诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Tuesday, November 25, 2008

Ucapan ADUN Kawasan Bentayan, YB Gwee Tong Hiang dalam membahas Bajet Negeri Johor 2009 - Rang Undang-Undang Enakmen Pembekalan 2009 Pada 25-11-2008

Ucapan ADUN Kawasan Bentayan, YB Gwee Tong Hiang dalam membahas Bajet Negeri Johor 2009 - Rang Undang-Undang Enakmen Pembekalan 2009 Pada
25-11-2008

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya untuk mengambil bahagian dalam membahas Bajet Negeri Johor 2009 - Rang Undang-Undang Enakmen Pembekalan 2009 yang telah dikemukakan oleh YAB Menteri Besar Johor.

YB Datuk Speaker

Sebelum saya memulakan ucapan saya, inginkan saya menanyakan satu soalan kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru mengenai keadaan tanah runtuh di Jalan Hadapan Kelab Golf Taman Mount Austin.

Jalan tersebut adalah laluan utama untuk menghala ke Taman Mount Austin, ia telah mengalami tanah runtuh sejak 5 tahun yang lalu dan sehingga sekarang pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru masih tidak berupaya untuk memperbaikinya.

Penduduk-penduduk Taman Mount Austin terpaksa melalui satu laluan yang amat jauh untuk sampai ke destinasi tersebut.

Apa yang telah berlaku kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru, kenapa projek tersebut perlu mengambil masa 5 tahun, sampai ke hari ini jalan tersebut masih ditutup kepada lalu lintas dan bilakah jalan tersebut akan dibuka kepada orang awam?

(a) Defisit Bajet dan Maklumat Am

Bajet 2009 merupakan satu defisit bajet sebanyak RM2.746 juta. Jumlah hasil adalah sebanyak RM745.98 juta dan Jumlah Perbelanjaan Mengurus adalah sebanyak RM748.726 juta manakala Perbelanjaan Pembangunan adalah sebanyak RM230, 550,130.

Kerajaan Negeri Johor Haruslah Mengamalkan Perbelanjaan Berjimat-cermat

Dalam keadaan krisis kewangan global sekarang, Kerajaan Negeri Johor seharusnya mengamalkan perbelanjaan berjimat-cermat semasa membuat sesuatu perbelanjaan.

Sekarang sudah sampai masanya pihak Kerajaan Negeri Johor untuk memberhentikan perlantikkan Pegawai Khas Kepada Menteri Besar, memberhentikan pemberian elaun bulanan sebanyak RM3,300.00 kepada keenam-enam Pegawai Khas Kepada Menteri Besar.

Keenam-enam Pegawai Khas Kepada Menteri Besar telah menerima elaun sebanyak RM3,300.00 sebulan.

1 Bulan RM3,300.00 x 6 RM19,800.00
1 Tahun RM19,800.00 x 12 RM237,600.00
5 Tahun RM237,600.00 x 5 RM1,188.000.00


YB Datuk Speaker

Alangkah baiknya, sekiranya jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.188 juta ini digunakan untuk dijadikan projek pembangunan di keenam-enam kawasan DUN yang ditawan oleh pembangkang!

Adalah suatu perbuatan yang membazirkan wang rakyat sekiranya Kerajaan Negeri masih berniat untuk meneruskan amalan perlantikan tersebut serta membayar elaun kepada keenam-enam Pegawai Khas Kepada Menteri Besar!

Rakyat di keenam-enam kawasan DUN telah membuat keputusan yang bijak pada pilihanraya 8 March 2008 yang lalu dengan memilih kami sebagai wakil rakyat-wakil rakyat mereka, menyuarakan hak-hak mereka dan menyampaikan suara mereka ke dalam Dewan yang mulia ini!

YB Datuk Speaker

Suara rakyat akan kami sampaikan ke Dewan yang mulia ini, dan kami berenam tidak akan membantah mengenai perlantikan keenam-enam Pegawai Khas Kepada Menteri Besar dengan syarat, keenam-enam mereka adalah di lantik tanpa pemberian apa-apa elaun daripada Kerajaan Negeri!

Rakyat di keenam-enam kawasan DUN ini telah memilih kami dan menaruh kepercayaan yang tinggi kepada kami berenam untuk menyuarakan hak mereka di Dewan yang mulia ini.

Sejak kebelakangan ini, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Bentayan telah membuat beberapa peruntukan kepada beberapa Persatuan-persatuan ataupun Tokong-tokong semasa majlis makan malam di Bandar Muar.

YB Datuk Speaker

Disini saya ingin menanyakan kepada Kerajaan Negeri bahawa setakat kini, berapa banyakkah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Pengerusi JPMM Bentayan untuk aktiviti tersebut?

Berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Pengerusi JPMM Bentayan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seperti Pertandingan Bola Keranjang, Badminton dan lain-lain acara sukan?

Ataupun Pengerusi JPMM Bentayan menggunakan wang sakunya untuk menjalankan kesemua aktiviti-aktiviti beliau?

Berapa banyakkah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk mendirikan Pejabat JPMM Bentayan di Jalan Ali, Muar? Adakah peruntukan ini juga akan dipanjangkan kepada keenam-enam ADUN Pakatan Rakyat di kawasan DUN kami?

YB Datuk Speaker

Sepatutnya, keenam-enam ADUN Pakatan Rakyat seharusnya mendapat peruntukan tahunan sebanyak RM200,000.00 untuk pembangunan setiap DUN nya tetapi oleh kerana kami bukannya ADUN Barisan Nasional, maka peruntukan tahunan tersebut telah dibatalkan oleh Kerajaan Negeri, dimanakah letaknya KEADILAN?

YB Datuk Speaker

Maksud Bekalan: B 42 (M/S: 116) - Pejabat Daerah Muar

Anggaran Perbelanjaan 2009 untuk Pejabat Daerah Muar, menyatakan bahawa Elaun Lebih Masa telah meningkat daripada RM37,000.00 (Untuk Tahun 2008) kepada RM100,000.00 (Untuk Tahun 2009), iaitu peningkatan sebanyak ↑ 170.3 %, Perbelanjaan Perjalanan & Sara Hidup meningkat sebanyak ↑ 100 % iaitu dari RM130,000.00 kepada RM260,000.00 manakala Penyelenggaraan & Pembaikan Yang Dibeli meningkat dari RM315,000.00 kepada RM1,500,000.00 iaitu peningkatan sebanyak ↑ 376.19 %.

YB Datuk Speaker

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan perbelanjaan yang sebegitu besar oleh Pejabat Daerah Muar?

Maksud Pembangunan - Kerja Raya (M/S: 186)

Dalam Rancangan Mengelakkan Banjir pula, Kerajaan Negeri Johor telah menganggarkan jumlah keperluan sebanyak RM1,800,000.00 (RM1.8 juta) untuk Rancangan 5 Tahun 2006-2010. Anggaran Keperluan untuk Tahun 2009 adalah sebanyak RM200,000.00.

YB Datuk Speaker

Memandangkan sejak kebelakangan ini, banjir kilat yang sering melanda di negeri ini, adakah Kerajaan Negeri akan mempercepatkan rancangan menggelak banjir di negeri ini?

Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Negeri & Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Johor Tahun 2007

Laporan itu menyatakan bahawa adalah penting untuk menjamin setiap Ringgit Malaysia yang di pungut dan dibelanjakan akan dapat menyumbang kepada pembangunan dan keselesaan rakyat sesebuah negeri.

Laporan tersebut juga menyebut beberapa perkara seperti berikut:

1. Akaun Amanah Tabung Bantuan Bencana/Malapetaka (M/S: 22)

Soalan:

Adakah ia meliputi mangsa-mangsa bencana Banjir Kilat?

2. Akaun Amanah Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor
(PUSPATRI) (M/S: 22)

Soalan:
i. Berapakah banyak Graduan & Lepasan SPM yang telah menjalan program tersebut?
ii. Selepas latihan tamat, berapakah diantara mereka yang telah diserapkan ke dunia tenaga kerja?
iii. Dimanakah terletaknya pusat-pusat pembelajaran tersebut?

3. Apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menuntut pinjaman daripada Agensi Negeri yang berjumlah RM601.61 juta pada akhir tahun 2007. (M/S: 32)

4. Yayasan Pelajaran Johor (M/S: 57)

Penyata Kewangan bagi Yayasan Pelajaran Johor untuk Tahun Penyata Kewangan 2002-2006 telah diberikan dengan Sijil Penafian disebabkan angka beberapa perkara di Penyata Kewangan tidak dapat disahkan seperti terhutang oleh Syarikat Subsidiari, Pinjaman Pelajaran, Pelaburan Jangka Pendek dan Penghutang.

Ini disebabkan ketiadaan dokumen yang lengkap untuk menyokong angka tersebut!

Soalan:
i. Mengapakah Kerajaan Negeri membenarkan perkara diatas itu berulang?
ii. Apakah tindakan yang bakal diambil oleh Kerajaan Negeri keatas individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini?

Polisi Pemberian Air Percuma

Adakah Kerajaan Negeri Johor bercadang untuk melaksanakan Polisi Pemberian Air Percuma kepada Rakyat Negeri Johor yang berpendapatan rendah untuk 20 meter padu (cubic meter) yang pertama seperti mana yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perak dan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat .

Kerajaan Negeri Perak juga telah memperuntukan sebanyak RM 1 juta untuk perbelanjaan perkebumian bagi golongan miskin bagi mereka yang berusia 65 tahun ke atas yang meninggal dunia.

Adakah Kerajaan Negeri Johor akan mengikut jejak langkah Kerajaan Perak untuk menunjukkan bahawa kerajaan negeri adalah betul-betul prihatin dan ikhlas terhadap setiap golongan rakyat negeri ini.

YB Datuk Speaker

Yang penting, kesemua bantuan dan peruntukan ini adalah tanpa mengira agama dan bangsa, dan ini akan dapat membantu mencapai matlamat sesuatu polisi kerajaan, yang mana kesemua golongan rakyat yang berkeperluan mendapat bantuan yang sewajarnya dan bukannya pelaksanaan polisi yang berlandaskan agama dan bangsa yang mana ia akan menyebabkan jurang pendapatan dan taraf kehidupan rakyat negeri ini semakin jauh.

YB Datuk Speaker

Bentayan menyokong penuh Kerajaan Negeri Johor memperuntukan sebanyak RM20.9 juta bagi tujuan pendidikan agama, pembinaan sekolah agama dan program pembangunan ummah.

Bentayan juga berharap Kerajaan Negeri dapat memperuntukan sejumlah wang yang sepatutnya untuk pendidikan SJK(C)/(T) di negeri ini.

YB Datuk Speaker

MB: Peruntukan Tetap Tahunan Sebanyak RM100,000.00 Kepada 8 Buah Sekolah Tinggi Persendirian Cina Johor

YAB Menteri Besar menyatakan bahawa peruntukan bantuan tahunan sepanjang empat tahun lalu yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada 8 buah Sekolah Tinggi (Persendirian) Cina di Johor adalah sebanyak RM2.6 juta.

Menurut laporan Akhbar-akhbar Cina Tempatan yang bertarikh 6 Mac 2004 yang menyatakan bahawa sekiranya YAB Menteri Besar terus dilantik menjadi Menteri Besar, 8 buah Sekolah Tinggi (Persendirian) Cina di Johor akan mendapat peruntukan tetap tahunan sebanyak RM100,000.00 (RM100 ribu).

Soalan:
i. Adakah janji diatas sudah dikotai oleh YAB Menteri Besar?
ii. Sekiranya sudah dikotai, sila nyatakan satu per satu peruntukan kepada 8 buah sekolah tersebut?

8 buah Sekolah Tinggi Persendirian Cina di negeri ini, sejak ia ditubuhkan, telah mengalami kesuntukan kewangan dalam pentadbiran dan operasi hariannya. Dengan tanpa bantuan daripada Kerajaan Negeri, sumber kewangan 8 buah Sekolah Tinggi Persendirian Cina di negeri ini hanyalah bergantung kepada derma-derma daripada masyarakat untuk meneruskan perkhidmatan pendidikannya.

YB Datuk Speaker

Telah sampailah masanya bagi semua pihak, termasuk semua ahli-ahli politik yang cintakan Tanah Air ini, berhenti untuk mengkomenkan sesuatu isu atas dasar perkauman atau membuat keputusan atas dasar perkauman. Tanggalkanlah cermin mata yang berunsur perkauman.

Pada hari ini, Lious Hamilton telah mampu memenangi Juara Dunia F1, Barrack Hussein Obama telah boleh diterima sebagai Presiden Amerika Syarikat, di manakah kita? Sudahlah 51 tahun kita bebas daripada jajahan British, sudahlah 51 tahun kita sama-sama menyumbang kepada Negara yang tercinta ini, sampailah masa kita semua berbangga atas identiti kita sebagai seorang Rakyat Berbangsa Malaysia.

YB Datuk Speaker

Pusat Pentadbiran Negeri Di Daerah Muar

Kerajaan Negeri seharusnya memperuntukan sebahagian Bajet untuk membina sebuah Kompleks Pentadbiran Negeri yang menempatkan semua pejabat-pejabat Negeri di Daerah ini.

Kompleks tersebut seharusnya dapat menyediakan kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi. Ia sudah tentu akan dapat memudahkan lagi para rakyat Daerah Muar untuk berurusan dengan kesemua pejabat negeri disatu tempat sahaja.

Pembinaan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)

Bandar Muar ini sungguhpun Bandar yang ke 2 besarnya di Negeri Johor, namun nampaknya menikmati segala kekurangan.

Anak-anak watan Muar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Universiti perlu ke tempat yang lebih jauh untuk mencari ilmu.

Maka, sudah sampai masanya Kerajaan Negeri Johor seharusnya mencadangkan bahawa sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) haruslah didirikan di Daerah Muar.

Ini adalah untuk memastikan bahawa anak-anak watan Daerah Muar dapat pendidikan yang pengajian tinggi di Daerah ini dan Daerah Muar akan lebih maju lagi bukan lagi dikenali sebagai BANDAR PENCEN!

Meningkatkan Keselamatan & Keamanan

i. Kerajaan hendaklah meningkatkan tahap keselamatan awam bukan sahaja untuk menjamin kesejahteraan rakyat tetapi juga untuk memberi keyakinan kepada pelabur asing dan juga pelancong. Kami difahamkan peruntukan sebanyak RM330 juta telah disediakan kepada Polis DiRaja Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-9. Kerajaan negeri hendaklah memastikan pihak PDRM meningkatkan kecekapan dari segi tempoh tidak balas kehadiran, pendekatan pencegahan melalui Rakan Cop, Polis Hotline dan Laman Web.

ii. Walaupun kita faham bahawa pentadbiran polis bukanlah berada pada kuasanya kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan tetap perlu memainkan peranan dalam mewujudkan suasana kediaman yang selesa dan selamat dalam negeri Johor. Kerajaan tempatan khasnya perlu menyediakan kemudahan pencahayaan awam yang menyeluruh dan dapat berfungsi dengan berkesan untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya jenayah di kawasan perumahan.

iii. Pengurusan tanah lapang dan juga bangunan-bangunan terbengkalai juga merupakan salah satu aspek penting dalam pencegahan jenayah. Tanah-tanah lapang yang ditumbuhi semak samun yang rimbun dan bangunan-bangunan kosong sering menjadi tempat penyembunyian penjenayah.

YB Datuk Speaker

(c) Kerajaan Tempatan

Membina Bonggol atau Garisan Cat Kuning

Di sini, saya juga ingin mengemukakan cadangan saya dalam menjamin keselamatan penduduk-penduduk terutama di kawasan perumahan taman-taman supaya Pihak Berkuasa Tempatan atau Majlis Perbandaran Muar boleh mengkaji untuk menggunakan sebahagian bajet yang ada untuk tujuan ini dengan membina bonggol atau melukis garisan cat kuning untuk memperlahankan had laju kenderaan yang menggunakan jalan-jalan di kawasan perumahan taman-taman.

Rumput, Lalang di Tanah Lapang dan parit yang tidak disenggara mengikut jadual di Kawasan Perumahan Taman-taman DUN Bentayan dan Parlimen Bakri

Sikap sambil lewa pekerja-pekerja SWM adalah seperti perpatah Melayu, Seperti Pahat Dengan Pemukul, setiap kali panggil baru dia buat, kalau tak panggil tak tahu buat!

Saya juga ingin bangkit di sini bahawa terdapat banyak tanah-tanah lapang yang sepatutnya dijadikan tempat permainan kanak-kanak telah dipenuhi dengan rumput, lalang dan bersemak.

Lagipun parit-parit di kawasan perumahan juga tidak disenggara mengikut jadual dan itu adalah diantara satu sebab yang telah mengakibatkan banjir kilat dikawasan perumahan taman-taman. Pihak MPM seharusnya bertindak dengan kadar segera untuk membetulkan keadaan tersebut kerana sekiranya fenomena ini dibiarkan berlarutan, ia akan mendatangkan mudarat kepada penduduk-penduduk tempatan dikawasan perumahan taman-taman.

Semak-samun tersebut sememangnya memang sesuai untuk tempat pembiakan ular, tikus dan nyamuk Aedes.

YB Datuk Speaker

Kerajaan haruslah ingat bahawa setiap wang yang dibelanjakan itu adalah untuk Rakyat dan wang rakyat, dan Pihak Berkuasa Tempatan haruslah lebih berhati-hati dan memantau serta menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Kompaun oleh Majlis Perbandaran Muar akibat tidak mempamerkan Kupon Letak Kereta

Menurut Enakmen Anggota Pentadbiran & Ahli Dewan Negeri Johor, salah satu keistimewaan bagi Ahli Dewan Negeri Johor ialah satu Lencana Kereta dibekalkan oleh Kerajaan Negeri kepada setiap ADUN dengan percuma.

YB Datuk Speaker

Di sini saya ingin tahu sama ada kenderaan yang digunakan oleh ADUN perlu membayar bayaran letak kereta di setiap tempat letak kereta berkupon di bawah kawalan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor?

Ini adalah kerana kenderaan milik saya dan dipandu saya sendiri sering kali dikeluarkan kompaun oleh Pegawai Penguatkuasa pihak Majlis Perbandaran Muar dengan alasan tidak mempamerkan kupon yang dikeluarkan oleh pihak Majlis semasa meletakkan kenderaan di dalam petak kereta berkupon!

Penguatkuasa Letak Kereta memberitahu kepada saya, bahawa saya perlu melekatkan satu lencana yang mempunyai SIMBOL PIHAK BERKUASA TEMPATAN dan bukannya LENCANA ADUN NEGERI JOHOR!

(d) Pemantauan Projek

Sejumlah wang telah diperuntukkan oleh Majlis Perbandaran Muar untuk menaik-tarafkan sistem saliran di Muar.

Projek-projek ini sama ada projek utama/besar ataupun projek kecil harus mempunyai pemantauan yang baik oleh pihak MPM.

Misalnya di kawasan DUN Bentayan, di Lorong Wan Chik, Muar, pihak MPM telah melancarkan satu projek untuk menaik-tarafkan parit dikawasan tersebut sebelum pilihanraya umum yang lepas, tetapi projek itu tidak disiapkan dengan sempurna, ia tidak dapat disiapkan dengan sempurna dengan alasan tiada peruntukan lagi!

Akibat daripada itu rumah milik Puan Goh Ah Choo yang beralamat di No. 144-9, Lorong Wan Chik , Jalan Salleh, 84000 Muar telah membuat aduan kepada pihak kami bahawa beliau khuathir akan berlakunya hakisan tanah disebelah tepi rumahnya akibat daripada pembinaan parit tersebut?

YB Datuk Speaker

Soalan
Saya ingin tahu berapakah sebut harga terhadap projek tersebut, siapakah kontraktor berkenaan bagi projek tersebut dan bilakan pihak MPM akan mengarahkan kontaktor yang terlibat untuk menyiapkan projek tersebut dengan sempurna?

Ini adalah untuk memastikan supaya rumah milik Puan Goh Ah Choo adalah dalam keadaan yang selamat untuk diduduki!

(e) Indah Water Konsortium dan SAJ Holdings Bhd

Kerajaan Persekutuan pada tahun lepas telah meluluskan suatu akta yang dinamakan Water & Industry Act dengan izin, Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan untuk membenarkan kemasukan Bil IWK ke dalam Bil Air SAJ, yang mana merupakan satu tindakan memaksa Rakyat Jelata membayar bil IWK dan sekiranya Rakyat ingkar, bekalan air mereka boleh dipotong.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada tahun 2004 telah memutuskan bahawa IWK tidak boleh mengenakan apa-apa bayaran sebelum ia dapat mengemukakan bukti perkhidmatan, “No Service No Charge” dengan izin.

Prinsip undang-undang ini haruslah dihormati oleh IWK dan juga Kerajaan yang memerintah yang telah mendapat mandat daripada Rakyat.

Bolehkah kita bayangkan, bagaimanakah boleh berlakunya satu keadaan di mana, penggunaan air seisi keluarga bulanan pada kadar minimum RM4, tetapi IWK yang bertanggungjawab untuk pembetungan sahaja mengenakan bayaran sebanyak RM8 sebulan!!! Tak masuk akal lah!

YB Datuk Speaker

Apa yang IWK buat sekarang? Surat Tuntutan, Saman Mahkamah Berlayang-layang. Rakyat jelata berasa bimbang apabila diberitahu IWK akan membawa kes mereka ke Mahkamah sekiranya mereka tidak menjelaskan akaun tertunggak mereka.

Sememangnya rakyat boleh mengambil perkhidmatan peguam untuk membela diri, tetapi bayangkan bagaimanakah untuk kebanyakan mereka yang hanya berhutang beberapa ratus ringgit sahaja?

Walau bagaimanapun, walaupun kita masih tidak dapat memperhentikan tindakan dan keputusan IWK untuk membawa kes ke Mahkamah, Kerajaan Negeri Perak dengan mandat Rakyat telah membuat satu keputusan yang baik, di mana ia enggan membenarkan IWK mencantumkan bil IWK dengan bil air.

Adakah Kerajaan Negeri Johor membenarkan IWK mencantumkan Bil IWK dengan Bil Air SAJ di negeri ini?

YB Datuk Speaker
Kemudian datang pula dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan diberikan secara spesifik kepada 3 buah syarikat sahaja.

Apa yang kita boleh rumuskan pada masa sekarang adalah, Akta ini akan mempunyai kesan seperti Sewerage Services Act 1993 dengan izin, yang mana IWK telah ditubuhkan dan mengambil alih tugas Pihak Berkuasa Tempatan dalam sistem pembetungan dan Rakyat adalah dipaksa membayar kepada syarikat konsesi tersebut pada masa yang sama juga perlu membayar Cukai Taksiran yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Kesimpulan:
Kita haruslah bersama-sama berkemampuan membasmi segala kepincangan, ketidaktelusan, ketidakcekapan pengurusan, salah guna kuasa dan amalan korupsi kronisme di Negeri Johor.

Sekian, terima kasih.

0 comments: