诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Tuesday, May 24, 2011

Mengenali DAP (Bahagian Pertama)

Sumber: Roketkini.com, 23 May 2011

DAP tidak muncul secara tiba-tiba dalam satu ruang sosial yang kosong. Ia wujud hasil keperluan semasa, kesan pancaroba politik dekad 1960-an. Ia lahir di tengah-tengah gelora ideologi kiri dan kanan, politik kaum dan agama, dan himpitan krisis serantau serta sejagat. Untuk mengenali dan memahami mengapa DAP perlu wujud, Wan Hamidi Hamid membuka tirai dengan latar yang ada pada kemelut dunia 1960-an yang mempunyai kesan mendalam terhadap suasana tempatan.
Pancaroba dekad 1960-an

Kerancakan, keasyikan dan kesyahduan irama Pop Yeh Yeh Melayu sepanjang pertengahan tahun-tahun 1960-an yang berkumandang di udara melalui radio dan radiogram dengan lagu-lagu pujaan dari M. Osman, A.Ramlie dan Jeffrydin tidak dapat menutup kegelisahan hati rakyat Malaysia yang dihimpit saingan ideologi dan politik perkauman dalam era Perang Dingin. Begitu juga filem-filem Melayu yang hebat, terutamanya karya P. Ramlee, seperti Ibu Mertuaku, Madu Tiga, Do Re Mi dan Keluarga 69, gagal menenangkan hati rakyat yang terpaksa mengharungi dekad Konfrontasi, hartal dan rusuhan kaum.

Di luar batasan pertiwi, dunia menyaksikan perlumbaan senjata nuklear di antara blok Barat yang dipimpin Amerika Syarikat dan blok Timur yang diterajui Soviet Union. Perebutan pengaruh ideologi dan perluasan kuasa tidak mengenal warna kulit dan kepercayaan agama; malah darah mengalir demi persaingan politik. Barat sanggup membela regim-regim kuku besi di seluruh dunia asalkan mereka menentang pengaruh komunisme. Timur pula sanggup berbuat apa sahaja termasuk membekalkan senjata dan penasihat tentera serta politik untuk mengkomuniskan mana-mana negara atau wilayah. Dekad 1960-an adalah kemuncak perebutan kuasa global itu.

Malaysia juga tidak terlepas dari fenomena global ini. Selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaya diterajui Perikatan yang dianggotai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaya (MCA) dan Konges India Malaya (MIC) yang kesemua memilih untuk menggunakan singkatan nama dalam Bahasa Inggeris. Perikatan dengan simbol kapal layar terlebih dahulu menang besar dalam pilihan raya umum pertama di negara ini pada 1955 apabila penjajah Inggeris menganjurkan pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan. PRU pertama itu diadakan tanpa kehadiran parti-parti berideologi kiri kerana kebanyakan pemimpin mereka ditahan tanpa bicara oleh Inggeris di bawah Ordinan Peraturan Darurat 1948. Undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara itu dikuatkuasakan apabila British mengisytiharkan Darurat melawan pemberontakan komunis yang diterajui oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Selepas Merdeka, PRU kedua (atau PRU pertama di bawah pentadbiran Malaya yang sudah merdeka) diadakan pada 1959 di mana Perikatan sekali lagi menang – 74 daripada 104 kerusi Parlimen. Kali ini kumpulan kiri melalui Front Sosialis yang menggabungkan Partai Rakyat Malaya dan Partai Buruh mendapat lapan kerusi Parlimen. Selain itu, Partai Islam Se-Tanah Melayu (PAS) yang mendapat satu-satunya kerusi pembangkang dalam PRU 1955 telah menambah kepada 13 kerusi Parlimen. PAS juga menguasai DUN Kelantan dan Terengganu.

Walau pun mendapat majoriti yang selesa dalam PRU 1959, Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri sedar bahaya pengaruh komunisme masih mengancam keselamatan negara. Bagi beliau, bahaya komunisme dilihat terlalu dekat, datangnya dari wilayah dan negara-negara jiran. Walau pun darurat sudah hampir berakhir di Semenanjung, ia masih bertapak di jajahan British di Sarawak. Di Sabah pula, satu lagi jajahan British, sentiasa ditekan tuntutan hak milik oleh Filipina. Yang lebih membimbangkan Tunku ialah pengaruh Sukarno di Nusantara. Karisma Presiden Indonesia itu bukan sahaja memukau rakyat jelata republik berkenaan tetapi juga menjadi idola kepada rakyat Malaya dan rakyat di satu lagi jajahan British, iaitu Brunei. Tunku juga sedar bahawa Sukarno semakin dipengaruhi Partai Komunis Indonesia dengan bersikap anti-Barat serta mula berlembut dengan Soviet Union dan Republik Rakyat China.

Pada Mei 1961, Tunku mencadangkan penubuhan sebuah negara dengan menggabungkan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam gagasan Malaysia. Ia sebenarnya bukan idea baru. Sejak sebelum Merdeka, cita-cita menyatukan jajahan syarikat British di Borneo Utara, Sarawak dan Brunei sudah lama menjadi harapan, sejak akhir abad ke-19 lagi. Malah, Gabenor Jeneral British bagi Asia Tenggara Malcom MacDonald yang lebih dikenali sebagai penaja Malayan Union pernah berhasrat membawa masuk jajahannya di Kalimantan sebagai satu unit pentadbirannya di Malaya. Hanya selepas Merdeka, di mana suasana politik Malaya menerjah kekuasaan Tunku, muncul semula idea untuk diperluaskan wadah negara. Malaya yang merdeka itu masih menerima nasihat tidak rasmi dari British berhubung soal dasar luar negara dan pertahanan serantau.

Tunku juga memperkukuhkan kuasa autokrasi negara apabila meluluskan melalui Parlimen Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1960 yang pada mulanya bertujuan memberi kuasa tanpa had kepada kerajaan untuk membanteras kegiatan subversive komunis tetapi kemudiannya, sehingga saat ini, sentiasa disalahgunakan untuk menahan tanpa bicara mana-mana individu yang menentang atau mengkritik kerajaan.

Pada awal 1960-an, Singapura yang mempunyai kedudukan pentadbiran khas British dibimbangi bakal menjadi tapak komunisme Nusantara. Indonesia pula sejak awal tahun 1960-an semakin condong ke arah kiri apabila Partai Komunis Indonesia (PKI) berjaya memasukkan jarum ideologi menjunam jauh ke saraf politik Presiden Sukarno. Pengaruh komunisme di Indo-China pula semakin meluap apabila Ho Chi Minh yang berjaya menendang keluar Perancis mahu mencantumkan Vietnam Selatan yang pada masa itu disokong pihak Barat. Perang dingin di antara blok Barat dan Timur sudah mencapai kemuncaknya.

Malaysia, Indonesia dan Konfrontasi

Idea mewujudkan Malaysia yang dicadangkan semula oleh Tunku mudah sahaja mendapat sokongan British yang mula merasakan beban kewangan mentadbir Sabah, Sarawak dan Brunei di samping tekanan dalaman dalam soal dekolonisasi. Logik Tunku pula, jika semua jajahan British di Kalimantan menyertai Malaya membentuk Malaysia bersama Singapura, ia dapat mengimbangi kedudukan kaum kerana Singapura sudah mempunyai lebih 1 juta kaum Cina pada masa itu. Orang kuat Tunku, Syed Jaafar Albar sudah pun membawakan teorinya – walau pun tidak punya asas yang kukuh – bahawa penduduk tempatan di Sabah, Sarawak dan Brunei juga sama seperti orang Melayu.

Kerana itu juga gagasan Malaysia ditolak oleh Sukarno yang menjadikan kempen Ganyang Malaysia sebagai propaganda anti-penjajahan baru, yang sebenarnya kurang tepat kerana Britain tidak mempunyai cita-cita memperluaskan jajahannya lagi, kecuali memastikan rantau Asia Tenggara tidak diracuni pengaruh komunisme. Walau pun menempuh jalan berliku, Tunku berjaya membawa kesemua pihak ke dalam gagasan Malaysia, termasuk terpaksa berjanji hak yang sama adil bagi Sabah, Sarawak dan Singapura bersama Malaya, iaitu mereka secara individu tidak akan menjadi seperti salah satu negeri di Malaya tetapi dengan hak-hak istimewa untuk mengekalkan identiti dan maruah masing-masing.

Brunei tidak jadi menyertai gagasan itu akibat pemberontakan Partai Rakyat Brunei pimpinan A.M Azahari yang berhasrat menjadikan Brunei pemimpin Negara Kalimantan Utara, dengan Melayu menjadi teras kepimpinan. Partai Rakyat Brunei telah menang semua kerusi yang dipertandingkan dalam PRU Brunei pada September 1962 dan menolak penubuhan Malaysia mengikut cadangan Tunku. Parti itu mahu Brunei bersama Sabah dan Sarawak merdeka terlebih dahulu. Ia mendakwa penyertaan secara negeri individu akan menyebabkan ketiga-tiga wilayah Kalimantan Utara itu didominasi oleh Kuala Lumpur. Penentangan terhadap gagasan Malaysia merebak pantas apabila Partai Rakyat Brunei melancarkan pemberontakan pada 8 Disember 1962 tetapi dipatahkan oleh tentera British.

Sebaik sahaja pemberontakan Brunei digagalkan, satu tunjuk perasaan besar-besaran diadakan di Jakarta pada 23 Disember 1962 untuk menyatakan sokongan kepada Partai Rakyat Brunei serta usaha “membebaskan” Kalimantan Utara. Pada awal 1963, Sukarno secara terbuka menentang pembentukan yang dianggapnya satu bentuk penjajahan baru oleh British serta kuasa-kuasa besar Barat. Sukarno yang dipengaruhi anasir komunis melancarkan Konfrontasi dengan slogan Ganyang Malaysia. Serangan Konfrontasi bukan sahaja melibatkan perang mulut di antara Sukarno dan Tunku tetapi juga pencerobohan ketenteraan Indonesia yang terpaksa dihadapi oleh Malaysia yang dibantu dengan kekuatan tentera negara-negara Komanwel seperti Britain, Australia dan New Zealand.

Di segi diplomasi, Tunku mendapat tempat di arena antarabangsa manakala Sukarno pula melakukan tindakan kurang cerdik – menarik Indonesia keluar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Malaysia berjaya mengendurkan tekanan komunisme tempatan. Namun, penyertaan Singapura membentuk Malaysia menimbulkan masalah kepada Tunku dan UMNO kerana Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew menuntut supaya Malaysia menjadi negara di mana rakyatnya dianggap sama taraf tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Bermulalah slogan “Malaysian Malaysia”, menentang apa dikatakan sebagai “Malay Malaysia” yang menjadi amalan Perikatan pimpinan UMNO. Dengan itu juga golongan pelampau dalam UMNO yang terkenal dengan gelaran “Ultra” bertindak balas mendesak Tunku berkeras dengan PAP Singapura.

Alasan Kuan Yew untuk mendesak gagasan “Malaysian Malaysia” adalah berdasarkan pengalamannya sendiri sewaktu bertanding dengan Barisan Sosialis dalam pilihan raya negeri 1963 yang diadakan lima hari sahaja selepas penubuhan Malaysia. Barisan Sosialis telah menentang amalan keutamaan kaum yang diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan yang didakwa sebagai diskriminasi kepada kaum bukan Melayu, dan propaganda politik itu amat popular di Singapura. Setelah menggunakan kuasa tahanan tanpa bicara untuk melumpuhkan Barisan Sosialis, Kuan Yew dan PAP perlu mengekalkan sokongan rakyat di Singapura dengan politik hak saksama.

Singapura disingkir dari Malaysia

Rusuhan kaum berlaku di Singapura pada Julai 1964 apabila agitasi anti-Melayu serta anti-Cina meletus sewaktu sambutan Maulidur Rasul. Berakhirnya rusuhan itu yang mengakibatkan kehilangan 23 nyawa serta beratus-ratus cedera disambung pula dengan tuduh-menuduh di antara UMNO dan PAP. Sewaktu kemuncak Konfrontasi, Parlimen Malaysia pada 9 Ogos 1965 yang diterajui oleh UMNO meluluskan usul untuk menyingkirkan Singapura dari Malaysia. Ini bererti PAP yang mempunyai satu kerusi Parlimen di Kuala Lumpur (pada masa itu dalam negeri Selangor) turut tersingkir dari Malaysia.

Di Indonesia pula, PKI yang menjadi tonggak kepercayaan Sukarno telah mengambil kesempatan untuk meluaskan pengaruh dan kuasa di republik itu. PKI merampas tanah dalam atas nama reformasi undang-undang tanah yang menimbulkan kemarahan rakyat terutamanya mereka yang aktif bersama kumpulan-kumpulan Islam seperti Nahdatul Ulama. Pihak tentera Indonesia pula berpecah di antara penyokong komunis dan anti-komunis.

Dalam kancah perpisahan Singapura dari Malaysia, bahang Konfrontasi mula reda di mana keganasan bertumpu kembali ke Indonesia yang semakin panas dengan pergolakan politik dalaman di mana PKI mahu rakyat diberi senjata tetapi ditentang oleh pihak tentera. Pada 30 September 1965, kumpulan tentera pro-komunis telah membunuh sekumpulan jeneral Indonesia yang mencetuskan kebangkitan rakyat menentang PKI. Pihak tentera yang diketuai Jeneral Suharto bertindak ke atas pemimpin PKI serta membiarkan gerakan anti-komunis menyerang dan membunuh puluhan ribu orang yang disyaki penyokong komunis. Pada awal 1966, Sukarno sudah hilang kuasa walau pun kekal jawatan Presiden. Pada Mei tahun yang sama Adam Malik sebagai Menteri Luar di bawah orde baru betremu dengan Timbalan Perdana Menteri Tun Razak untuk menamatkan Konfrontasi – yang akhirnya hubungan kedua-dua negara dipulihkan semula pada 11 Ogos 1966.

Namun, suasana tegang dalam arena politik Malaysia selepas penyingkiran Singapura masih membahang. PRU 25 April 1964, iaitu yang kedua diadakan selepas Merdeka, menyaksikan UMNO, MCA dan MIC di bawah payung Perikatan menguasai 89 kerusi Parlimen dan 240 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan cebisan parti-parti pembangkang memiliki sejumlah kecil kerusi. PAS terus mengekalkan penguasaannya di Kelantan tetapi hanya memiliki 9 kerusi Parlimen.

Parti-parti lain seperti Front Sosialis yang merupakan gabungan Partai Rakyat, Parti Buruh dan Partai Perhimpunan Kebangsaan memenangi dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN. Namun tahap “berbahaya” Front Sosialis di mata Tunku menyebabkan semua pemimpin utamanya – Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako, Aziz Ishak, M. Rajkumar, Tan Kai Hee dan banyak lagi – dihumban ke dalam tahanan tanpa bicara atas tuduhan kononnya bersekongkol dengan regim Sukarno serta tuduhan-tuduhan lain yang berkaitan sewaktu kehangatan bahang Konfrontasi. Parti-parti kecil lain seperti Parti Progresif Rakyat yang menumpukan diri di Perak sahaja menang dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN manakala Parti Demokratik Bersatu pimpinan Lim Chong Eu mendapat satu kerusi Parlimen dan empat DUN di Pulau Pinang. (Sabah hanya mengadakan pilihan raya negeri buat kali pertama pada 1967 manakala Sarawak 1969).

Dalam senario semasa itu, Perikatan di bawah pimpinan Tunku sentiasa tertekan dengan tuntutan perkauman melalui isu bahasa dan hak-hak kaum serta serangan luar dari Indonesia. Selepas berakhirnya Konfrontasi, era pasca penyingkiran Singapura meletakkan Malaysia dalam keadaan panas di mana agitasi kumpulan-kumpulan pro-komunis termasuk golongan yang menyelinap masuk Parti Buruh (yang asalnya bersifat sosialis sederhana berasaskan Parti Buruh Britain) yang membawa bersama mereka aktivisme politik ala Mao Zedong.

Di China, Mao sebagai pemimpin komunis agung negara itu yang telah mula hilang bisa sejak menguasai pemerintahan pada 1949 cuba mengembalikan kekuatan dengan melancarkan Revolusi Kebudayaan pada 1965. Beliau memanaskan semangat generasi muda untuk menghapuskan ancaman politik para pemimpin yang seangkatan dengannya. Agitasi politik yang menyebabkan anak muda meninggalkan sekolah, memukul dan memenjarakan guru, menyerang ahli-ahli politik serta melumpuhkan ekonomi China telah menjadi satu “harapan” baru kepada penyokong-penyokong komunis antarabangsa termasuk di Malaysia pada pertengahan 1960-an.

Desakan dan tuntutan pada skala yang besar serta berbeza di segi kaum, bahasa, budaya dan agama menimbulkan kekacauan di Malaysia. – Roketkini.com

Akan datang: Kemunculan DAP dalam arena politik Malaysia.

0 comments: