诚聘: 文打烟区州议员私人助理,有兴趣者请联络 0196568282 魏宗贤

招兵买马

招兵买马

Tuesday, June 7, 2011

Mengenali DAP: Bahagian Ketiga – Tekanan politik dan masalah barisan pembangkang

6 June 2011

Selepas dibebaskan dari tahanan ISA pada 1970, antara langkah pertama yang diambil oleh Lim Kit Siang ialah memulihkan kembali semangat dan imej Goh Hock Guan. Sayangnya usaha murni itu seperti melepaskan anjing tersepit. Hock Guan menimbulkan pelbagai masalah kepada parti termasuk mengadakan pertemuan sulit dengan MCA dengan niat untuk membubarkan DAP. Akhirnya DAP memecat Hock Guan pada 1972. Memang berlaku perpecahan dalam DAP berikutan agitasi Perikatan terhadap parti. Apabila Parlimen dipulihkan semula dan Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman, kerajaan Perikatan mula membentang undang-undang yang menyekat hak dan kebebasan rakyat.
Antara undang-undang yang sehingga hari ini menjadi duri dalam daging demokrasi Malaysia adalah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang diluluskan tanpa bangkangan parti-parti pembangkang pada masa itu termasuk Gerakan, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Wakil-wakil DAP yang cuba bangun bercakap untuk membantah akta itu telah disekat oleh Speaker Dewan sehingga terpaksa keluar Dewan. Perikatan kemudiannya dalam wajah baru ciptaan Tun Abdul Razak, iaitu Barisan Nasional, telah meluluskan banyak lagi undang-undang untuk memastikan kejayaan besar tanpa perlu ada pembangkang yang berkesan.

Dalam PRU 1974, DAP hanya menang 9 kerusi Parlimen dan 23 kerusi DUN. Pada masa itu pembangkang seperti Gerakan, PPP, SUPP dan PAS sudah pun menyertai UMNO, MCA dan MIC untuk membentuk BN.

Dalam PRU 1978, DAP memulihkan kembali kekuatannya apabila menang 16 kerusi Parlimen dan 25 kerusi DUN. Kemenangan itu dicapai dalam keadaan kebebasan politik yang amat tertekan kerana Perdana Menteri Tun Hussein Onn yang menggantikan Tun Abdul Razak (yang meninggal dunia pada 1976) telah, antara lain, mengharamkan rapat umum atas alasan komunis akan melakukan huru-hara.

Sekali corak politik Malaysia berubah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1981. Dalam masa yang singkat, beliau telah membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU 1982 yang menyaksikan DAP kecundang dengan hanya menang 9 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN.

Jika Tun Abdul Razak menggunakan gambarnya bersama Mao Zedong untuk memenangi hati pengundi Cina dalam PRU 1974, maka Dr Mahathir menggunakan para pemimpin sekolah Cina untuk mengekalkan sokongan kaum Cina kepada BN. Selain itu, bukan sahaja rapat umum terus diharamkan, ceramah juga dikawal dan media massa juga semakin dikongkong BN.

PRU 1986 kembali berpihak kepada DAP yang berjaya memenangi 24 kerusi Parlimen termasuk 4 di Sabah dan 1 di Sarawak. Kejayaan ini disambut baik oleh banyak pihak termasuk media massa yang menjadi lebih berani untuk menyiarkan suara-suara pembangkang.

Pada masa yang sama, kedudukan Dr Mahathir sebagai pemimpin UMNO mula tergugat. Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam sebagai bekas timbalan Dr Mahathir telah berpadu tenaga untuk menentangnya dalam pemilihan di perhimpunan agung UMNO pada 24 April 1987. Hasilnya, Dr Mahathir dan timbalannya Tun Ghafar Baba menang tipis. Kemenangan tipi situ menyebabkan UMNO berpecah dua. Isu-isu luaran UMNO juga semakin meruncing. Isu sekolah Cina pula menjadi perbalahan di antara UMNO dan MCA.

Jalan keluar Dr Mahathir adalah sesuatu yang mengejutkan – sasaran beliau bukannya pelampau-pelampau dari UMNO atau MCA, sebaliknya ditangkap lebih 100 pemimpin pembangkang seperti DAP dan PAS, aktivis pekerja dan alam sekitar serta sesiapa sahaja yang dianggap menggugat kedudukan Dr Mahathir dan UMNO.

Pemimpin DAP yang menjadi mangsa ISA Dr Mahathir pada Oktober 1987 dengan perintah tahanan dua tahun adalah Kit Siang (yang ditahan di bawah akta yang sama buat kali kedua), Guan Eng, Karpal Singh, P Patto, V David, Lau Dak Kee dan Dr Tan Seng Giaw.

Apabila semua pemimpin pembangkang utama dihumban ke dalam tahanan, ia memudahkan Dr Mahathir menghadapi musuh politik dalamannya. Apabila kes pemilihan UMNO dibawa ke mahkamah pada 1988, ia berakhir dengan mahkamah memutuskan bahawa UMNO terbatal pendaftarannya. Kelicikan dan penguasaan Dr Mahathir dalam kerajaan dengan mudah membolehkannya membaharui semula UMNO manakala Tengku Razaleigh pula terpaksa menubuhkan parti baru Semangat 46. Musa Hitam pula menghilangkan diri dari politik aktif.

Kehadiran Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan gelaran Ku Li membolehkan penubuhan barisan pembangkang. Oleh kerana ia adalah percubaan pertama di kalangan pembangkang besar negara, ia terpaksa diwujudkan dalam dua bentuk – Gagasan Rakyat di mana S46 bersama dengan DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Indian Progressive Front (IPF) dan PRM, dan Angkatan Perpaduan Ummah di mana S46 bersama dengan PAS – berikutan perbezaan ideologi.

Dalam PRU 1990, DAP tidak mendapat kesan positif dari kerjasama pembangkang kerana hanya mampu mengekalkan 20 kerusi Parlimen walau pun hampir membentuk kerajaan negeri Pulau Pinang. Hanya PAS menguasai Kelantan. S46 gagal membuat kejutan sebagai alternatif kepada UMNO.

DAP terpaksa meninggalkan Gagasan Rakyat apabila S46 bersekongkol dengan PAS di Kelantan untuk memperkenal dan melaksanakan hukum hudud yang dikatakan wajib dalam usaha menubuhkan Negara Islam. Pakatan pembangkang pecah apabila DAP tidak lagi bersama dengan yang lain manakala IPF mahu menyertai BN, dan perselisihan faham berlaku di antara S46 dan PAS. Dengan tiadanya perpaduan di kalangan pembangkang dan keadaan ekonomi yang diperindahkan lagi oleh media massa menyebabkan Dr Mahathir dan BN yakin untuk menang besar dalam PRU 1995. DAP tewas teruk dengan hanya mengekalkan 8 kerusi Parlimen.

*Rencana ini dipetik dan disesuaikan dari buku “Malaysia Milik Kita Bersama: Perjuangan 45 tahun Parti Tindakan Demokratik (DAP)” karya Wan Hamidi Hamid. Buku ini boleh dibeli di kedai-kedai buku utama dengan harga RM15 senaskah.

0 comments: