaan, universiti-universiti awam, hospital-hospital kerajaan dan lain-lain kerajaan.

Semua kelab/pertubuhan jabatan kerajaan berdafatr adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan terkandung di dalam undang-undang berdaftar kelab/pertubuhan tersebut masing-masing yang digubal selaras dengan kehendak-kehendak yang ditetapkan di dalam Akta Pertubuhan, 1966.

Dalam konteks ini, secara pentadbiran sahaja, jabatan ini berkehendaklah sesuatu kelab/pertubuhan jabatan kerajaan memasukkan peruntukan di dalam undang-undang berdaftarnya sebagai satu usaha untuk mengingatkan setiausaha kelab/pertubuhan supaya mengirimkan penyata tahunan kelab/pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari daripada tarikh mesyuarat agung tahunan diadakan, sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966 di mana penekanan diberi kepada penghantaran penyata kira-kira pertubuhan sebagaimana kehendak terkandung di dalam perenggal (d) Seksyen yang sama.

Seksyen 14 (1)(d) Akta Pertubuhan, 1966 memperuntukkan bahawa :

“(1) Tiap-tiap pertubuhan berdaftar hendakah menghantarkan kepada Pendaftar dalam masa enam puluh hari selepas mengadakan mesyuarat agung tahunannya atau sekiranya tiada sesuatu mesyuarat agung diadakan, dalam tempoh enam puluh hari selepas berakhirnya setiap tahun kalendar-
(d) kira-kira bagi tahun kewangan yang berakhir bagi pertubuhan itu, bersama dengan
suatu kunci kira-kira menunjukkan kedudukan kewangan pada penghujung tahun
kewangan yang akhir bagi pertubuhan itu;”

Dari peruntukan di atas, boleh disimpulkan bahawa tiada peruntukan di bawah Akta yang mensyaratkan sesuatu penyata kewangan pertubuhan diaudit. Akan tetapi, secara pentadbiran sahaja, jabatan ini telah juga berkehendakkan sesuatu pertubuhan memasukkan peruntukan mengenai perlantikan Pemeriksa/Pemeriksa-pemeriksa (secara dalaman oleh ahli-ahli pertubuhan di dalam Mesyuarat Agung) di dalam undang-udang berdaftar pertubuhannya. Dengan demikian, memadailah penyata kewangan pertubuhan tersebut diaudit oleh Pemeriksa/Pemeriksa-pemeriksa (dalaman) yang dilantik itu kecuali pertubuhan itu sendiri berkehendakkan penyata kewangan pertubuhan diaudit oleh Juruaudit (Auditor) bertauliah dan menyatakan sedemikian di dalam undang-undang berdaftar pertubuhannya.

Namun demikian, sekiranya sesuatu pertubuhan tidak mengemukakan dokumen-dokumen/makluamt-makluamt bertulis sebagaimana yang diperintahkan di bawah Seksyen 14(A) Akta Pertubuhan, 1966, maka tindakan di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan, 1966 akan diambil oleh Pendaftar terhadap pertubuhan tersebut di mana ianya akan diperintah untuk memberi kira-kira yang telag sempurna diaudit, sebagaiman kehendak yang terkandung di dalam perenggan (d) seksyen yang sama.

Seksyen 14 (2)(d) Akta Pertubuhan, 1966 memperuntukkan bahawa :

“(2) Pendaftar boleh, pada bila-bila masa dengan jalan notis yang ditandatanganinya, memerintah mana-mana pertubuhan berdaftar supaya memberi kepadanya dengan bertulis:-
(d) kira-kira yang telah sempurna diaudit;”

Seksyen 14(4) Akta Pertubuhan, 1966 memperuntukkan bahawa :

“Bagi maksud seksyen ini, “telah sempurna diaudit” ertinya telah diaudit oleh seorang Juruaudit yang diluluskan oleh Pendaftar, dan kelulusan itu boleh diberi oleh Pendaftar pada amnya atau untuk sesuatu audit yang tertentu; dan juruaudit yang diluluskan demikian itu hendaklah membuat suatu penyata atas kira-kira yang telah diperiksa olehnya bentuk sebagau yang dikehendaki oleh Pendaftar.”

Kegagalan sesuatu pertubuhan dalam menghantar dokumen-dokumen/maklumat-maklumat bertulis sebagaimana yang diperintah oleh Pendaftar di bawah Seksyen 14 di atas mengakibatkan pendaftaran pertubuhan tersebut dibatalkan di bawah Seksyen 13 (1)(d) Akta Pertubuhan, 1966.

0 comments: