诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Wednesday, November 25, 2009

Ucapan ADUN Kawasan Bentayan, YB Gwee Tong Hiang dalam membahas Bajet Negeri Johor 2010 - Rang Undang-Undang Enakmen Pembekalan 2010.

YB Gwee Tong Hiang dan isteri, Gan Sheh Hui bersama-sama dengan kanak-kanak daripada berbilang kaum.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya untuk mengambil bahagian dalam membahas Bajet Negeri Johor 2010 - Rang Undang-undang Enakmen Pembekalan 2010 yang telah dikemukakan oleh YAB Menteri Besar Johor.

YB Datuk Speaker

Defisit Bajet dan Maklumat Am

Bajet 2010 merupakan satu defisit bajet sebanyak RM1.5 juta. Jumlah hasil adalah sebanyak RM784.15 juta dan Jumlah Perbelanjaan Mengurus adalah sebanyak RM785.65 juta manakala Perbelanjaan Pembangunan adalah sebanyak RM228.57 juta.

1. Laporan Ketua Audit Negara - Aktiviti Jabatan/Agensi & Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Johor Tahun 2008

Menurut laporan tersebut, di antara kelemahan yang ditemui adalah beberapa aspek pelaksanaan Program KAFA (Kelas Al-Quran & Fardhu Ain) yang kurang memuaskan, kelewatan pewartaan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), penerokaan HSK untuk pembangunan ladang hutan dan aktiviti ekonomi telah mengancam flora dan fauna. Kawasan tadahan air yang belum diwartakan telah menyukarkan penguatkuasakan terhadap aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran sumber air minuman.

Selain itu, projek pembinaan rumah awam kos rendah yang dirancang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, manakala tiada sasaran dan Pelan Tindakan Tahunan bagi program yang hendak dilaksanakan di Tapak RAMSAR (Pengurusan & Pemuliharaan Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa) dan pemantauan serta penguatkuasaan yang lemah terhadap perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di samping tunggakan cukai taksiran yang makin meningkat. Secaranya amnya, kekurangan ini boleh menjejaskan imej Kerajaan Negeri dan perkhidmatan awam.

YB Datuk Speaker

Menurut Laporan tersebut lagi, iaitu mengenai Pengurusan Hutan dan Kepentingannya Kepada Alam Sekitar, hasil kajian tersebut telah mendapati bahawa pengurusan hutan adalah tidak memuaskan kerana keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) semakin berkurangan di Negeri Johor dengan baki pada masa kini sekitar 18% sahaja.

Walaubagaimanapun, YAB Menteri Besar dalam ucapan Bajet 2010 menytakan bahawa HSK di Negeri Johor pada hari ini meliputi keluasan > 500, 000 hektar atau 29% daripada keluasan Negeri Johor kerana proses pengwartaan Rizab Hutan Simpanan Kekal bagi tanah kerajaan seluas 100,310 hektar di bawah Seksyen 7 (1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 perlu melalui prosedur perundangan dan masa yang agak panjang!

Selain itu, penerokaan HSK secara besar-besaran bagi tujuan pembangunan ladang hutan getah telah mengancam dan memusnahkan flora dan fauna serta habitat semula jadi hidupan liar menjadikan kawasan hutan seperti pulau yang menyukarkan hidupan liar untuk mencari makanan. Justeru itu, Jabatan Perhutanan perlu mengkaji semula pengeluaran permit penggunaan pengeluaran hasil hutan bagi tujuan aktiviti pertanian.

YB Datuk Speaker

Menurut Memorandum Laporan Ketua Audit Negara Bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Johor sehingga 31 Mei 2009, masih sebanyak 66 Penyata Kewangan Agensi yang telah disahkan tetapi belum dibentangkan di Dewan Yang Mulia ini. Daripada jumlah tersebut, 2 Badan Berkanun Negeri masih belum membentangkan Penyata Kewangan antara tahun 1987 hingga 2007.

Pada Persidangan kali ini terdapat Penyata-penyata Kewangan seperti Penyata Kewangan untuk Yayasan Warisan Johor yang hanya dibentangkan di Dewan yang mulia ini iaitu 15 Tahun Sekali bagi Tahun Berakhir 31 Disember 1993 sehingga 31 Disember 2007 dan Penyata Kewangan Perbadanan Stadium Johor pula 19 Tahun Sekali bagi Tahun Berakhir 31 Disember 1989 sehingga 31 Disember 2007.

Mengapakah kedua-dua agensi kerajaan negeri yang mana diketuai oleh YAB Menteri Besar Johor boleh dibenarkan untuk berbuat sedemikian? Adakah mereka yang terlibat seharusnya diambil tindakan yang serius ke atas sikap tidak bertanggungjawab sedemikian dan berapakah banyak lagi agensi kerajaan negeri yang masih tidak membentangkan penyata kewangan tahunan mereka setakat kini?

YB Datuk Speaker

2. Peruntukkan Kepada 3 Buah Sek Jenis Keb Cina Dan 1 Buah Sek Men Persendirian Chung Hwa, Muar

Pada tarikh 07-Disember-2007 Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melawat ke SJK (C) Pei Yang, Muar dan pada hari itu juga beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah seperti berikut:

(i) RM500,000.00 kepada SJK (C) Pei Yang, Muar.
(ii) RM300,000.00 kepada SJK (C) Chung Hwa 2A, Muar
(iii) RM100,000.00 kepada SJK (C) Sing Hwa, Muar
(iv) RM100,000.00 kepada Sek Men Persendirian Chung Hwa, Muar.

YB Datuk Speaker

Pada hari tersebut pihak sekolah telah menerima “Cek-cek Replika” tetapi “Cek-cek Besar” yang diterima ini tidak laku dibank-bank yang berdaftar di negara ini, kerana bank-bank di Malaysia hanya menerima cek-cek yang berukuran 7˝x 3½˝ sahaja.

Maka sekiranya Kerajaan BN yang betul-betul menghayati Slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, janganlah selalu mencari publisiti dengan berhulurkan “Cek-cek Replika” yang tidak laku! Dengan kata lain, cek-cek yang sah haruslah disampaikan kepada pihak yang bakal menerimanya pada hari tersebut juga dan disini Bentayan ingin tahu bilakah pihak kerajaan akan mengotakan janji-janji seperti mana yang telah diumumkan olah Mantan Perdana Menteri dan telah dipersetujui oleh YAB MB pada tarikh tersebut?

Adakah 4 buah Sek Cina tersebut perlu menunggu sehingga PRU yang ke-13 nanti? Bentayan amat mengharapkan pihak kerajaan dapat mengotakan janji tersebut dengan kadar segera!

YB Datuk Speaker

Disini, Bentayan boleh menunjukkan sekeping sijil sebagai bukti saya terhadap perkara diatas iaitu sijil yang ditandatangani sendiri oleh YAB Menteri Besar Johor kepada salah sebuah sekolah yang bakal menerima peruntukan tersebut!

Kandungan Butiran Sijil itu adalah seperti berikut:

“Bahawa dengan sukacitanya peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membaiki bumbung Dewan adalah dipersetujui”.

Tandatangan
YAB Menteri Besar Johor.

YB Datuk Speaker

3. Perkhidmatan Balai Polis Bergerak Di Bandar Muar

Disini Bentayan ingin mengucapkan syabas kepada Ketua Polis Daerah Muar kerana atas usaha beliau sebuah Balai Polis Bergerak telah kelihatan bertapak di Bandar Muar. Kehadiran Balai Polis Bergerak ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya kepada para peniaga-peniaga dan rakyat di Bandar Muar.

Kehadirannya yang sering kali berkelihatan di hadapan bank-bank, kedai-kedai emas dan pusat-pusat membeli belah di Bandar Muar, sedikit sebanyak telah meningkatkan keyakinan rakyat jelata kepada PDRM tetapi Bentayan amat mengharapkan sekurang-kurangnya pihak PDRM Daerah Muar dapat menambahkan lagi jumlah Balai Polis Bergerak ini kepada 5 buah. Ini adalah kerana dengan bertambahnya Balai Polis Bergerak van-van ini dapat ditempatkan dimerata-rata tempat yang selalunya berlaku kes-kes jenayah, seperti peragut beg berlaku di merata-rata tempat sahaja di Bandar Muar bukan sekadar di kawasan perbankan.

Penambahan jumlah Balai Polis Bergerak kepada 5 buah merupakan satu permintaan yang haruslah dipandang berat oleh pihak PDRM Daerah Muar supaya seluruh Bandar Muar akan lebih selamat. Dengan adanya lebihan Balai Polis Bergerak, maka ia boleh ditempatkan di kawasan-kawasan seperti di sekolah-sekolah, perindustrian serta taman perumahan dan diharapkan ia akan dapat membantu menurunkan kadar % jenayah di Bandar Muar.

Disini Bentayan ingin menanyakan kepada kerajaan, iaitu dengan pelancaran perkhidmatan tersebut, berapakah kadar % penurunan kes-kes jenayah di Bandar Muar dan berapakah perbelanjaan yang diperlukan untuk mendirikan sebuah Balai Polis Bergerak?

YB Datuk Speaker

4. Majlis Perbandaran Muar (MPM)

i. Kenaikan Bayaran Rezab Tempat Letak Kereta

Apabila persempadan semula kawasan PBT di Daerah Muar telah wujudnya satu daerah baru Ledang yang melibatkan Mukim Kesang iaitu dalam Daerah Ledang mulai 01-Januari-2009 dan menurut YB Exco Kerajaan Tempatan dalam jawapannya pada Persidangan Bajet 2009 yang lalu, akibat daripada persempadan itu, MPM telah kekurangan hasil pendapatan sebanyak RM3.6 juta, MPM akan mengambil langkah-langkah untuk menangai masalah kekurangan hasil dengan mengoptimumkan kutipan hasil!

Beliau juga bercadang untuk melaksanakan pemutihan proses pemutihan kilang-kilang haram yang banyak terdapat di Daerah Muar! Maka kutipan sebanyak RM200,000.00 akan dapat dikutip kerajaan pada masa itu juga berjanji tidak akan menaikkan bayaran cukai-cukai dan bukan cukai seperti lesen perniagaan, iklan, bayaran letak kereta dan terima bukan hasil di Bandar Muar!

Para peniaga di Bandar Muar merasa amat tidak berpuas hati dengan tindakan pihak MPM yang akan menaikkan Bayaran Bulanan Rezab Tempat Letak Kereta daripada RM100.00 ke RM150.00.

YB Datuk Speaker

Peningkatan sebanyak 50% ini amat membebankan para peniaga, kerana ekonomi pada masa kini masih belum pulih sepenuhnya! Janji-janji kerajaan haruslah dikotakan, adakah peningkatan bayaran rezab tempat letak kereta merupakan diantara salah satu langkah oleh pihak MPM untuk meningkatkan hasil pendapatan mereka akibat daripada kekurangan hasil sebanyak RM3.6 juta kepada Majlis Daerah Tangkak?

YB Datuk Speaker

Bentayan merasa amat khuatir dan menanyakan kepada kerajaan negeri adakah ia merupakan titik permulaan pihak MPM untuk melaksanakan peningkatan cukai-cukai yang lain dan ini sudah tentu akan membebankan rakyat di Daerah Muar? Disini Bentayan menyeru pihak kerajaan supaya peka kepada kehendak rakyat yang mahukan segala cukai dan bukan cukai haruslah dibiarkan tidak berubah ataupun dengan kata lain “status quo” dengan izin!

ii. Masalah Banjir Kilat di Pusat Penjaja Jalan Haji Abu

Masalah banjir kilat di pusat penjaja Jalan Haji Abu, Muar masih lagi berlaku sungguhpun pihak MPM telah membelanjakan wang ratusan ribu Ringgit untuk menaikkan taraf sistem perparitan di kawasan Pusat Penjaja Haji Abu, dan Jalan Ali, Muar. Namun begitu apabila hujan turun tak sampai 2 jam, kawasan tersebut akan dinaiki air. Perkara ini telah menyebabkan para penjaja-penjaja tidak dapat menjalankan urusan perniagaan mereka!

YB Datuk Speaker

Keadaan air yang hanya akan surut selepas satu jam apabila hujan berhenti, dan Bentayan amat berharapkan pihak MPM lebih peka kepada kaedah pelaksanaan sesuatu projek! Terlebih dahulu ia haruslah mendapat pandangan daripada pakar-pakar perancangan Bandar dan bukan sekadar setelah mendapat peruntukan, terus melaksanakan sesuatu projek sahaja.
YB Datuk Speaker

Wang yang dibelanjakan adalah wang rakyat, pembaziran demi pembaziran dilaksanakan tanpa dapat dimanfaatkan sepenuhnya kepada kumpulan sasaran yang telah ditetapkan! Bentayan berharap pihak MPM dapat menyelesaikan masalah di atas dengan kadar segera.

iii. Masalah Perparitan di Lorong Alwi & Lorong Paip, Parit Beting, Muar

Kawasan tersebut sering dilanda banjir kilat apabila hujan tiba dan kerajaan berjanji melalui MPM akan memohon memperuntukkan sebanyak RM100,00.00 untuk memperbaiki keadaan perparitan di Kawasan Perkampungan Lorong Alwi & Lorong Paip, Parit Beting, Muar. Pada permulaannya, peruntukkan sebanyak RM13,700.00 telah digunakan tetapi projek tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah banjir kilat dikawasan tersebut!

Ini adalah kerana pengaliran keluar sistem saliran dikawasan tersebut ada di antaranya perlu melalui tanah-tanah persendirian! Tuan punya tanah tidak membenarkan pihak MPM membuat parit melalui tanah mereka!

YB Datuk Speaker

Bentayan mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri memberikan pampasan yang munasabah kepada tuan punya tanah yang terlibat dan ini seterusnya akan dapat mengalirkan air yang berlebihan daripada kawasan tersebut kepada parit besar yang berdekatan.

Bentayan berharapkan agar projek tersebut daripada dilaksanakan dengan kadar segera, memandangkan musim tengkujuh ini akan membawakan air yang berlebihan ke kawasan tersebut dan seterusnya menyebabkan banjir kilat, rakyat akan menderita selepas itu!

Runggutan daripada penduduk tempatan yang menyatakan siapakah yang akan membayar ganti rugi kepada mereka setiap kali banjir kilat berlaku akibat daripada kerosakan harta benda yang tidak dapat dielakkan?

Disini Bentayan mencadangkan agar kerajaan negeri seharusnya membayar ganti rugi kepada penduduk-penduduk yang terlibat akibat daripada perancangan yang tidak teliti oleh pihak MPM!

YB Datuk Speaker

iv. Penjaja Di Jalan Ali, Hadapan Pasar Hock Hai, Muar

Bentayan menerima aduan daripada salah seorang penjaja suratkhabar yang bernama Puan Teo Si Bian (No. K/P: 450714-01-5254). Beliau dengan Basikal 3 Rodanya menjalankan perniagaan menjual suratkhabar di Jalan Ali iaitu dihadapan Pasar Hock Hai, Muar. Beliau menyatakan bahawa beliau sering dihalau oleh sekumpulan penguatkuasa MPM yang tidak membenarkannya berniaga di kawasan tersebut! Makcik yang berumur 64 tahun itu berasa amat tidak adil kerana beliau telah menjual surat khabar di kawasan tersebut sejak 20 tahun yang lalu dan beliau hairan dengan Slogan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan tidak dipraktikkan oleh pihak MPM.

YB Datuk Speaker

Beliau kurang faham mengapa menjual surat khabar di sebelah awal pagi dari jam 6 pagi sehingga 8 pagi, dan tidak mengganggu keadaan lalu lintas di kawasan tersebut pun sentiasa dihalau oleh pihak penguatkuasa MPM! Pihak penguatkuasa amat rajin, mereka awal-awal pagi jam 7.45 pagi sudah berada di tempat tersebut! Menurutnya lagi Hari Ahad pun pihak MPM sampai juga! Mengapakah terdapat sifat pilih kasih ataupun “Double Standard” dengan izin oleh pihak penguatkuasa MPM dalam melaksanakan tugasan mereka setiap hari? Berapakah banyak para penjual surat khabar harian di tepi jalan yang tidak mempunyai lesen di Bandar ini?

YB Datuk Speaker

Bentayan amat bersimpati kerana kerja-kerja halal mereka ini seharusnya mendapat pujian dan pertolongan daripada pihak MPM dan bukannya sentiasa mendapat rintangan terhadapnya! Golongan ini awal-awal pagi lagi telah keluar mencari nafkah hidup mereka dengan tujuan untuk menyara kehidupan sekeluarga dan sekiranya pihak MPM mengenakan bayaran lesen yang tinggi sudah tentu ia akan membebankan mereka!

Pendapatan menjual surat khabar bukannya tinggi sangat, hanya sekadar “Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Makan Petang” dengan erti kata lain, hanyalah cukup untuk menyara sekeluarga! Menurutnya 1 hari hanya dapat untung tak sampai RM15.00

Bentayan berpendapat bahawa untuk menyelesaikan masalah seperti diatas, satu Lesen Perniagaan Khas boleh dikeluarkan kepada golongan ini dengan bayaran nominal RM10.00 setahun untuk membantu golongan sebegini yang berpendapatan rendah untuk meneruskan kehidupan harian mereka!

YB Datuk Speaker

5. Tanah Perkuburan Cina, Lenga

Pihak Jawatankuasa Perkuburan Cina, Lenga, Muar telah memohon sekeping tanah yang luasnya 7 ekar, terletak bersebelahan dengan tapak sedia ada untuk dijadikan tempat perkuburan kaum Cina, Lenga, memandangkan tempat sedia ada akan mencapai tahap optimum pada masa beberapa tahun lagi.

Jawapan yang diterima pada persidangan 08-September-2009, YAB Menteri Besar menyatakan bahawa permohonan ini telah ditolak oleh Pejabat Tanah Muar pada 31-March-1994 kerana tidak mendapat sokongan Jabatan Teknikal dan pihak MPM juga tidak menyokong permohonan tersebut!

YB Datuk Speaker

Menurutnya, tanah kubur sedia ada masih lagi terdapat banyak kawasan yang masih belum digunakan, tanah ini juga termasuk didalam kawasan rezab Melayu, Lenga sebagimana WK 668 bertarikh 29-Mei-1940. Manakala Pejabat Tanah Bandar Muar telah bercadangkan supaya tanah lain diganti untuk tapak kubur ini iaitu di atas tanah PTD 8482 seluas 5.124 ekar yang terletak di Bukit Bugis, Batu 30, Lenga samada menerimanya atau tidak.

YB Datuk Speaker

Menurut Pihak Jawatankuasa Perkuburan Cina Lenga, Muar, tanah di atas Lot 749 telah lama dijadikan tapak perkuburan Cina, Lenga. Bukti-bukti menunjukkan bahawa terdapat kubur-kubur yang telah mencapai lebih daripada 100 tahun di tapak berkenaan. Difahamkan bahawa Jawatankuasa berkenaan telah mendapat kelulusan daripada YAB Timbalan Perdana Menteri Merangkap Ahli Parlimen Pagoh untuk dijadikan tanah Perkuburan Cina, Lenga, Muar.

YB Datuk Speaker

Disini Bentayan ingin menanyakan adakah tapak tanah Lot 749 telah digazedkan sebagai tapak Tanah Perkuburan Cina, Lenga ataupun Kawasan Rizab Melayu Lenga? Penduduk disana ingin mengetahui keadaan yang sebenar kerana tapak sedia ada akan mencapai tahap optimum pada masa beberapa tahun lagi. Tapak yang dicadangkan di atas tanah PTD 8482 seluas 5.124 ekar di Bukit Bugis, Batu 30, Lenga adalah terletak di kawasan pendalaman hutan dan penduduk di sana merasa ia adakah tidak sesuai untuk dijadikan tanah perkuburan!

YB Datuk Speaker

6. Penyewaan Dewan SJK (C) Pei Yang, Muar

Pada tarikh 11-Ogos-2009, Bentayan telah menulis sepucuk surat kepada pihak Guru Besar SJK (C) Pei Yang, Muar dengan tujuan untuk menyewa Dewan SJK (C) Pei Yang untuk Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri Pulau Pinang anjuran ADUN Kawasan Bentayan,

YB Datuk Speaker

Surat bertarikh 13-Ogos-2009 daripada Penolong Pendaftar Sekolah Jabatan Pelajaran Johor yang menyatakan bahawa pihak Pelajaran Johor tidak pernah meluluskan pengguna premis sekolah untuk kegunaan mana-mana parti-parti politik berdasarkan Surat Pekeliling Ekhtisas Bil. 7/1991 oleh itu Jabatan Pelajaran Johor tidak dapat meluluskan permohonan saya. Di sini Bentayan ingin menanyakan kepada kerajaan negeri mengapakah permohonan saya ditolak?

YB Datuk Speaker

Jabatan Pelajaran Johor menyatakan bahawa tidak pernah meluluskan pengguna premis kepada parti-parti politik tetapi nampaknya boleh menyewakan premis sekolah kepada parti kompenan BN yang lain seperti UMNO, MCA, MIC. Mengapakah pihak kerajaan negeri mengamalkan sikap pilih kasih ataupun“double standard” dengan izin dalam kes diatas!

YB Datuk Speaker

Disini saya ada satu contoh iaitu keratan Utusan Malaysia bertarikh 12-Nov-2009 yang mengatakan UMNO dan BN Kedah mengalu-alukan YAB Timbalan Perdana Menteri ke Majlis Perlancaran Kempen Gerak Mesra, “Barisan Menang, Kedah Senang” bertempat di Sek Men Keb Agama Yan, Kedah. Sungguhpun Negeri Kedah di bawah pimpinan Pakatan Rakyat tetapi sekolah-sekolah di sana juga boleh disewakan kepada parti Barisan Nasional.

Kesimpulan:

Bajet 2010 merupakan Bajet Defisit, walaubagaimanapun dengan strategi berbelanja secara berhemah disamping meningkatkan hasil pendapatan negeri serta ketelusan pentadbiran yang sifar rasuah, membasmi segala kepincangan, ketidaktelusan, ketidakcekapan pengurusan, salah guna kuasa dan amalan korupsi kronisme di Negeri Johor, maka ketirisan ekonomi dapat dielakkan daripada berlaku. Dengan kata lain setiap peruntukan yang telah dirancangkan akan dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran yang telah ditetapkan.

Sekian, terima kasih.

YB Gwee Tong Hiang
ADUN Kawasan Bentayan
25-11-2009

0 comments: