诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Friday, March 20, 2009

SOALAN-SOALAN BERTULIS DI PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR PADA 26-02-2009 YANG DISOAL OLEH Y.B. ENCIK GWEE TONG HIANG AHLI DEWAN NEGERI, KAWASAN B'YAN

SOALAN 39 (A102)
Adakah pemegang Kad Pengenalan Warga Malaysia di mana nombor “71”di tengahnya dikategorikan sebagai tidak layak memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat?
JAWAPAN Y.B. DR HAJAH ROBIA BINTI DATO' HAJI KOSAI
Nombor “71”di tengah Kad Pengenalan adalah secara amnya bermaksud mana-mana pemastautin tetap. Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor tidak dapat mempertimbangkan bantuan kewangan bulanan kepada pemegang Kad Pengenalan yang di tengah Kad Pengenalan tersebut bernombor “71”dan mana-mana individu yang bukan warganegara Malaysia. Ini termaktub kepada syarat dan peraturan penerima bantuan bulanan Jabatan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
SOALAN 50 (A98)
Masyarakat gengsterisme di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Andrew, Muar. Berapa ramaikah pada pelajar sekolah tersebut yang terlibat dalam gejala tersebut dan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak pengurusan sekolah tersebut untuk memerangi gejala tersebut? Memandangkan perkara tersebut dikategorikan sebagai amat serius, mengapakah Jabatan Pelajaran Johor tidak melantik Pengetua yang baru untuk menggantikan pengetua sekolah yang telah bersara pada tahun lalu dengan kadar segera?
JAWAPAN Y.B. DATUK HAJI MAULIZAN BIN BUJANG
Petunjuk gengsterisme pada murid-murid timbul apabila murid melakukan salah laku seperti memeras ugut, berkelakuan kasar, membuli, meminta wang perlindungan dan salah laku yang dikelaskan sederhana berat. Murid-murid yang masuk kumpulan gengster dan kongsi gelap di SMK St. Andrew sukar dikesan jika mereka tidak melakukan salah laku yang nyata atau tiada aduan yang diterima oleh pihak sekolah.
Namun begitu pihak sekolah telah dapat mengesan iaitu seramai 14 orang murid menengah rendah (Kelas Peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2) yang telah direkrut dan masuk kumpulan kongsi gelap. Siasatan awal menunjukkan, terdapat 3 kumpulan kongsi gelap cuba merekrut pelajar baru melalui ahli-ahli mereka yang berada di Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 tahun ini. Di peringkat menengah atas, murid yang menjadi ahli gengster / kongsi gelap tidak menunjukkan apa-apa tanda, kecuali seorang yang berani menyerang Guru Penolong Kanan 1.
Di antara langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak sekolah ialah :
a) Semua murid telah diberikan amaran dalam perhimpunan Hari Pertama Sesi Persekolahan 2009.
b) Semua murid telah diberi pendedahan dan makluman tentang adanya unsur-unsur gengsterisme yang ingin merekrut mereka atau meminta wang perlindungan atau yuran masuk kongsi gelap.
c) Murid-murid telah diperingatkan agar tidak mencampuri atau menganggotai mana-mana kumpulan kongsi gelap.
d) Ibu bapa/penjaga murid-murid baru (sesi persekolahan 2009), diminta bekerjasama melaporkan sebarang kes buli, kes anak diajak masuk kumpulan kongsi gelap dan lain- lain unsur yang mencurigakan kepada pihak sekolah.
e) Dari 5 Jan. Hingga 17 Feb. 2009, seramai 8 orang murid Kelas peralihan dan Ting. 1 telah diambil tindakan disiplin atas kesalahan perlakuan yang mengujudkan suasana tidak sihat berunsur gengsterisme. Setiap kes diurus mengikut prosedur yang berkuat kuasa sekarang.
f) Semua rekod disiplin murid disimpan untuk rujukan pada masa akan datang.
g) Pihak sekolah akan meminta bantuan Pegawai Perhubungan Sekolah dari Pejabat Daerah untuk sesi pertemuan dengan murid-murid yang berisiko tinggi.
h) Murid-murid dilibatkan dengan program PINTAS - modul AWAS 2 (Program Peningkatan Disiplin Murid).
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor telah melantik Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan St. Andrew, Muar yang baru pada awal tahun 2009 iaitu Encik Goh Wee Beng bagi menggantikan pengetua yang telah bersara tahun lalu.
SOALAN 55 (A101)
Mengapakah Projek Penurapan Jalan Tar di Taman Bakariah memerlukan perbelanjaan yang sebegitu tinggi iaitu menelan perbelanjaan sehingga RM518,990.00? Apakah kelebihan atau keunikan dalam pembinaan jalan tar tersebut?
JAWAPAN Y.B. DATUK HAJI AHMAD ZAHRI BIN JAMIL
Cadangan untuk kerja memperbaharui muka jalan di Taman Bakariah telah dibuat tawaran kepada kontraktor yang berkelayakan melalui iklan di akhbar-akhbar. Tawaran yang dibuat berdasarkan peraturan dan prosedur yang ditetapkan dalam Kaedah Perolehan Kerajaan dan spesifikasi kerja yang ditetapkan. Kos perbelanjaan untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut adalah kos yang telah dipersetujui oleh Lembaga Tender daripada penender-penender yang layak telah mengemukakan tawaran masing-masing.
SOALAN 67 (A100)
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai strategi untuk mengatasi masalah sampah longgok di kawasan DUN Bentayan seperti mana sering berlaku di kawasan-kawasan seperti berikut iaitu di hadapan rumah kedai Jalan Sakeh Baru 12, Taman Sakeh Baru; di hadapan Wisma DAP Muar di No. 48-28, Jalan Sakeh Baru, Taman Sakeh Baru, Muar; di hadapan Pangsapuri Anda, Jalan Sakeh; di hadapan Institut Maju, Jalan Daud; Lorong Serkam; Jalan Kim Kee; Pangsapuri Sri Bakariah; Jalan Bakariah, Muar supaya masalah tersebut boleh dikawal daripada merebak penyakit berjangkit serta pembiakan nyamuk Aedes ke merata kawasan di DUN Bentayan?
JAWAPAN Y.B. DATUK HAJI AHMAD ZAHRI BIN JAMIL
Masalah sampah longgok sukar untuk di atasi sepenuhnya sekiranya tiada kerjasama daripada orang ramai atau peniaga. Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Southern Waste Management (SWM) kerap mengambil tindakan membersihkan sampah-sampah longgok di tempat yang berkenaan dari masa ke semasa. Namun demikian, sikap orang ramai yang masih suka membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya telah mengakibatkan masalah sampah longgok berulang.
Tindakan penguatkuasaan sukar dilaksanakan secara berkesan kerana pembuangan sampah berlaku di luar waktu pejabat dan kebiasaannya pada waktu malam dan pada hari cuti umum.
Kempen-kempen kesedaran juga kerap diadakan seperti melalui gotong-royong, gerak tumpu tetapi masih terdapat mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan yang tidak bermoral ini.
Walau bagaimanapun, MPM serta SWM akan terus memantau tempat-tempat pembuangan sampah longgok dan mengambil tindakan untuk membersihkannya.
SOALAN 86 (A99)
Tapak Bangunan MIC Muar (No. Lot : PTB 6828, No. Hakmilik : HSD 12999). Adakah tapak tersebut telah dibina dengan sebaris premis kedai 3 tingkat yang bernombor dari 1,3,5,7,9 dan 11, di Jalan Perdagangan, Muar? Adakah tanah dan premis kedai 3 tingkat tersebut masih dimiliki oleh MIC Muar? Sekiranya tidak, siapakah pemilik baru premis tersebut?
JAWAPAN Y.A.B. DATO' MENTERI BESAR
Semakan Pentadbiran Tanah adalah didapati tiada apa-apa pembangunan atas tanah tersebut. Nama-nama yang berdaftar dalam hak milik tersebut adalah sebagaimana berikut iaitu R.Shanmugaveloo, Subramaniam s/o Sinniah, Tan Sri S.O.K Ubaidulla dan Dato’ S.Samy Vellu. Penama-penama yang didaftarkan adalah sebagai pemegang amanah kepada MIC.
SOALAN B63
Adakah Kerajaan Negeri bercadang memberikan geran kepada pemilik-pemilik tanah kebun di mukim Lenga, Daerah Muar, memandangkan pihak Pejabat Ukur Muar telah mengukur dan menanam Batu Tanda Sempadan sejak lebih 10 tahun yang lepas? Pada masa sekarang mereka hanya memiliki hak milik sementara sahaja.
JAWAPAN
Bagi kawasan-kawasan tanah kebun yang telah ditanam batu sempadan oleh Jabatan Ukur, Pejabat Tanah Muar, dalam tindakan untuk penyelesaian dariapda pemilik-pemilik tanah yang terlibat. Jika tiada masalah dari segi kedudukan tanda sempadan, hak milik muktamad akan dikeluarkan untuk menggantikan hak milik sementara.
SOALAN B90
Adakah kerajaan bercadang untuk menaikkan taraf sistem perparitan di kawasan Jalan Ismail, Muar memandangkan kawasan tersebut yang terletak berhampiran dengan pinggir Sungai Muar, sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan tiba?
JAWAPAN
Setakat ini beberapa projek dalam Program Perparitan Bandar telah dibina di kawasan Jalan Ismail seperti Parit Setongkat, Parit Mohamad dan Parit Beting. Pembinaan parit-parit tersebut telah banyak membantu bagi mengatasi banjir kilat di kawasan tersebut.
Kadang kala banjir kilat tidak dapat dielakkan daripada berlaku terutamanya semasa “air pasang besar”kerana kawasan tersebut terletak di pinggir Sungai Muar yang terdedah terus kepada kesan pasang surut air laut.
SOALAN B91
Parit yang tidak di senggara di Jalan Utama 12, Taman Temiang Utama, (Parit besar di tepi Jalan Kim Kee) Jalan Kim Kee, Muar. Mengapakah parit tersebut tidak di senggara sejak ianya dibina dan jabatan manakah yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara parit tersebut? Mengapakah jabatan tersebut mengabaikan tanggungjawab mereka dan apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan terhadap jabatan tersebut?
JAWAPAN
Untuk makluman, perparitan sepanjang Jalan Kim Kee Off Jalan Salleh, iaitu bermula dari simpang Batu 3, Jalan Salleh hingga ke simpang Jalan Parit Buaya lebih kurang 2km pada asalnya adalah di luar kawasan Majlis Perbandaran Muar (MPM). Sempadan MPM pada ketika itu adalah di Jalan Parit Beting, Jalan Salleh.
