诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Tuesday, August 5, 2008

SOALAN-SOALAN DEWAN YANG DIBANGKITKAN OLEH ADUN KAWASAN BENTAYAN, YB GWEE TONG HIANG DI DALAM PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE 12

SOALAN-SOALAN DEWAN YANG DIBANGKITKAN OLEH ADUN KAWASAN BENTAYAN, YB GWEE TONG HIANG DI DALAM PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE 12 MULAI PADA 19 JUN 2008 – 4 JULAI 2008


SOALAN-SOALAN MULUT/LISAN
1.
Berapakah peruntukan tahunan telah disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk 8 buah Sekolah Tinggi (Persendirian) Cina di Johor?

Jawapan Y.A.B. Dato' Menteri Besar

Kerajaan Negeri Johor amat prihatin dengan pengurusan Sekolah-sekolah Persendirian tersebut dan sentiasa berusaha membantu Sekolah Tinggi (Persendirian) Cina di Johor. Bagaimana pun Kerajaan Negeri Johor tidak menetapkan jumlah peruntukan tahunan kepada sekolah-sekolah persendirian ini, namun begitu, bantuan dikeluarkan kepada sekolah-sekolah ini mengikut keperluan masing-masing.

Untuk makluman Dewan yang mulia, sebanyak RM2.6 juta bantuan telah di keluarkan kepada Sekolah-sekolah tersebut sepanjang empat tahun lalu.

2.
Adakah setiap ADUN mempunyai hak untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Berkuasa Tempatan? Kalau tidak, apakah alasannya?

Jawapan Y.B. Dato Haji Ahmad Zahri Bin Jamil

Setiap Pihak Berkuasa Tempatan boleh menjemput setiap Ahli Dewan Undangan Negeri yang terdapat di dalam kawasan pentadbiran mereka untuk menghadiri mesyuarat penuh bulanan yang diadakan pada setiap hujung bulan sebagai pemerhati mesyuarat.

Walau bagaimanapun mereka hendaklah mematuhi tatacara mesyuarat yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan mengambil bahagian di dalam mesyuarat tersebut.

3.
Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri ke atas Projek Tanjung Emas di Muar?

Jawapan Y.B. Dato Haji Ahmad Zahri Bin Jamil

Projek Tanjung Emas di Muar merangkumi kerja-kerja pembinaan Dataran Tanjung Emas, Gerai Tanjung Emas, Lampu Limpah “High Mast” dan Tempat Letak Kereta dengan kos perbelanjaan berjumlah RM4.903 juta.
Kerja-kerja pembinaan dimulakan dengan projek Gerai tanjung Emas pada 15 Mei 2001 dan siap pada 16 Oktober 2001. Gerai ini mengandungi 15 unit ruang niaga yang telah diagihkan kepada 12 orang peniaga Bumiputera dan 3 orang peniaga Cina.

Projek seterusnya adalah pembinaan Dataran Tanjung Emas, yang bermula pada 20 November 2002 dan siap pada 20 Ogos 2004.

Bagi menerangi adalah pembinaan Dataran Tanjung emas, Lampu Limpah “High Mast” telah dibina pada 26 Oktober 2004 dan disiapkan pada 9 Januari 2005.

Pembinaan Tempat Letak Kereta pula dimulakan pada 3 Ogos 200 dan siap untuk digunakan pada 28 November 2006.

Pembiayaan kos pembinaan berjumlah RM4.903 juta adalah melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kecuali kos tempat letak kereta berjumlah RM50,000.00 adalah daripada peruntukan Majlis Perbandaran Muar. Kerajaan Negeri tidak terlibat dalam pembiayaan kos projek Tanjung Emas di Muar.

Pecahan kos projek adalah sebagaimana berikut :-

Bil Projek KOS (RM)
1. Dataran Tanjung Emas 4,175,682.97
2. Gerai Tanjung Emas 497,647.00
3. Lampu Limpah “High Mast” Tanjung Emas 179,750.00
4. Tempat Letak Kereta 50,000.00
JUMLAH KOS PERBELANJAAN 4,903,079.97

4.
Berapakah peruntukan tahunan yang akan disediakan oleh kerajaan negeri untuk setiap kawasan ADUN dan bilakah ianya akan disalurkan?

Jawapan Y.A.B. Dato' Menteri Besar

Setiap Ahli Dewan Negeri Barisan Nasional (BN), parti yang dipilih oleh rakyat untuk membentuk kerajaan yang memerintah diperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi tujuan pembangunan. Peruntukan tersebut disalurkan apabila dipohon oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri yang berkenaan.

5.
Berapakah hasil keuntungan daripada penjualan air mentah kepada kerajaan Singapura?

Jawapan Y.B. Encik Tan Kok Hong

Negeri Johor membekalkan air mentah kepada Singapura sebanyak 250 juta gelen sehari pada kadar 3 sen/1,000 gelen di mana Kerajaan Negeri Johor memungut hasil sebanyak puirata RM225,000.00 sebulan.

6.
Sungguhpun Bandar Muar telah dinaikkan taraf perbandaran pada 14-04-2001 daripada Majlis Daerah Muar Selatan kepada Majlis Perbandaran Muar, tetapi nampaknya fasiliti kemudahan awam seperti yang berikut yang disediakan oleh pihak MPM kepada orang awam adalah bertambah buruk dan langsung tidak boleh digunapakai oleh orang awam:

a) Kolam Renang Muar
b) Rumah Persinggahan Muar
c) Trek Larian Stadium Muar

Adalah kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah wang untuk memperbaiki atau memulihkan kerosakan yang dialami ketiga-tiga kemudahan awam tersebut? Berapakah jumlah peruntukkan?

Jawapan Y.B. Datuk Haji Ahmad Zahri Bin Jamil

i. Kolam Renang Muar yang terletak di Tanjung Emas telah ditutup pada tahun 1996. Kolam tersebut berukuran 50 meter panjang. Ianya terpaksa ditutup kerana tidak lagi sesuai dan selamat untuk digunakan. Kerja-kerja pembaikan yang perlu dilaksanakan adalah termasuk keseluruhan bangunan, pam air dan kolam renang. Anggaran kos untuk membaik pulih kolam tersebut adalah sebanyak RM3 juta. Memandangkan kos untuk membaik pulih kolam tersebut adalah tinggi dan kedudukan kewangan Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang terbatas maka setakat ini Majlis Perbandaran Muar (MPM) tidak bercadangan untuk menggunakan peruntukan Majlis bagi tujuan membaik pulih kolam renang tersebut. Sebaliknya Majlis Perbandaran Muar (MPM) akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

ii) Rumah Persinggahan Muar (Muar Rest House) yang terletak di Tanjung Emas dimiliki oleh Yayasan Pelajaran Johor. Rumah persinggahan ini berkeluasan 5 ekar dan berada di bawah penyelenggaraan YPJ Holdings Sdn. Bhd. Pihak YPJ telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha yang berminat untuk menguruskan rumah persinggahan tersebut, namun setakat ini belum ada keputusan yang muktamad.

iii) Majlis Perbandaran Muar (MPM) telah mengemukakan permohonan cadangan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan Stadium Sultan Ibrahim termasuk trek larian kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Anggaran kos pembaikan yang diperlukan bagi tujuan tersebut adalah berjumlah RM3 juta. Secara dasarnya Kementerian Belia dan Sukan telah bersetuju dengan cadangan Majlis Perbandaran Muar (MPM). Kementerian Belia dan sukan telah pun menyelesaikan proses rundingan harga pada 15 Mei 2008 dan laporan tersebut telah pun dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Malaysia untuk memuktamadkan harga dan seterusnya kelulusan.


SOALAN-SOALAN BERTULIS
1.
Suatu kawasan tanah lapang yang dipacakkan dengan nama Tapak Bangunan UMNO Bahagian Bakri dipersimpangan Bulatan Bakri-Jalan Bakri, Muar dimana telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Johor 15-12-1998.

a) Bilakah tanah lapang tersebut dikurniakan kepada UMNO Bahagian Bakri oleh kerajaan negeri?
b) Berapakah premium, sekiranya ada, yang telah dibayar oleh pihak UMNO Bahagian Bakri kepada kerajaan negeri?
Jawapan
1.
a) Tanah yang dimaksudkan PTB 11340 Mukim Bandar Maharani telah dikurniakan kepada UMNO Bahagian Bakri pada tarikh 26.8.1998.
b) Hak milik tanah tersebut iaitu HS (D) 34162 telah dibayar premium sebanyak RM23,240.00 bertarikh 17.1.2006.

2.
Berapakah jumlah perbelanjaan yang telah digunakan oleh pihak kerajaan yang tertentu untuk membina Projek Marina Bay di Tanjong Emas?

Bilakah ia akan dibuka kepada orang awam?

Jawapan

a) Harga Kontrak bagi projek RMK-9 bagi Muar Awam Muar adalah bernilai RM27.3 juta.
b) Jabatan Laut Semenanjung Malaysia telah memutuskan bahawa Marina Awam Muar akan diserahkan kepada jabatan secara berperingkat. Struktur di bahagian darat telah diterima pada 9 Januari 2008. Walau bagaimanapun, struktur di bahagian laut belum diserahkan disebabkan kedalaman basin tidak memenuhi spesifikasi iaitu 1.5 meter. Jabatan telah melantik kontraktor penyelamat untuk melakukan pengerukan di bahagian basin marina. Kerja pengerukan tersebut telah pun dilaksanakan dan kajian hidro telah dilakukan pada 12 Jun 2008. Sekiranya hasil kajian tersebut adalah memuaskan, maka keseluruhan projek akan diserahkan kepada jabatan dan seterusnya akan dibuka kepada orang awam.

3.
Bagaimanakah dengan cadangan kenaikan Cukai Taksiran oleh kerajaan negeri pada tahun 2006 dan telah ditangguhkan, yang melibatkan Majlis Perbandaran Muar, Majlis Daerah Segamat dan beberapa lagi Pihak Berkuasa Tempatan?

Adakah cadangan kenaikan Cukai Taksiran telah dimansuhkan oleh pihak kerajaan?

Jawapan

a) Cadangan senarai nilaian semula berserta kadar baru bagi 6 Pihak Berkuasa Tempatan berikut :

1) Majlis Bandaraya Johor Bahru
2) Majlis Perbandaran Muar
3) Majlis Daerah Segamat
4) Majlis Daerah Simpang Renggam
5) Majlis Daerah Pontian
6) Majlis Daerah Mersing

Masih ditangguhkan penggunaannya oleh Kerajaan Negeri sebagaimana RM Bil. 1121/2006 bertarikh 19.7.2006.

Penangguhan penggunaan senarai nilaian semula berserta kadar baru adalah untuk memberi peluang kepada PBT menyemak semula peratus kenaikan cukai taksrian baru supaya jumlah yang dibayar oleh pembayar cukai tidak tinggi daripada jumlah cukai taksiran sedia ada.

Dalam keadaan kenaikan harga minyak petrol dan diesel yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini adalah kurang wajar jika PBT pula ingin melaksanakan penggunaan senarai nilaian semula berserta kadar baru dalam tempoh terdekat ini.

Bagi menggelakkan pembayar-pembayar cukai mengalami kesan kenaikan cukai taksiran, Kerajaan Negeri bersetuju supaya PBT masih mengguna pakai senarai nilaian berserta kadar sedia ada bagi semua pegangan bercukai di Pihak Berkuasa Tempatan.

b) Hasil daripada cukai taksiran merupakan jumlah pungutan hasil terbesar PBT iaitu antara 70% - 80% daripada jumlah hasil keseluruhan yang terdiri daripada Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.

PBT perlu membelanjakan pungutan hasil tersebut untuk Perbelanjaan Mengurus seperti Bayaran Emolumen Pekerja, Perkhidmatan Sisa Pepejal dan Pembersihan Am, Penyelenggaraan Kemudahan dan Pembelian Harta Modal. Selain dari itu PBT juga bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja pembangunan seperti menaiktaraf jalan, parit, pasar, gerai-gerai, dewan, lamu-lampu jalan dan lain-lain kemudahan awam untuk keselesaan penduduk di PBT berkenaan.

Memandangkan kos bahan-bahan binaan untuk melaksanakan sesuatu projek telah semakin meningkat kini, PBT mungkin tidak berkemampuan untuk menjalankan projek-projek pembangunan di PBT jika hasil cukai taksiran di kurangkan.

Oleh itu, pada masa ini Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menaikkan Kadar Cukai Taksiran di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor.

4.
Masalah Banjir Kilat yang sering melanda Bandar Muar!

a) Apakah langkah-langkah yang telah dirancang oleh pihak Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah banjir kilat tersebut?
b) Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan yang lebih teliti supaya masalah di atas dapat diselesai secara komprehensif?
c) Kenapa saliran parit tidak dibersihkan mengikut jadual?

JAWAPAN

a) Pihak JPS telah pun memulakan program mengatasi masalah banjir kilat melalui Program Tebatan Banjir Bandar Maharani sejak tahun 1995. Semenjak tahun tersebut sehingga sekarang hampir 75% parit-parit utama di dalam kawasan bandar Muar telah pun di naik taraf ke parit konkrit (U-Drain) yang lebih besar untuk menampung lebihan air larian hujan dengan reka bentuk berdasarkan curahan hujan untuk tempoh ulangan 100 tahun.

Pada keseluruhan kawasan-kawasan yang dinaiktarafkan dengan pembinaan parit konkrit di parit-parit utama seperti Parit Sungai Abong, Parit Setongkat, Parit Bakri, Parit Jalan Abdul Rahman, Parit Khalidi, Parit Haji Baki dan lain-lain parit utama telah pun dapat menyelesaikan masalah banjir kilat yang telah berlaku sebelum ini.

Projek menaik taraf Parit Perupok dari kuala sehingga ke kuarters Polis di Kg. Kelantan telah pun siap, manakala fasa terakhir untuk menaik taraf Parit Perupok di Kg. Kelantan telah pun di tender dan ditutup pada 5 Mei 2008 dan dijangka dapat dimulakan pada Julai/Ogos tahun 2008 ini.

b. Apabila keseluruhan Rancangan Tebatan Banjir Bandar Maharani siap dilaksanakan, adalah dijangka masalah banjir kilat di dalam kawasan bandar Muar akan dapat diatasi.

c. Parit-parit pertanian dibersihkan atau diselenggarakan oleh Ketua-Ketua Kampung sebanyak 4 kali setahun iaitu pada bulan Januari, April, Julai dan Oktober setiap bulan. Bergantung pada keadaan, parit-parit pertanian akan dijalankan kerja-kerja penggalian menggunakan jentera 2-3 tahun sekali.

5.
Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk memindahkan Pusat Pembuangan Sampah di Bukit Bakri, Muar ke suatu tempat yang lebih sesuai lagi, memandangkan tempat tersebut memang sudah tidak sesuai lagi untuk menjadi tempat pembuangan sampah. Lagipun kawasan tersebut berhampiran sudahpun diduduki oleh banyak penduduk.

Jawapan

Dalam rancangan jangka panjang bagi menangani masalah pelupusan sisa pepejal di Negeri Johor, Kerajaan Negeri telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa semua tapak pelupusan yang tidak sanitari yang digunakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan bagi melupuskan sisa pepejal di kawasan masing-masing akan ditutup secara berperingkat termasuklah tapak pelupusan di Bukit Bakri, Muar. Dalam rancangan yang dikemukakan, sisa pepejal daripada kawasan Muar akan dilupuskan di tapak pelupusan sanitari yang dikenalpasti di Jorak bagi wilayah utara Negeri Johor dengan disokong oleh sebuah stesen pemindahan sisa pepejal di Muar.

6.
Berapakah jumlah perbelanjaan yang telah dibelanjakan oleh pihak kerajaan tertentu untuk membina, meroboh dan membina semula Laman Maharani dan Menara Jam di Bandar Muar? Bukankah pihak kerajaan tertentu telah membazirkan wang rakyat?

Jawapan

Landskap Padang Nyiru (tapak Menara Jam) telah dinaiktarafkan dengan elemen-elemen landskap pada tahun 2000 merangkumi arca batu-batan, pejalan kaki, air pancut dan landskap lembut. Kos yang terlibat ialah RM85,000.00.

Perancangan projek tersebut dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima dari kajian-kajian yang dijalankan oleh Kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi mengenal pasti bahawa bandar Muar tidak mempunyai identiti yang kukuh dan tiada sense of welcoming bila masuk ke dalam bandar dari Jambatan Sultan Ismail. Ini juga adalah selaras dengan aspirasi Y.A.B. Menteri Besar Johor bahawa bandar Muar perlu ada satu mercu tanda yang boleh dijadikan identiti bandar Muar.

Walaupun terdapat sungutan dan bantahan daripada segelintir orang awam mengenai penebangan pokok-pokok palma yang suatu masa dahulu menghijaukan Padang Nyiru ini, tindakan tersebut memberi banyak manfaat dari segi peningkatan kualiti visual di mana pandangan menjadi semakin luas serta lapang dan tuan-tuan punya premis di sekitarnya tidak lagi bersungut kedai-kedai mereka terlindung. Suasana yang bebas luas ini nyata dapat mengurangkan gejala salah laku.

Pemugaran semula ini sebaik mungkin telah mengekalkan beberapa elemen landskap asal serta meningkatkan keselamatan dan kestabilan tapak di mana 2 traffic islands yang sering menjadi tempat “cilok” kenderaan bermotor telah disambungkan (hanya parit kecil dikekalkan sebagai sebahagian sistem saliran tapak) dan bekas lubang di bilik bawah tanah untuk sistem elektrik yang tidak lagi digunakan telah dikambus dan dipadatkan. Selain itu, 3 unit air pancut telah diagih-agihkan, 1 unit dikekalkan di Padang Nyiru, 1 unit dipindah dan dijadikan sebahagian komponen landskap Jalan Kamariah manakala 1 unit lagi dipindahkan ke bulatan kecil di jalan masuk ke Masjid Kedua, Tanjung Agas.

Oleh kerana semua kerja-kerja pembinaan landskap ini dilakukan sendiri oleh anggota kerja MPM, kos yang terlibat adalah dari segi sewaan peralatan/mesin dan perbekalan bahan-bahan :


i) Kos Persediaan Tapak RM 7,000

ii) Kos Penyediaan Landskap Kejur dan Air Pancut RM10,000

iii) Kos Penyediaan Landskap Lembut RM 2,000

iv) Kos Penyediaan Stainless Steel Bollard RM 9,150

v) Kos Lampu dan Penyambungan Elektrik RM 5,400

JUMLAH RM33,550


Pada tahun 2006, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Landskap Negara, telah meluluskan siling peruntukan berjumlah RM2 juta untuk membangunkan sebahagian daripada cadangan projek Maharani Walk yang telah dikemukakan kepada Kerajaan sejak tahun 2002 lagi. Projek ini melibatkan pembinaan Menara Jam di Padang Nyiru dan taman awam di tapak leak kereta bersebelahan Maharani View, dipinggir Sungai Muar.

Untuk memberi laluan kepada pembangunan yang diharapkan dapat menjadi mercu tanda Bandar Muar, landskap yang sedia ada di Padang Nyiru terpaksa dipugar semula. Walau bagaimanapun, komponen air pancut (di Bulatan Jalan Abdul Rahman), stainless steel bollards (di pekarangan Dewan Jubli Intan, sebahagian rumput permaidani (Zoysia Matrella), batu-batu hiasan dan pokok-pokok renek telah dipindahkan ke nurseri MPM dan diguna semula.

RINGKASAN PEMBANGUNAN LANDSKAP
PESISIR SUNGAI MUAR, JALAN MAHARANI, MUAR

Nama Projek :
Pembangunan Landskap Pesisir Sungai Muar, Bandar Maharani, Muar, Johor.
Siling Peruntukan Projek :
RM2,000,000
Harga Kontrak :
RM1,602,395.40
Pembiayaan :
Jabatan Landskap Negara (JLN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Juru Perunding :
Konsep Innorvatis (Kuala Lumpur)
Kontraktor :
Pembinaan Serai Jaya
Batu Pahat - dilantik oleh JLN

Tarikh Mula
1 November 2006
Tarikh Siap
31 Ogos 2007 (asal)
10 Oktober 2007 (EOT 1)
Komponen Pembangunan :
Menara jam (clock tower)
(spray granite finish)
Anjung laut (river deck)
(spray granite finish)
Gerbang (overhead structure)
(spray granite finish)
Ruang duduk (low wall seating area)
(pebble wash)
Tembok penahan (retaining wall)
Grand pavilion
(spray granite finish)
Entry wall
(spray granite finish)
Obelisk
(spray granite finish)
Mural wall
(memaparkan sejarah Muar)
Bollards
(spray granite finish)
Lapangan berumput
Pencahayaan (Muarlite)
Jam besar (Bodet, Perancis)
- Exdemn Corp. Sdn. Bhd.
Landskap lembut
- Bucida buceras
- Bucida mollinetti
- Zoysia matrella (rumput)
- Pokok-pokok sedia ada

7.
Statistik Jenayah di negeri Johor semakin meningkat. Apakah langkah-langkah yang telah dirancangkan oleh Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah tersebut?

JAWAPAN

Untuk menangani masalah jenayah PDRM Kontinjen Johor telah merancang beberapa langkah bagi mengatasi masalah jenayah di Negeri Johor, antaranya adalah :-

1.
Meningkatkan dan menambahkan rondaan bit dan patrol di kawasan-kawasan yang dikenal pasti kawasan hitam atau mempunyai kadar jenayah yang tinggi. PDRM Johor menggerakkan secara bersepadu anggota Pasukan Simpanan Persekutuan dan Pasukan Gerakan Am untuk menjalankan tugas-tugas cegah jenayah, membuat sekatan jalan raya, serbuan dan MPV. Ini telah meningkatkan rondaan di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kadar jenayah yang tinggi.
2.
Menjalankan operasi-operasi terancang dan bersepadu yang melibatkan Cawangan Jenayah, Narkotik, Cawangan Khas, Pengurusan dan KDN/KA. Operasi-operasi ini juga perlu disertai oleh RELA serta Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan. Anggota Sukarelawan (PVR) juga akan digembleng bagi operasi ini.
3.
Semua Ketua Polis dan Ketua Polis Daerah diarah merancang Program Pencegahan Jenayah dengan kerjasama NGO dan badan-badan sukarelawan. Pihak Polis amat berharap semua lapisan masyarakat tampil memberikan maklumat, membantu Polis membuat tangkapan. Turut menyertai Rukun Tetangga atau Rakan Cop yang dilancarkan untuk mengurangkan kejadian jenayah di kawasan komuniti masing-masing. Pihak Polis akan menggunakan khidmat Rukun Tetangga dan meletakkan anggota-anggota Polis pada bila-bila masa tertentu. Pangkalan Rukun Tetangga akan dijadikan one stop centre antara Polis dan ahli-ahli Rukun Tetangga.
4.
Meningkatkan kehadiran Polis di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti stesen bas, kereta api dan pusat-pusat hiburan dan membeli-belah serta menjalankan operasi pencegahan jenayah yang terancang secara berkala di kawasan hitam atau kawasan yang dikenal pasti mempunyai kadar jenayah yang tinggi.
5.
Meningkatkan kualiti dan keupayaan intelligent melalui penubuhan Central Intelligent Unit (CIU) di bawah JSJ bertujuan antara lain meningkatkan maklumat dan membuat profiling ke atas penjenayah secara bersepadu dengan lain-lain jabatan dalm PDRM.
6.
PDRM juga mendapatkan kerjasam/bantuan dari Pihak Berkuasa Tempatan terutama memasang CCTV dan lampu-lampu jalan di tempat-tempat yang tinggi jenayah.
7.
PDRM mengambil pendekatan serampang dua mata iaitu Pendidikan dan Penguatkuasaan Undang-Undang. Pendidikan akan menekankan aspek pencegahan jenayah, keselamatan peribadi dan kempen keselamatan manakala penguatkuasaan undang-undang memberi penekanan kepada tindakan-tindakan Polis terhadap penjenayah.

8.
Terdapat beberapa buah bangunan tinggi di Bandar Muar telah dibiarkan terbengkalai. Ini telah menyebabkan segelintir penagih dadah tinggal di dalam dan memasuki rumah kedai yang berhampirannya. Mereka ini telah menyebabkan peniaga-peniaga dan penduduk-penduduk sekeliling tidak terasa aman. Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan untuk menandingi masalah tersebut?

JAWAPAN

Bagi tempoh 2007 pihak Polis telah menangkap seramai 318 orang memiliki pelbagai jenis dadah berbahaya, manakala bilangan penagih yang ditangkap adalah berjumlah 3,972 orang. Seramai 5 orang telah dikenakan tindakan di bawah Akta Berbahaya [Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985]. Untuk tahun 2008 sehingga bulan Mei ini seramai 154 orang memiliki pelbagai jenis dadah berbahaya, 923 penagih telah ditangkap manakala 6 orang dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya [Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985]. Pihak Polis sentiasa memantau dan membuat serbuan ke atas bangunan-bangunan kosong serta bangunan yang ditinggalkan dari semasa bagi mengelak premis-premis berkenaan digunakan sebagai tempat mereka mengambil dadah.

9.
Memandangkan negara kita yang berbilang kaum dan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambahkan lagi papan tanda jalan yang mempunyai sekurang-kurangnya 4 jenis bahasa iaitu Tulisan Jawi, Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris?

JAWAPAN

Bahasa Kebangsaan Negara Malaysia ialah Bahasa Melayu. Pada amnya, amalan menamakan tempat mestilah menggunakan bentuk, ejaan dan gaya bahasa Melayu yang mematuhi standard yang ditentukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada masa ini, penamaan Bangunan, Kawasan Perumahan, Jalan dan Iklan bagi kawasan-kawasan pembangunan adalah mengikut garis panduan berikut :

a.
Garis Panduan menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan perumahan, Tempat Awam dan Jalan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka terbitan pada tahun 1996.
b.
Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan sebagaimana Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan JKT : MNKT/D/Bil. 1/2005
c.
Nama Khas dan Iklan oleh Ismail Bin Dahaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1997.
d.
Garis Panduan Penentuan Nama Geografi oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia terbitan pada tahun 2005.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di mesyuaratnya pada 26.3.2007 telah menimbangkan RM Bil. 298/2007 telah mengambil keputusan sebagaimana berikut :

Majlis bersetuju meluluskan perakuan sebagaimana dibutirkan dalam perenggan 5.1.1 dan 5.1.2 Kertas Mesyurat bagi cadangan pengecualian penggunaan Bahasa Inggeris dalam bangunan, kawasan perumahan, jalan dan iklan sebagaimana berikut :

1.
Selaras dengan cadangan menjadikan Wilayah Pembangunan Iskandar sebagai salah satu metropolis bertaraf dunia, pengecualian Flexibility Allowed terhadap penggunaan Bahasa Inggeris hendaklah diberikan.
2.
Pengecualian Flexibility Allowed ini diberikan memandangkan justifikasi berikut :
i.
Sebagai langkah-langkah untuk mempromosi WPI dengan nama-nama yang mana Bahasa Inggeris lebih mudah dikenali.
ii.
Sebagai satu brand atau penjenamaan bertaraf antarabangsa.
iii
Walau bagaimanapun pengecualian Flexibility Allowed ini diberikan hanya kepada 5 Flagship yang sempadannya telah ditentukan dalam Rancangan Tempatan Daerah Johor Bahru iaitu :

a. Flagship Daerah Sentral, Johor Bahru
b. Flagship Nusajaya
c. Flagship Pasir Gudang
d. Flagship Kulai-Senai
e. Flagship Tanjung Pelepas

Penggunaan Bahasa Inggeris dalam kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) hendaklah dengan persetujuan Kerajaan Negeri Johor.

Kerajaan Negeri belum lagi berhasrat untuk menambahkan lagi papan tanda jalan yang mempunyai sekurang-kurangnya 4 jenis bahasa iaitu Tulisan Jawi, Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris kerana papan tanda jalan yang sedia ada adalah mengikut Bahasa Melayu yang mematuhi standard yang ditentukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

10.
Pusat Penjaja Hj. Abu, Muar merupakan salah satu tempat yang boleh menarik lebih ramai pelancong ke Bandar Muar.

Adakah Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan untuk menaik taraf Pusat Penjaja Hj. Abu, Muar?

JAWAPAN

Peniaga-peniaga yang menjalankan perniagaan di Jalan Haji Abu adalah seramai 49 orang. Mereka menjalankan perniagaan di atas petak-petak letak kereta di sepanjang Jalan Haji Abu menggunakan kereta sorong.

Majlis Perbandaran Muar tiada cadangan untuk menaik taraf kawasan penjaja Jalan Haji abu atas sebab-sebab berikut :-

i. Jalan Haji Abu merupakan salah satu jalan utama dalam bandar Muar dan kewujudan penjaja-penjaja tersebut telah menyebabkan kesesakan di jalan tersebut.
ii. Perniagaan yang dijalankan telah menggunakan petak-petak letak kereta yang sedia ada di jalan tersebut dan ini telah mengurangkan tempat ketal kereta di bandar Muar dan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas.

11.
Memandangkan Tanah Wakaf Islam di Jalan Hashim/Jalan Bakri merupakan salah satu tempat yang bersejarah di Bandar Muar. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk memagari dan mengindahkan Tanah Wakaf Islam di tempat tersebut?

JAWAPAN

Di daerah Muar terdapat 57 tapak perkuburan wakaf Islam di mana 5 daripadanya adalah di bawah pentadbiran kerajaan (Pejabat Agama Daerah) manakala bakinya adalah di bawah pengurusan kariah dan masjid. Tapak Perkuburan Islam di bawah Pejabat Agama Daerah telah diselenggarakan dengan baik walaupun terdapat kekurangan kakitangan. Usaha untuk memagar kawasan tersebut memang telah dirancang namun peruntukan kerajaan bagi penyelenggaraan tapak perkuburan adalah terhad. Jabatan Agama Johor juga kini dalam proses untuk menubuhkan Badan Pentadbiran Tanah Perkuburan di setiap kariah bagi memastikan pengurusan tapak perkuburan Islam terus berjalan dengan teratur dan kemas.

12.
Adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk melebarkan persimpangan Jalan Bentayan/Jalan Bakri? Ini adalah kerana akibat daripada kesempitan persimpangan itu, banyak kemalangan telah berlaku di kawasan tersebut.

JAWAPAN

Kerja-kerja melebarkan jalan termasuk melebarkan jambatan di persimpangan Jalan Bakri/Jalan Bentayan sedang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Muar dengan kos sebanyak RM200,000.00.

13.
Apakah cadangan pihak kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan masalah kekurangan tempat letak kereta di Bandar Muar?

JAWAPAN

Sebagaimana maklum, petak letak kereta di kawasan bandar Muar memang terhad disebabkan pembangunan yang pesat berbanding dengan keadaan bandar yang merupakan bandar lama di mana sistem jalan raya yang sempit.

Walau bagaimanapun, Majlis telah berusaha mewujudkan beberapa tempat letak kereta awam di tanah-tanah milik Majlis. Antaranya Dewan Jubli Intan, Hentian Maharani dan di kawasan gerai bersebelahan Perhentian Bentayan (di kedua-dua belah) namun tiada sambutan memandangkan sikap pengguna jalan raya yang lebih suka meletakkan kenderaan di hadapan kedai.

Tinjauan kami mendapati purata penggunaan kawsan terseut adalah rendah iaitu kira-kira 40% sahaja.

14.
Projek-projek yang dijalankan di Bandar Muar, umpamanya Medan Ikan Bakar Sabak Awor dan lain-lain projek diusahakan oleh MPM, kenapakah gerai tersebut hanya ditawarkan kepada satu-satu kaum saja?

JAWAPAN

Projek-projek gerai di bandar Muar adalah bergantung kepada tujuan pembangunan dibuat dan tidak semestinya diberi kepada satu-satu kaum sahaja. Contohnya, Gerai Asam Pedas Parti Jawa dibina bagi menyusun semula penjaja sedia ada di mana selepas siap gerai yang ada 6 unit telah diberi kepada 4 peniaga Bumiputra dan 2 peniaga kaum Cina mengikut bancian yang dijalankan sebelum pembinaan gerai tersebut.

Begitu juga gerai di Medan Ikan Bakar Sabak Awor, dibina bagi penempatan semula peniaga-peniaga sedia ada di tapak tersbeut di mana bancian mendapati terdapat 10 peniaga semuanya di kalangan peniaga kecil bumiputera.

Tetapi pembangunan semula Gerai Bentayan penempatan peniaga-peniaga dibuka mengikut kuota Bumiputera 60% Cina 30% dan India 10%. Oleh kerana kuota kaum Cina tidak ada sambutan untuk tempoh tertentu Jawatankuasa Gerai Majlis bersetuju kekosongan tersebut dibuka kepada mana-mana kaum yang berminat.

15.
Baru-baru ini kami dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah mengambilalih sebidang tanah estet di Mukim Serom, Johor untuk dimajukan sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Majlis Daerah Ledang.

i. Adakah ini benar? Jika “YA'.
ii. Bilakah kerajaan negeri hendak membangunkan Pusat Pentadbiran tersebut dan
iii. Berapakah perbelanjaan yang akan terlibat?

JAWAPAN

Bagi tujuan pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Ledang, kerajaan telah pun membuat pengambilan balik tanah (PBT) seluas lebih kurang 349 ekar di Estet Serom. PBT tersebut telah pun diwartakan pada 29 Mac 2007 melalui Warta Kerajaan 1151. Proses hearing telah dibuat pada 28 Disember 2007 dan Borang H iaitu “notis award” dan tawaran pampasan telah dikeluarkan kepada tuan-tuan tanah terlibat.

Pada masa kini, kerajaan masih memperincikan pelan-pelan pembangunan pusat pentadbiran tersebut dan belum memuktamadkan bila tarikh sebenar pembangunannya akan mula dilaksanakan. Kos-kos pembangunannya juga belum dimuktamadkan.

16.
Bolehkah pihak MPM dengan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Ibu Pejabat Polis Daerah Muar menyediakan tapak letak kereta di jalan-jalan utama di Bandar Muar (dalam masa-masa tertentu) untuk memudahkan peniaga-peniaga memunggah barangan mereka dari atau ke lori-lori? Lori-lori ini dibenarkan berhenti beberapa jam pada masa tertentu tanpa di saman oleh pihak berkuasa/polis dan sekaligus akan melicinkan kesesakan lalu-lintas di Bandar Muar.

JAWAPAN

Pada dasarnya Polis Diraja Malaysia Bahagian Trafik Daerah Muar, tiada halangan untuk bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Muar (MPM) bagi menyediakan tapak letak kereta untuk kegunaan lori-lori memunggah barangan di jalan utama dalam bandar Muar dengan syarat-syarat berikut :

i.
Lori-lori yang memunggah barangan tersebut tidak melakukan halangan lalu lintas terhadap lain-lain kenderaan yang melalui laluan tersebut.
ii.
Masa yang sesuai untuk urusan tersebut ialah mulai jam 9.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari dan mulai jam 2.00 petang sehingga jam 4.00 petang setiap hari.
iii
Dicadangkan juga pada waktu-waktu tersebut lot-lot parking awam berbayar yang sedia ada digunakan sebahagiannya untuk tujuan ini (bagi tujuan ini kenderaan awam/persendirian dilarang untuk meletakkan kenderaannya di lot-lot parking yang tersebut pada waktu-waktu yang dinyatakan).

Pada masa ini, Majlis Perbandaran Muar (MPM) belum menyediakan tapak letak kereta tertentu khas untuk lori-lori memunggah barang memandangkan kawasan yang terhad. Kesesakan lalu lintas di bandar Muar adalah disebabkan pembangunan yang semakin pesat berbanding kawasan bandar yang sempit.

0 comments: