Sumber: Roketkini.com, 22 May 2011
Seorang Islam yang menterjemah kitab Injil, sehingga digelar masyarakat dengan nama Abdullah Paderi; pengkritik tegar sistem beraja Tanah Melayu dan sosio-budaya penduduk Tanah Melayu; berbaik pula dengan penjajah sehingga bekerja sebagai pegawai kepada penjajah; langsung menjelaskan beliau sebagai seorang yang pro-penjajah.
Ini adalah pandangan umum rakyat Tanah Melayu dan sekarang rakyat Malaysia terhadap Abdullah Abdul Kadir Munshi. Walaupun begitu, para ilmuan tetap mengangkatnya sebagai Bapa Persuratan Melayu Moden.
Manakan tidak, ketika zamannya, kitab-kitab hikayat lebih kepada kisah-kisah ghaib, fantasi, dan mistik, jauh berbeza dengan karya-karyanya. ‘Keberanian’ beliau menggunakan ‘aku,’ sebagai ganti nama untuk dirinya adalah salah satu contoh keberanian beliau untuk Ubah!
Kassim Ahmad melalui prakatanya dalam Kisah Pelayaran Abdullah menulis: “Dia (Abdullah Munshi) telah melempar jauh semangat ‘adat Melayu pantang derhaka’ dengan menganut semangat baru yang ‘asing,’ yang lebih demokratik… maka sewajarnya kita menerima Abdullah sebagai seorang lagi perintis jalan dalam pemikiran bangsa (Malaysia) kita.”
Bagaimanapun, ketidakfahaman sebahagian masyarakat Malaysia sekarang terhadap tokoh ini berpunca dari satu masalah umum, iaitu sistem feudalistik yang sekarang ini dinamakan sebagai demokrasi berperlembagaan, telah mempermainkan rakyat dengan sistem pelajaran yang kucar-kacir sifatnya.
Dalam Kisah Pelayaran Abdullah, Abdullah Kadir Munshi dengan nada lembut menulis dan menilai:
“…Sekalian orang yang duduk dalam negeri itu sentiasa dengan ketakutan akan aniaya dan loba raja-raja dan orang besar-besar. Maka adalah fikiran mereka (rakyat) itu, ‘Apa guna rajin kita itu? Jikalau kita mendapat sedikit wang atau makanan, nescaya diloba dan dirampas oleh orang besar itu.’ Maka sebab itulah tinggal mereka itu dalam miskin dan malas dalam sepanjang umurnya. Maka tetaplah fikiran saya, inilah sebabnya negeri itu tiada boleh orang mendapat kesentosaan dalamnya, kerana kurang baik pemerintahnya. Maka sekalian perkara yang tersebut ini telah datang dari sebab kejahatan dan kebebalan raja-rajanya sahaja.”
Di sini jelas keperihatinan dan kasih sayangnya terhadap rakyat jelata, kerana beliau sendiri akur, punca kepada kelemahan rakyat jelata datang dari sikap penguasa itu sendiri.
Beliau kemudian membandingkan pemerintahan Inggeris di Melaka dan Singapura, yang walau pun mempunyai pemerintah seperti ‘raja’ tetapi tiada pula tekanan ekonomi dan sosial, malah lebih terbuka kerana undang-undang di Singapura ketika itu lebih bersifat demokratik, bertujuan memacu masyarakat kepada sesuatu yang agung; iaitu kesenangan hati untuk rakyatnya.
Malah dengan tegas, Abdullah memberi respon kepada perangai penguasa Melayu ketika itu dengan menulis: “….semuanya yang duduk dalam negeri Melayu, seperti duduk dalam neraka.”
Abdullah bukanlah anarkis sehingga menolak sistem kerajaan. Beliau hanya manusia rasional yang kasih kepada masyarakat. Dan beliau juga bukan pro-penjajah atau anti-penguasa, tetapi beliau sangat tegas mengkritik penguasa-penguasa zalim (tidak kira penguasa Melayu atau penguasa penjajah) kerana beliau sedar punca kemunduran masyarakat ada di telapak kaki penguasa. Sekadar contoh bahawa beliau bukan pro-penjajah, disalinkan dibawah, kritikannya dalam Hikayat Abdullah terhadap pegawai kolonial Belanda yang bernama Van Goor.
“Ia (Van Goor) itulah lintah yang meminum darah hamba Allah. Maka adalah ia menaruh empat orang mata-mata. Maka sekalian mata-mata itu seperti pacat melompat. Barang di mana bertemu manusia atau binatang, dihisapnya darahnya, kerana ia segera hendak menjadi ular sawa. Maka mereka itulah tukang mengintai segenap rumah. Maka apabila didapatinya sedikit kudis sahaja, maka dibesarkannyalah, katanya: ‘Engkau kelak nanti menjadi tokak’, dengan beberapa gertak. Maka oleh sebab orang itu ketakutan, diberinyalah upah akan dia. Maka diamlah ia, pergi ia memberitahu kawannya. Maka ia pun datanglah pula menggertak orang itu, kepadanya pula diupah sedikit. Demikianlah halnya segala hamba Allah kena aniaya pada zaman itu di Melaka…”
Dalam konteks politik dan sosial di Malaysia dewasa ini, apa yang diperkatakan Abdullah lebih 159 tahun lepas masih tak berubah dengan sekarang. Malah, lebih teruk. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan segala akta yang menyekat kebebasan rakyat, masih wujud walau pun penjajah sudah tiada.
Anehnya, negara-negara penjajah ini tidak pula menggunakan akta-akta zalim itu di negara mereka sendiri. Tetapi di Malaysia, selepas mencapai kemerdekaan secara rasmi, masih lagi menggunakan pendekatan yang digunakan penjajah dahulu. Bak kata orang di utara Semenanjung Malaysia, “Awat kita dok pulun lebih?”
Bagaimana pun, terima kasih lah kepada penguasa di Malaysia yang telah ‘mengembangkan’ lagi dasar-dasar ‘berguna’ ini sehingga sekarang, yang pastinya akan menyuntik rasa ingin tahu rakyat (akibat tekanan-tekanan penguasa) untuk mengorek lebih dalam erti kebebasan untuk hidup, sebagai manusia.
Abdullah Munshi malah telah berdoa dalam Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan, “…saya pohon kepada Tuhan, janganlah kiranya dihidupkan saya dalam negeri Melayu,” dan dengan nada menyindir, Abdullah menyambung, “Dan lagi, (saya harap) dijauhkan (oleh) Tuhan untuk berdekat dengan raja-raja kerana orang yang hampir kepada raja-raja itu seperti bersahabat dengan ular yang berbisa, maka salah sedikit dipagutnya biji mata.”
Demikianlah pendirian kukuh beliau, hasil dari rasa ingin tahu mempelajari segala jenis ilmu (agama, bahasa, budaya global) sehinggalah membentuk dirinya sebagai sang pemikir yang kritis terhadap kelemahan bangsa dan masyarakat sekelilignya. Jika tak berlebihan, beliau tak lain kalau bukan seorang pemikir yang mendahului zamannya.
Seorang pemikir akan berani melontarkan kebenaran yang dipercayainya, dan jika beliau seorang pemikir agung, akan berkekalanlah suaranya. Dan selepas lebih seratus tahun, suara beliau masih terngiang-ngiang di benak fikiran kita bukan? Karya-karyanya yang bersifat humanis, dan dikarang a la kewartawanan dan autobiografi ini telah pun menjelaskan situasi Malaysia sekarang ini.
Tidak syak, bila merujuk kembali karya-karya Abdullah, bahawa penguasa Tanah Melayu dan Malaysia masih di takuk lama. Yang berubah bukan sistem, tetapi ‘pakaian.’ Kesedihan beliau terhadap mangsa kepada penguasa-penguasa zalim, dijelaskan dengan teliti di dalam kebanyakan karyanya terutamanya dalam kisah Pelayaran Abdullah.
Dipengakhiran pelayarannya ke Kelantan, Abdullah merumuskan, “…saya mengaku di atas diri saya bahawa sesungguhnya inilah sekalian alamat bahawa negeri-negeri itu (negeri-negeri Pantai Timur, dan dalam konteks sekarang, keseluruhan negara Malaysia) akan binasa, dengan tiada syak lagi.”
Bagaimana pun, kesimpulannya, kritikan Abdullah bersifat jujur kerana hasil dari pengalaman dan pengembaraannya, beliau merasai kepahitan rakyat yang ditekan oleh raja-raja dan penguasa penjajah. Apa yang dikarangnya adalah pemerhatiannya sebagai manusia yang dipengaruhi akal dan imannya untuk menolong bangsanya sendiri – semua bangsa yang menetap dan lahir di Tanah Melayu.
Apa-apa pun halnya, karya yang dikarang beliau lebih seratus tahun dahulu ini telah dan akan terus mencerminkan zaman dan masyarakat kita sekarang ini. Sama ada kita mahu berubah kepada sesuatu yang murni atau mahu kekal jatuh ditimpa tangga, terpulanglah kepada diri untuk menilai.
Itu pun jika mampu meneliti karya-karya Abdullah sehingga ke perenggan terakhir.
0 comments:
Post a Comment