Walau bagaimanapun, memandangkan terdapat banyak kawasan perumahan di sepanjang Jalan Kim Kee, seperti Taman Temiang Utama, Taman Temiang Indah, Taman Temiang Makmur, Taman Temiang Murni, Taman Temiang Jaya, Taman Sri Temiang dan Taman Temiang Intan, maka baru-baru ini MPM telah mengambil keputusan untuk menyelenggara perparitan di sepanjang Jalan Kim Kee (parit tepi jalan) sepanjang lebih kurang 2km.
MPM juga telah pun menyerahkan kerja-kerja pembersihan parit ini kepada Syarikat Konsesi SWM Environtment Sdn. Bhd. berkuat kuasa mulai 1 Februari 2009.
SOALAN B92
Bilakah sistem saliran Parit Perupok yang berdekatan dengan Taman Sentosa dan Taman Teratai akan dibersihkan?
JAWAPAN
Untuk makluman, saliran/perparitan Parit Perupok tersebut adalah merupakan parit besar yang akan mengalir air hingga ke Jalan Junid Dalam dan terus ke Sungai Muar. Parit berkenaan adalah di bawah penyelenggaraan pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran. Majlis tidak berkemampuan untuk menyelenggara serta membersihkan parit tersebut.
SOALAN B93
Projek-projek pembangunan di DUN Bentayan. Berapa banyakkah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di kawasan DUN Bentayan sejak dari Jan' 2008 sehingga Jan' 2009? Sila nyatakan setiap satu-persatu projek-projek tersebut?
JAWAPAN
Sepanjang 2008 hingga kini, di bawah ICU, JPM tiada peruntukan yang dilaksanakan dalam kawasan DUN Bentayan.
SOALAN B94
Adakah perbelanjaan bulanan yang digunakan oleh pejabat JPMM Bentayan ditanggung oleh Kerajaan Negeri? Sekiranya ya, berapakah perbelanjaan bulanan tersebut dan setakat kini berapakah jumlah perbelanjaan yang telah digunakan untuk pejabat berkenaan?
JAWAPAN
Segala perbelanjaan pejabat adalah diluluskan oleh Y.A.B. Menteri Besar dan setiap tahun sebanyak RM30,000.00 diperuntukkan untuk Pejabat JPMM. Peruntukan ini digunakan untuk tujuan gaji kerani, sewa, alat-alat tulis, elektrik, air dan sebagainya. Sehingga kini Pejabat JPMM Bentayan yang baru telah beroperasi selama 2 bulan dan perbelanjaan tetap bulanan seperti gaji, elektrik, air dan sewa adalah lebih kurang RM2,000.00 sebulan.
SOALAN B95
Berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Pengerusi JPMM Bentayan kepada persatuan dan tokong-tokong sekolah-sekolah jenis kenagsaan Cina di daerah Muar sejak Mac' 2008 sehinnga Jan' 2009.
JAWAPAN
Tidak ada peruntukan yang diluluskan bagi tujuan yang dimaksudkan untuk tempoh Mac 2008 sehinga Januari 2009.
SOALAN B96
Adakah kerajaan bercadang untuk membina sebuah lampu isyarat di persimpangan Taman Sri Bakri/Jalan Bakri memandangkan tempat tersebut sering berlaku kemalangan jalan raya?
JAWAPAN
Majlis Perbandaran Muar (MPM) berpendapat persimpangan tersebut bukanlah persimpangan utama yang memerlukan pembinaan lampu isyarat. Ianya merupakan satu persimpangan untuk memasuki sebuah kawasan taman perumahan.
Persimpangan tersebut merupakan salah satu daripada persimpangan-persimpangan untuk memasuki taman-taman perumhana yang terdapat di sepanjang Jalan Bakri.
SOALAN B97
Adakah kerajaan bercadang untuk membina lampu isyarat di persimpangan Taman Ria/Jalan Salleh, Muar, memandangkan tempat tersebut sering berlaku kemalangan jalan raya? Sekiranya tidak, adakah pihak kerajaan bercadang untuk melukis garisan kuning di persimpangan tersebut?

