诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Thursday, June 12, 2008

Selangor Tanggung Air Percuma RM132 Juta Setahun

Utusan Malaysia, Khamis 12 Jun 2008
Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM 11 Jun - Kerajaan campuran Pakatan Rakyat Selangor terpaksa membiayai RM132 juta setahun nilai kos 20 meter padu air percuma kepada rakyat negeri ini bagi mengotakan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12.

Menerusi persetujuan yang dicapai oleh kerajaan campuran Pakatan Rakyat Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas) hari ini, ia bermakna KDEB menanggung kos air yang dianggarkan sebanyak RM11 juta sebulan, berkuat kuasa 1 Jun.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, selaras dengan keputusan tersebut, pengguna air di Selangor juga akan menerima bil air baru dengan rebat air percuma mengikut kadar yang ditetapkan itu bermula Isnin depan.

"Kita telah mengadakan perbincangan dengan pihak Syabas tengah hari tadi dan telah mencapai persetujuan iaitu bagi pengguna air di negeri ini yang telah menerima bil air sebelum 16 Jun (Isnin depan) akan menerima rebat bayaran untuk pengunaan 15 hari pertama bulan ini yang direkodkan di dalam bil bulan Julai.

"Kos berkenaan (20 meter padu air pertama) akan ditanggung oleh KDEB setiap bulan. Bagaimanapun, pemberian air percuma ini hanya untuk pengguna yang mempunyai meter individu sahaja," katanya ke- pada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pemberian percuma sebanyak 20 meter padu pertama seperti dijanjikan oleh kerajaan negeri kepada seluruh rakyat Selangor mulai Jun ini, seperti yang terkandung dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, pemberian air percuma berkenaan yang juga merupakan satu usaha penstrukturan semula industri air di Selangor itu tertangguh sebelum ini, berikutan tiadanya persetujuan dicapai di antara kerajaan negeri dengan pihak Syabas termasuk daripada segi terma, syarat-syarat termasuklah kaedah-kaedah pelaksanaan yang akan digunapakai.

Pada 9 Jun lalu, Syabas telah menolak terma dan syarat pembayaran yang dikemukakan oleh KDEB berhubung pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada pengguna di Selangor.

Syabas mahu KDEB membiayai kos 20 meter padu air yang dianggarkan sebanyak RM11 juta sebulan berkuatkuasa 1 Jun dan bukannya pada bulan September seperti cadangan awal KDEB.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan berkata, rundingan mengenai perkara itu telah selesai memandangkan KDEB telah memberi aku janji untuk membayar bekalan air berkenaan bagi pihak kerajaan negeri dalam tempoh 30 hari setiap bulan.
"Kita jangkakan pelaksanaan ini untuk bulan ini (Jun) mungkin akan mengalami kesulitan. Namun, kita akan buat penyelarasan seperti yang dipersetujui,'' katanya.

0 comments: