SENAI - Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Bentayan, Gwee Tong Hiang bersetuju dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya individu mencapai usia 18 tahun wajib mengundi selari dengan Wawasan 2020, semalam.
"Dalam menuju negara maju iaitu Wawasan 2020, rakyat hendaklah maju ke hadapan dan bukan mengekang remaja untuk bersuara.
"Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang dibuat menyekat idea bernas pelajar yang mempunyai idealisme mereka tersendiri," katanya.
Menurutnya, sistem pendaftaran manual Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) patut diubah kepada sistem automatik di mana mereka yang mencapai usia matang 18 tahun wajib mengundi contohnya di Singapura.
"Pelajar-pelajar sekarang sudah matang kerana tahap pendidikan di Malaysia sudah tinggi dan mereka boleh berfikiran sendiri.
"Jika ada pihak yang membuat statistik mengenai kematangan pelajar, rata-rata pelajar sudah matang di kala usia 18 tahun kerana faktor pendidikan yang diterima pelajar itu," katanya.
Menurutnya, sistem pendidikan dahulu dengan sekarang berbeza kerana taraf pendidikan di Malaysia ada yang bertaraf antarabangsa.
"Kita sepatutnya mengambil contoh pelajar di luar negara yang lebih bebas bersuara kerana tahap pendidikan sekarang lebih tinggi dan mereka bersikap lebih terbuka," katanya.
Katanya, pelajar tingkatan empat dan lima kini bijak dalam menyuarakan pendapat mereka seperti berpidato atau debat sehinggan ke luar negara membuktikan belia kini lebih bersikap terbuka dan bukan lagi diibaratkan katak di bawah tempurung.
Karpal Singh sebelum ini berkata, pindaan akta itu selaras dengan apa yang diperuntukkan dalam Akta Umur Majoriti 1971 yang memberikan hak kepada individu yang telah mencapai usia 18 tahun dan bukan 21 tahun.
Karpal berkata, perkara itu juga diamalkan di banyak negara luar dan ia perlu dilaksanakan di Malaysia.
0 comments:
Post a Comment