JAWAPAN

Majlis Perbandaran Muar (MPM) tidak bercadang untuk membina lampu isyarat di persimpangan Taman Ria/Jalan Salleh oleh kerana ianya bukan merupakan persimpangan utama yang memerlukan pembinaan lampu isyarat.
Cadangan pembinaan garisan kuning akan dikaji dan sekiranya perlu MPM akan melaksanakannya dalam masa terdekat.

SOALAN B98

Adakah kerajaan bercadang untuk membina lampu isyarat di persimpangan Jalan Salleh/Jalan Hospital, Muar, memandangkan tempat tersebut sering berlaku kemalangan jalan raya? Sekiranya tidak, adakah pihak kerajaan bercadang untuk melukis garisan kuning di persimpangan tersebut?

JAWAPAN

Pada masa ini Majlis Perbandaran Muar (MPM) hanya mempertimbangkan pembinaan lampu-lampu isyarat di persimpangan utama.

Cadangan pembinaan garisan kuning akan dikaji dan sekiranya perlu MPM akan melaksanakan dalam masa terdekat.

SOALAN B99


Adakah kerajaan bercadang untuk membina lampu isyarat di persimpangan Jalan Salleh/Jalan Hospital, Muar, memandangkan tempat tersebut sering berlaku kemalangan jalan raya? Sekiranya tidak, adakah pihak kerajaan bercadang untuk melukis garisan kuning di persimpangan tersebut?

JAWAPAN

Setakat ini, Majlis Perbandaran Muar (MPM) belum menerima apa-apa keputusan daripada Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya Daerah atau daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengesahkan kawasan tersebut merupakan kawasan yang sering berlaku kemalangan.

MPM berpendapat persimpangan tersebut belum sesuai untuk dibina lampu isyarat. Walau bagaimanapun, pada masa ini telah ada tanda jalan/garisan jalan di persimpangan jalan tersebut yang dapat memberi panduan kepada pengguna jalan raya apabila melalui persimpangan berkenaan.
SOALAN B100
Berapakah kadar % jenayah yang telah berlaku di Daerah Muar dari Jan' 2008 sehingga Dis' 2008 dan % kes-kes yang telah dianggap selesai? Sila nyatakan % setiap kategori jenayah-jenayah berkenaan ?
JAWAPAN
Statistik Jenayah Indeks Daerah Muar bagi tempoh Januari-Disember 2008 adalah sebanyak 2,065 kes dibandingkan dengan 2,113 kes bagi tempoh yang sama tahun 2007. Ini telah menunjukkan penurunan sebanyak - 48 kes atau - 2.27%. Daripada 2.065 kes yang dilaporkan pada 2008 sebanyak 1,041 kes telah berjaya diselesaikan yang bersamaan 50.41 peratus.
SOALAN B101
Adakah perbelanjaan untuk membeli dan memasang tanglung-tanglung di Jalan Haji Abu, Muar sempena menyambut Tahun Baru Cina 2009, yang telah dirasmikan YDP MPM, Hj. Ab. Wahab Bin Ridwan pada tarikh 09-01-2009 ditanggung oleh pihak Kerajaan Negeri? Sekiranya sebegitu, siapakah yang menanggungnya dan berapakah jumlah perbelanjaan tersebut?
JAWAPAN
Jalan Haji Abu di Bandar Maharani, Muar merupakan kawasan yang dikenali oleh pengunjung-pengunjung khususnya penduduk yang tinggal di sekitar Bandar Maharani sebagai tempat peniaga-peniaga menjual makanan Cina. Peniaga-peniaga tersebut menjalankan perniagaan sehingga larut malam. Sempena Tahun Baru Cina, peniaga-peniaga di kawasan tersebut telah pun mengambil inisiatif untuk memasang tanglung-tanglung pada 9 Januari 2009. Kos pemasangan tanglung dan bayaran bekalan elektrik tidak ditanggung oleh pihak kerajaan. Kos tersebut sebenarnya ditanggung secara bersama oleh para peniaga di kawasan berkenaan.
SOALAN B102
Mengapakah kerja-kerja pembinaan menaiktarafkan Jambatan Kg. Parit Masjid, Bukit Pasir, Muar (Tiang Lampu MP 197) direka sedemikian rupa? Bonggol jambatan yang tertinggi itu, amat merbahaya kepada pengguna-pengguna jalan raya? Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membetulkan keadaan di tempat tersebut? Siapakah kontraktor projek tersebut?
JAWAPAN
Untuk makluman, kerja-kerja mengganti pembetung di Kg. Parit Masjid Bukit Pasir, Muar telah dilaksanakan pada akhir 2008. Terdapat kesilapan semasa kerja pembinaan dijalankan di mana aras jalan terlalu tinggi. Kerja-kerja pembaikan telah dimulakan pada 24 Februari 2009 dan dijangka siap dalam tempoh 2 minggu.
SOALAN B103
Adakah kerajaan negeri bercadang untuk membuka sebuah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) DUN Bentayan? Siapakah yang menguruskan PDK Maharani yang terletak di Taman Muar pada masa kini?
JAWAPAN
Bagi tujuan penubuhan baru PDK di mana-mana kawasan DUN Negeri Johor, elemen yang paling diutamakan oleh pihak Jabatan adalah dari segi :-
i. Bilangan OKU yang memerlukan pemulihan di satu-satu komuniti.
ii. Permintaan dari OKU, keluarga OKU dan komuniti itu sendiri.
iii. Persediaan dan komitmen komuniti untuk menggerakkan PDK. Dalam hal ini, sekiranya komuniti di DUN Bentayan memerlukan sebuah lagi PDK bagi menyokong keperluan pemulihan OKU di kawasan berkenaan, permohonan menubuhkan PDK bolehlah dimajukan ke Kerajaan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri.
Bagi PDK Maharani, segala pengurusan PDK ini dikendalikan oleh satu Jawatankuasa PDK yang telah diwujudkan sejak penubuhan PDK pada masa ini dipengerusikan oleh Encik Lee Ching Yong, Pegawai Khas Y.A.B. Menteri Besar merangkap Pengerusi JPMM Kawasan Bentayan sejak 1.10.2008. Manakala ahli masyarakat setempat yang berminat untuk terlibat dalam program pemulihan kepada OKU.
SOALAN B104
Sila senaraikan nama, telefon dan alamat surat-menyurat bagi setiap Ketua Masyarakat, Ketua Kampung, Pengerusi JPMM DUN, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Daerah Muar?
JAWAPAN
Ketua Masyarakat, Ketua Kampung, Pengerusi JPMM DUN, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Daerah Muar telah dimajukan kepada Yang Berhormat Encik Gwee Tong Hiang, Ahli Dewan Negeri Kawasan Bentayan melalui surat pentadbiran ini dalam siri yang sama bertarikh 17 Februari 2009.
SOALAN B105
Sila senaraikan lokasi Tapak Pasar Malam/Lambak/Ramadan yang telah diluluskan oleh MPM di Daerah Muar? Adakah lokasi tapak tersebut mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi, tidak mengganggu para peniaga-peniaga kedai sedia ada menjalankan perniagaan mereka dan tidak mengganggu kesesakan lalu-lintas di kawasan tersebut?
JAWAPAN

Kebanyakan pengunjung yang datang ke pasar malam meletakkan kenderaan di tepi jalan yang mana kehadiran pengunjung tidak serentak dan bersih ganti. Perniagaan ini dijalankan sehari dalam seminggu dan tidak mengganggu peniaga-peniaga kedai dan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
SOALAN B107
Berapakah jumlah unit rumah kos rendah telah dibina pada Tahun 2008 di kawasan DUN Bentayan?
JAWAPAN
Rumah Kos Rendah yang dibina pada tahun 2008 di kawasan DUN Bentayan dan di sekitarnya adalah 46, Kos Sederhana Rendah 50K adalah 31, Kos Sederhana Rendah 80K adalah 25 dan jumlahnya adalah 102.
SOALAN B108
Berapakah bilangan penduduk miskin dan miskin tegar di kawasan DUN Bentayan setakat kini?
JAWAPAN
Sehingga kini, seramai 87 Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin dan 2 Ketua Isi Rrumah (KIR) Miskin Tegar telah dikenal pasti di DUN Bentayan.
SOALAN B109
Apakah rancangan kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai para pelajar bukan bumiputera untuk belajar di Kolej Komuniti YPJ Muar, memandangkan bilangan pelajar bukan bumiputera di kolaj tersebut adalah sifar? Apakah mekanisme yang akan digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk menambahkan peratus pelajar bukan Bumiputra ialah sebanyak 4% Kolej Yayasan Pelajaran Johor?
JAWAPAN
Kumpulan Pendididkan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ), sejak ditubuhkan sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka dalam polisi pengambilan pelajarnya. Semua kaum digalakkan memohon untuk memasuki Kolej Komuniti YPJ di setiap daerah di Negeri Johor. KPYPJ melalui kolej-kolej yang dikendalikannya menawarkan pelbagai program diploma dan sijil kemahiran kepada semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan para belia terutamanya anak Negeri Johor tanpa mengiara latar belakang, kaum dan agama.
Pendekatan utama KPYPJ ialah dengan mengadakan taklimat peluang pendidikan dan kerjaya di sekolah-sekolah, pengiklanan di media cetak serta menyertai pelbagai pameran dan karnival pendidikan dalam usaha memberikan maklumat dan informasi kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya di Negeri Johor ini berkenaan peluang-peluang pendidikan yang disediakan. KPYPJ sentiasa bersedia Yang Berhormat dan pihak-pihak lain yang berkepentingan dengan masyarakat bukan Bumiputera dalam sebarang program bagi menggalakkan pelajar bukan Bumiputera memasuki Kolej Komuniti YPJ.
Di antara mekanisme yang telah digunakan oleh pihak KPYPJ adalah bekerjasama dengan Yayasan Strategik Sosial bagi menambahkan usaha mendapatkan pelajar-pelajar bukan Bumiputera dan membuat taklimat kepada badan-badan NGO yang mungkin dapat membantu usaha-usaha mendapatkan dan meningkatkan jumlah pelajar bukan Bumiputera di kolej-kolej kendalian Yayasan Pelajaran Johor termasuklah Kolej Komuniti YPJ Muar.
SOALAN B111
Polis Diraja Malaydia (PDRM). Berapakah jumlag bilangan anggota polis di Daerah Muar, Nisbah anggota polis/penduduk. Keretaperonda di daerah Muar? Sila berikan senarai nama-nama Ketua Polis Daerah Muar, ketua-ketua Jabatan mereka serta nombor telefon bimbit yang boleh dihubungi mereka?
JAWAPAN
1. Jumlah kekuatan IPD Muar : 613 orang
2. Nisbah Polis/Penduduk Muar : 1 : 722 orang
3. Jumlah Kereta Peronda : 49 buah kereta
SOALAN B112
Adakah kerajaan bercadang untuk menaiktarafkan Perpustakaan Awam Muar seperti memasang air-cond dan membekalkan lagi buku-buku jenis edisi Cina/Tamil di perpustakaan tersebut?
JAWAPAN
Perbadanan Perpustakaan Awam Johor yakin pembangunan koleksi yang menyeluruh dan terkini selain persekitaran yang kondusif dapat membantu lebih ramai masyarakat berkunjung ke perpustakaan sebagaimana yang telah dibuktikan di perpustakaan ibu pejabat. Untuk Perpustakaan Awam Cawangan Muar, pihak kami memang sedia maklum akan keadaan bangunan yang sudah lama dan sedang berusaha mendapatkan peruntukan tambahan lagi menaik taraf bangunan serta pertambahan pembangunan koleksi yang meliputi pelbagai bidang perkara dan bahasa.
SOALAN B113

Adakah Pas Bulanan Tempat Letak Kereta yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Perbandaran Muar (Zon A) boleh digunakan di kawasan-kawasan PBT (Zon A) yang lain seperti di MDT, MDS, MPBP dan MDYP?

JAWAPAN
Pas bulanan tempat letak kereta hanya sah digunakan di kawasan di mana pas tersebut dikeluarkan iaitu oleh Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan. Contoh, pas bulanan Majlis Perbandaran Muar (MPM) hanya boleh digunakan di kawasan MPM sahaja.

Walau bagaimanapun, penggunaan kupon adalah diseragamkan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Zon “A” yang meliputi Majlis Perbandaran Muar (MPM), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Daerah Tangkak (MDT) dan Majlis Daerah Segamat (MDS).

0 comments: