诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Monday, July 28, 2008

Kawasan Rekreasi Bakal Jadi Taman Ekstrem


Utusan Malaysia, Isnin 28 Julai 2008
Oleh Suffian Abu Bakar

MUAR 27 Julai - Kawasan rekreasi di Jalan Timbalan di sini yang terbiar sejak sekian lama akan dibangunkan dan dinaik taraf sebagai taman ekstrem untuk memberi manfaat kepada golongan belia di daerah ini tidak lama lagi.

Usaha membangunkan tapak rekreasi seluas dua hektar itu hasil gabungan pelbagai agensi kerajaan negeri termasuk Pejabat Daerah Muar serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Muar yang pejabatnya terletak bersebelahan tapak rekreasi tersebut.

Selain itu, pengurusan dan pembangunan pelbagai kegiatan rekreasi di kawasan itu pula akan dikendalikan sebuah syarikat swasta, AZ Marine Centre.

Pada masa ini, beberapa gelanggang telah mula digunakan iaitu untuk sukan futsal, paintball, bola tampar, badminton dan sepak takraw.

Pegawai Pencegahan AADK Daerah Muar, Mohd. Azli Senin berkata, cadangan menaik taraf semula kawasan ini dibuat oleh Majlis Tindakan Membanteras Dadah Muar (MTMDM) yang dipengerusikan Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Jaffar.

Menurutnya, melalui usaha itu AADK dan MTMDM dengan kerjasama pelbagai agensi lain akan menaik taraf kawasan itu supaya ia dapat digunakan untuk kegiatan rekreasi dan sukan yang bermanfaat untuk golongan belia dan remaja.

"Di atas tapak tanah rizab kerajaan ini, pusat rekreasi ini akan dimajukan dan menjadi pusat sehenti bagi kegiatan ekstrem yang boleh disertai para belia dan mereka yang selama ini tidak mempunyai tempat untuk menghabiskan masa lapang masing-masing."

"Untuk itu, kawasan ini yang dahulunya terbiar mampu memberi peluang kepada belia untuk digunakan sebagai lokasi mengisi masa lapang dengan kegiatan yang lebih berfaedah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tapak rekreasi di Jalan Timbalan itu sebelum ini mempunyai sebuah kolam renang yang terbiar sejak tahun 1990-an, bersebelahan gelanggang paintball.

Namun menurut Mohd. Azli, menerusi pengurusan pusat rekreasi itu yang akan dikendalikan oleh AZ Marine Centre, kolam renang itu juga akan diubah suai dan digunakan untuk kemudahan permainan bot alat kawalan jauh, sementara menunggu kelulusan projek menaik taraf kolam itu.

Beliau yang juga Setiausaha MTMDM berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelatih yang telah tamat latihan di pusat serenti di bawah seliaan AADK untuk bekerja sebagai tenaga pembantu di pusat rekreasi tersebut.

"Selain itu, peluang pekerjaan juga dibuka kepada belia-belia lepasan sekolah yang tidak mempunyai pekerjaan untuk membantu perjalanan pelbagai program di pusat rekreasi itu.

"Bagi Pusat Rakan Muda pula, kami menyediakan kemudahan tempat makan di bangunan tersebut selain ia juga boleh dikunjungi orang ramai untuk menikmati jamuan ikan-ikan segar yang diternak di pusat khidmat AADK bersebelahan," jelasnya.

Sementara itu, Pengurus AZ Marine Centre, Md. Zaidi Khamis berkata, pelbagai kemudahan akan disediakan di pusat rekreasi itu, antaranya ruang berbumbung untuk kegiatan memanah, kawasan tanah berumput bagi kegiatan lasak seperti motorcross dan paintball serta kolam renang untuk sukan bot alat kawalan jauh.

"Sasaran kami ialah pembukaan pusat rekreasi ini bukan sahaja mampu menarik golongan belia atau mat motor ke kawasan ini, malah mampu menjadi tarikan pelancong serta mereka yang ingin menyaksikan kelainan pelbagai kegiatan di pusat sehenti ini," jelasnya.

Gunakan kemudahan sebaik mungkin

MUAR 27Julai - Usaha menaik taraf pusat rekreasi di Jalan Timbalan di sini diharap dapat digunakan sebaik mungkin oleh golongan belia yang berminat dalam pelbagai bidang sukan dan aktiviti ekstrem.

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Jaffar menyifatkan langkah membangunkan semula kawasan seluas dua hektar yang terbiar sejak sekian lama termasuk Wisma Belia yang tersadai sejak tahun 1990 dan baru kini dibangunkan semula menjadi Pusat Rakan Muda daerah bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan belia di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, dengan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi yang disediakan di pusat tersebut, ia dapat memberi manfaat kepada belia lepasan sekolah yang gemar melepak, remaja bermotor dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetapi menggemari aktiviti lasak.

"Semua kegiatan yang disediakan di pusat rekreasi ini boleh digunakan oleh belia-belia aktif atau lebih tepat disebut 'terkejal' di daerah ini kerana di sini mereka boleh beriadah dengan cara sihat.

"Istilah terkejal itu merujuk kepada remaja yang berminat dengan kegiatan lasak serta sukan yang mencabar dan ini merupakan medan terbaik bagi mereka untuk menunjukkan bakat masing-masing," katanya ketika ditemui ketika melawat tapak pusat rekreasi itu, baru-baru ini.
Abdul Rahman yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah Muar (MTMDM) memberitahu, usaha itu merupakan kerjasama antara beberapa jabatan kerajaan negeri di daerah ini dan pihak swasta untuk menguruskan aktiviti tersebut.

Menurutnya, melalui pelbagai program sukan yang diadakan, ia bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran belia atau peserta, malah mewujudkan budaya sukan ekstrem yang lebih sihat dan lazimnya digemari belia masa kini.

"Semua usaha ini tidak akan berjaya tanpa bantuan semua agensi dan jabatan yang terlibat. Berikutan sumber yang terhad ketika ini, kita turut mengalu-alukan penyertaan pihak swasta untuk menjayakan program di pusat rekreasi tersebut," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, kolam renang awam yang terletak di tapak pusat rekreasi itu juga akan dinaik taraf dalam tempoh jangka panjang dan ketika ini, pihaknya sedang berusaha memohon peruntukan daripada kerajaan negeri serta Bahagian Pembangunan Sukan di Kementerian Belia dan Sukan untuk membina kolam renang baru.

1 comments:

tbchua said...

As a concerned member of the public,i am delighted to hear that the Muar swimming pool is awaiting for financial funding because with a popukation of about 400,000+ people in Muar district, we really deserve a public swimming pool, at least for the children and our youth.

Next, the relevent authorities must promote actively the activities held within their premises to the targeted groups.

Branding is important to attract our youth, regardless of race to interact and promote racial unity among the young ones.

I always think that Muarians are lucky to have a beautiful recreation park along the river. And therefore, we must engage more locals to live a healthy lifestyle, with the hope that the local council will take the lead.