诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Friday, September 18, 2009

SOALAN-SOALAN LISAN DI PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR PADA 8 SEPTEMBER 2009 YANG DISOAL OLEH Y.B. ENCIK GWEE TONG HIANG

SOALAN 3 (A2)

Memandangkan Wabak Influenza A (H1N1) telah menular dengan pantasnya di Negara ini, adakah kerajaan bercadang untuk membekalkan penutup mulut dan hidung (“mask”) percuma kepada setiap rakyat di Negeri Johor bagi membendung penularan wabak ini?

JAWAPAN Y.B. DR ROBIA BINTI DATO' HAJI KOSAI

Sehingga kini Jabatan Kesihatan Negeri Johor tidak membekalkan penutup mulut dan hidung secara percuma kepada orang ramai. Walau bagaimanapun sector swasta adalah digalakkan untuk menyumbang bekalan penutup mulut dan hidung tersebut kepada rakyat Negeri Johor atas dasar tanggungjawab sosial.

SOALAN 21 (A25)

Adakah kerajaan bercadang untuk memperuntukkan sejumlah wang untuk memperbaiki tebing Tembok Tanjong Emas, Muar yang telah senget 45’ dan mungkin akan runtuh pada masa terdekat supaya segala malapetaka dapat dielakkan?

JAWAPAN Y.B. DATUK HAJI AHMAD ZAHRI BIN JAMIL

Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000.00 untuk memperbaiki tebing tembok Tanjung Emas, Muar. Kerja-kerja membaiki tebing tembok berkenaan akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairsan dan Saliran (JPS) Negeri Johor. JPS Negeri sedang dalam proses penyediaan yang melibatkan reka bentuk dan arahan kerja. Dianggarkan kerja-kerja akan dilaksanakan pada pertengahan bulan Oktober 2009.

SOALAN 31 (A24)

Adakah kerajaan negeri bercadang memberikan subsidi kepada para penarik beca di Bandar Muar untuk menghiaskan beca-beca mereka supaya dapat menarik lebih ramai pelancong ke Bandar Muar seperti mana yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Melaka?

JAWAPAN Y.B. ENCIK HOO SEONG CHANG

Buat Masa ini Kerajaan Negeri tidak mempunyai cadangan untuk memberikan subsidi kepada penarik beca di Bandar Muar sepertimana yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Melaka. Walaubagaimanapun cadangan ini boleh dipertimbangkan.

SOALAN 34 (A23)

Adakah kerajaan bercadang untuk menyediakan kemudahan Terapi Percakapan (Speech Therapy) di Klinik ENT, Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar kepada para pesakit yang menghadapi masalah percakapan?

JAWAPAN Y.B. DR. ROBIA BINTI DATO’ HAJI KOSAI

Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar telah sedia ada menyediakan kemudahan perkhidmatan Terapi Pertuturan (Speech Therapy) di Klinik Otorinolaringologi. Pada masa ini, perkhidmatan tersebut dikendalikan oleh Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) dari Hospital Batu Pahat dan Hospital Melaka yang menjalankan “visiting therapy” setiap minggu. Usaha sedang di buat untuk menempatkan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) yang tetap di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

SOALAN 37 (A26)

Adakah kerajaan bercadang untuk memperuntukkan sejumlah wang untuk memperbaiki masalah perparitan di kawasan Perkampungan Lorong Alwi & Lorong Paip, Parit Beting, Muar di mana system perparitan yang tidak sempurna telah mengakibatkan kawasan tersebut sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan tiba!

JAWAPAN Y.B. DATUK HAJI AHMAD ZAHRI BIN JAMIL

Kerajaan dari masa ke semasa telah mengambil tindakan membaiki kerosakan perparitan di kawasan tersebut pada tahun 2008 sebanyak RM13,700.00 telah diperuntukkan untuk melaksanakan kerja penambahbaikan. Majlis Perbandaran Muar (MPM) akan memohon peruntukan daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menaik taraf perparitan di kawasan tersebut yang dianggarkan sebanyak RM100,00.00.

SOALAN 70 (A21)

Jawatankuasa Perkuburan Cina Lenga, Muar telah memohon sekeping tanah yang luasnya 7 ekar (terletak bersebelahan dengan tapak sedia ada) untuk dijadikan tempat perkuburan kaum Cina, Lenga, memandangkan tempat sedia ada akan mencapai tahap optimum pada masa beberapa tahun lagi, bilaka Kerajaan Negeri akan memberi kelulusan kepada permohonan tersebut?

JAWAPAN Y.A.B. DATO’ MENTERI BESAR

Tanah perkuburan Cina di Lenga, Muar yang sedia ada adalah di atas tanah Lot 2496 dan Jawatankuasa Perkuburan Cina Lenga telah membuat permohonan tanah sebagai tambahan kubur sedia ada iaitu di atas Lot 749 seluas 7.962 ekar untuk dijadikan sebgagai kawasan kubur.
Tetapi permohonan ini telah ditolak oleh Pejabat Tanah Daerah Muar pada 31.3.1994 kerana tidak mendapat sokongan jabatan teknikal, di mana tanah ini dirancang sebagai kawasan perumahan mengikut Rancangan Struktur Daerah Jabatan Perancang Bandar Dan Desa. Majlis Perbandaran Muar juga tidak menyokong permohonan ini disediakan tanah kubur sedia ada masih lagi terdapat banyak kawasan yang masih belum digunakan. Dan tanah ini juga termasuk di dalam kawasan Rizab Melayu Lenga bagaimana WK 668 bertarikh 29.5.1940. Pejabat Tanah Daerah Muar telah mencadangkan supaya tanah lain dig anti untuk tapak kubur ini iaitu di atas tanah PTD 8482 seluas 5.124 ekar yang terletak di kawasan Bukit Bugis, Batu 30, Lenga sama ada untuk menerimanya atau tidak.

SOALAN B15

Berapakah jumlah peruntukkan tahunan yang telah disediakan oleh kerajaan negeri kepada 8 buah Sekolah Tinggi (Persendirian) Cina di Johor dari tahun 2008 hingga sekarang?

JAWAPAN

Bahagian Pelajaran Swasta, Kementerian Pelajaran Malaysia, tidak menyediakan sebarang peruntukan kewangan kepada mana-mana institusi pendidikan swasta termasuk sekolah-sekolah persendirian Cina dan mana-mana sekolah agama swasta.

Kementerian Pelajaran Malaysia hanya menyediakan peruntukan dan bantuan kewangan kepada semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan sahaja.

SOALAN B16

Berapakah peruntukkan dan perbelanjaan yang telah digunakan oleh pejabat JPMM Bentayan setakat kini?

JAWAPAN

Bagi perbelanjaan mengurus, Pejabat JPMM Bentayan telah membelanjakan sebanyak RM151,000.00.

SOALAN B17

Berapakah jumlah peruntukkan yang telah disediakan kepada Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) di kawasan DUN Bentayan sepertimana yang telah dijanjikan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa lawatan beliau ke SJK (C) Pei Yang, Muar iaitu sebelum PRU Ke-12 yang lepas ?

JAWAPAN

Jabatan Pelajaran Johor sedia maklum bahawa Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan peruntukan seperti berikut.
(1) RM500,000.00 kepada SJK (C) Pei Yang, Muar.
(2) RM300,000.00 kepada SJK (C) Chung Hwa 2A, Muar
(3) RM100,000.00 kepada SJK (C) Sing Hwa, Muar
(4) RM100,000.00 kepada Sek Men Persendirian Chung Hwa, Muar.
Pihak Jabatan Pelajaran Johor akan merujuk perkara ini kepada pihak Kementerian.

SOALAN B18

Adakah kerajaan bercadang untuk membina satu perhentian bas ekspres yang baru di Bandar Muar memandangkan bahawa kawasan di persekitaran perhentian yang sedia ada sering mengalami kesesakan lalu-lintas di Jalan Maharani, Muar dan menyediakan kemudahan tandas awam di Perhentian Bentayan?

JAWAPAN

Majlis Perbandaran Muar (MPM) merancang untuk membina Perhentian Bas Ekspres baru di bandar Muar dengan anggaran kos RM12 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Pada masa ini, MPM belum ada perancangan untuk membina kemudahan tandas awam di Perhentian Bentayan, Muar.

SOALAN B19

Berapakah jumlah kos Projek Penurapan Jalan Tar yang telah dijalankan yang di kawasan taman-taman DUN Bentayan dari tahun 2008 hingga sekarang?

JAWAPAN

Majlis Perbandaran Muar (MPM) telah membelanjakan RM1,125,360.00 bagi kerja-kerja menurap jalan-jalan di DUN Bentayan pada tahun 2008 manakala pada tahun 2009, peruntukan sebanyak RM559,819.00 telah diperuntukkan melalui Malaysian Road Record Information System (MARRIS).

1 comments:

halimzakaria said...

Terimakasih YB Gwee Dun Bentayan klinik speech therapy sudah terjawab selama 2 tahun setengah menunggu.Hasilnya ianya boleh digunakan memberi khidmat bagi yang memerlukannya seperti kanak-kanak Autism, ADHD, Down Syndrom dan sebagainya terutama di Segamat, Pagoh, Tangkak dan Muar.

Saya juga berharap bilik snoozle room ( bilik khas terapi bagi kemudahan untuk kanak-kanak istimewa - Cahaya, bunyi dsbnya ) juga dapat diadakan atau diusulkan dapat diperuntukkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah dengan bantuan bersama Kerajaan dan NGO sebab ia merupakan satu keperluan yang amat penting untuk membantu kanak-kanak istimewa tersebut dari segi pemulihan dan terapi tingkah laku.

halimzakaria Kelab Kiwanis Muar